Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

BIOGRANULASI BUKA DIMENSI BAHARU RAWATAN SISA AIR DAN PEMULIHAN SUMBER

USM PULAU PINANG · 13 Ogos 2026

Di sebalik kepesatan industri dan urbanisasi, pengurusan sisa air kekal menjadi antara cabaran terbesar dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Dalam kebanyakan sistem sedia ada, air sisa perlu melalui beberapa peringkat rawatan sebelum dapat dilepaskan semula dengan selamat, melibatkan penggunaan kemudahan, ruang dan tenaga yang besar.

Namun, sekumpulan penyelidik daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemukan teknologi baharu yang dikenali sebagai biogranulasi, untuk mengatasi cabaran semasa dan penyelesaian lebih mampan.

Teknologi itu membentuk mikroalga menjadi biogranul, iaitu gumpalan mikroorganisma yang lebih besar, padat dan mudah mendap, sekali gus memudahkan proses pengasingan daripada air tanpa penggunaan bahan kimia.

Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr. Vel Murugan Vadivelu berkata, inovasi berkenaan berpotensi menjadi satu pendekatan baharu dalam rawatan sisa air, khususnya dengan menggabungkan proses rawatan dan pemulihan sumber secara lebih mampan.

“Teknologi berasaskan mikroalga kini beralih daripada sekadar sel tunggal yang sukar dituai kepada pembentukan biogranul, gumpalan mikroorganisma yang padat, berat dan mudah diasingkan tanpa menggunakan bahan kimia.

“Mikroalga ialah mikroorganisma fotosintetik yang unik. Ia bukan sahaja mampu menyerap nutrien pencemar seperti nitrogen dan fosforus daripada sisa air untuk pertumbuhannya, malah menghasilkan oksigen,” katanya.

Menurut beliau, cabaran utama teknologi mikroalga konvensional ialah kesukaran mengasingkan sel-sel halus berkenaan daripada air yang telah dirawat berikutan ketumpatannya yang rendah.

“Secara tradisinya, proses penuaian ini menyumbang kepada sebahagian besar kos operasi. Di sinilah teknologi biogranulasi memainkan peranan sebagai penyelesaian yang lebih lestari,” katanya.

Vel Murugan berkata, walaupun trend penyelidikan semasa lebih tertumpu kepada granul campuran mikroalga-bakteria, pasukan penyelidik USM turut menekankan potensi granul mikroalga tulen tanpa bakteria.

“Penggunaan mikroalga-bakteria sangat berkesan untuk rawatan sisa air, namun kehadiran bakteria mengehadkan aplikasinya dalam bidang farmaseutikal atau makanan kerana risiko pencemaran.

“Granul mikroalga tulen dilihat sebagai ‘pilihan bijak’ kerana tidak memerlukan proses penulenan tambahan, menjadikannya lebih kos efektif untuk aplikasi industri berskala besar seperti penghasilan biobahan api dan baja,” katanya.

Mengulas mengenai impak terhadap ekonomi kitaran, beliau berkata integrasi teknologi biogranulasi dalam rawatan air sisa menyokong pendekatan yang melihat sisa air bukan lagi sebagai beban, sebaliknya sebagai sumber nutrien untuk menghasilkan biojisim mikroalga yang bernilai tinggi.

Katanya, granul yang matang boleh mencapai saiz sehingga 3.77 milimeter, membolehkan ia mendap dengan pantas dan seterusnya memudahkan proses pemulihan sumber secara langsung.

“Dalam konteks ini, sisa air yang sebelum ini dilihat sebagai bahan pencemar boleh dimanfaatkan sebagai sumber nutrien bagi menghasilkan biojisim mikroalga yang berpotensi digunakan untuk pelbagai aplikasi.

“Masa depan kelestarian air kini bergantung kepada inovasi yang mampu mengimbangi kecekapan rawatan dengan kos operasi yang rendah. Dengan kemajuan dalam teknologi biogranulasi, sisa air yang dulunya mencemar kini mampu diubah menjadi sumber kekayaan hijau yang mampan,” katanya.

Teknologi berkenaan sekali gus membuka potensi kepada pendekatan rawatan sisa air yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada membersihkan air, malah membolehkan sumber daripada sisa berkenaan dipulihkan dan dimanfaatkan semula, selaras dengan keperluan kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi kitaran.

Teks: Profesor Madya Dr. Vel Murugan Vadivelu, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM
Foto: Profesor Madya Dr. Vel Murugan Vadivelu, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM