Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

COMM@LiT USM RAIH ANUGERAH GANGSA IPMA GLOBAL PROJECT EXCELLENCE AWARDS 2026

PULAU PINANG · 7 Oktober 2026

Projek COMM@Love in Transit (COMM@LiT) kendalian Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), meraih Anugerah Gangsa dalam kategori Sustainability Project Management Award pada IPMA Global Project Excellence Awards 2026, sekali gus mengharumkan nama universiti dan negara di pentas antarabangsa.

Pengiktirafan itu diumumkan pada IPMA Award Gala yang berlangsung pada pertengahan September lalu di Hiroshima, Jepun, sempena kemuncak Kongres Dunia International Project Management Association (IPMA) kali ke-35.

Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 430 tetamu dan menyaksikan 31 pemenang global diraikan atas kecemerlangan, inovasi serta sumbangan dalam bidang pengurusan projek.

Bagi kategori projek bersaiz kecil dan sederhana, Sustainability Project Management Award mengiktiraf projek yang menjadikan kelestarian sebagai teras pendekatan dengan mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan ekonomi bagi menghasilkan nilai jangka panjang serta impak positif.

COMM@LiT menerima Anugerah Gangsa bersama dua penerima lain dalam kategori berkenaan, iaitu DRAVA LIFE - Integrated River Management dari Croatia yang memenangi Anugerah Emas dan Donate Your Own Device Initiative dari Emiriah Arab Bersatu yang memenangi Anugerah Perak.

COMM@LiT diterajui oleh Profesor Dr. Jamilah Ahmad dari Pusat Pengajian Komunikasi, USM, yang merupakan penerima Geran SULAM USM bagi Semester 2 Sidang Akademik 2025/2026.

Kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan projek pembelajaran berasaskan khidmat dalam menghubungkan pembelajaran akademik dengan pelaksanaan projek komuniti yang terancang serta berorientasikan kelestarian.

Pencapaian di peringkat antarabangsa itu turut memperlihatkan nilai pendekatan Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM) dalam memperkukuh pembelajaran pelajar melalui penglibatan bersama komuniti, di samping menyerlahkan komitmen USM terhadap projek yang menawarkan nilai sosial dan impak berkekalan.

Pencapaian membanggakan itu juga disifatkan dapat menginspirasikan lebih banyak inisiatif SULAM USM untuk memperluas impak komuniti dan membawa kecemerlangan universiti ke pentas dunia.

Teks: Dr. Noor Alyani Nor Azazi, Penyelaras SULAM USM