Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

CTEF DAN UNESCO PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PENDIDIKAN TINGGI MELALUI KUNJUNGAN HORMAT KE KPT

PULAU PINANG · 4 November 2026

Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) bersama wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Delegasi CTEF diketuai Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Thien Lei Mee, yang mengiringi Pengarah Pejabat Serantau Pelbagai Sektor UNESCO di Jakarta merangkap Wakil UNESCO ke Indonesia, Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina, dan Timor-Leste, Maki Katsuno-Hayashikawa.

Pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan, dan menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu serta perkembangan semasa berkaitan pendidikan tinggi di rantau ini.

Kunjungan hormat itu diadakan bersempena Simposium Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) 2026 yang berlangsung pada 29 Oktober di Zenith Hotel, Putrajaya, yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara.

Sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia (USM), CTEF berperanan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, organisasi antarabangsa, dan pembuat dasar bagi memajukan agenda pendidikan tinggi di peringkat serantau dan global.

Dalam pertemuan tersebut, UNESCO berkongsi beberapa inisiatif kerjasama melibatkan institusi pendidikan tinggi Malaysia, termasuk program pembangunan kapasiti akademik di Timor-Leste, penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan tinggi, selain kajian serantau berkaitan penggunaan AI dan teknologi digital dalam pembangunan sektor pendidikan tinggi.

Perbincangan turut menyentuh aspek pengiktirafan kelayakan akademik merentas sempadan, pemerkasaan agenda pendidikan tinggi serantau serta potensi penglibatan lebih luas Malaysia dalam pelbagai inisiatif UNESCO pada masa hadapan.

Selain bertukar pandangan mengenai cabaran dan peluang yang dihadapi sektor pendidikan tinggi, kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen untuk memperluas kerjasama strategik yang dapat menyokong pembinaan kapasiti, pemindahan pengetahuan serta peningkatan kebolehpasaran graduan dalam era transformasi digital.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan CTEF dalam memperkukuh hubungan strategik antara KPT, UNESCO dan rakan antarabangsa ke arah pembangunan pendidikan tinggi yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

Turut hadir pegawai CTEF serta wakil daripada bahagian dan jabatan berkaitan di bawah KPT.

Teks: Dr. Nur Rafidah Asyikin Idris, Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF)
Foto: S. Sri Jeyanthirar, Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF)