Memulakan pengajian PhD secara mod penyelidikan pada 2019, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajiannya, termasuk melahirkan anak ketiga ketika masih meneruskan penyelidikan.
Nurhidayah, yang mengikuti pengajian dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan secara mod penyelidikan, mula diuji apabila negara berdepan pandemik COVID-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Keadaan itu mengganggu jadual pengajiannya apabila beliau tidak dapat ke makmal untuk menjalankan penyelidikan seperti yang dirancang.
Tidak terhenti di situ, ujian lebih besar hadir ketika beliau menyangka perjalanan panjang pengajiannya bakal berakhir dengan detik kegembiraan untuk diraikan bersama keluarga.
Namun, suaminya didiagnosis menghidap ketumbuhan otak dan perlu menjalani pembedahan besar, sekali gus mengubah suasana yang sepatutnya menjadi detik meraikan kejayaan kepada satu lagi fasa kehidupan yang penuh cabaran.
“Tahun 2026 menjadi satu perjalanan seperti menaiki roller coaster. Perasaan gembira, sedih, bimbang, ketidaktentuan, dan adakalanya bersyukur bercampur-baur. Segalanya berlaku dalam tempoh saya berjuang menuntut ilmu.
“Namun, saya merasakan pengalaman tersebut mengajar saya bahawa perjalanan PhD bukan semata-mata tentang menyiapkan penyelidikan, memenuhi keperluan akademik atau akhirnya menerima skrol di pentas konvokesyen.
“Sebaliknya, perjalanan itu turut menguji kekuatan mental dan emosi, membentuk ketabahan serta mengajar erti meneruskan kehidupan walaupun berdepan keadaan yang tidak pernah dijangka,” ujar beliau.
Kisah Nurhidayah membawa mesej bahawa di sebalik setiap kejayaan, terdapat perjalanan yang mungkin tidak terlihat oleh orang lain. Ada pengorbanan, air mata, kebimbangan, dan perjuangan yang berlangsung jauh daripada perhatian.
Bagi Nurhidayah, pengiktirafan akademik yang diterima bukan sekadar penamat sebuah perjalanan pengajian, tetapi lambang ketabahan dalam mengharungi fasa kehidupan yang mengajarnya bahawa setiap ujian turut membawa kekuatan dan harapan baharu.
“PhD bukan sekadar tentang mendapatkan segulung ijazah, tetapi tentang menemukan kekuatan dalam diri ketika kehidupan menguji kita dengan sesuatu yang tidak pernah dijangka. Selagi ada harapan, sentiasa ada jalan untuk terus melangkah,” katanya.
Nurhidayah merupakan antara 1,055 graduan yang menerima ijazah PhD dalam Sidang Kedua Upacara Konvokesyen Ke-64 USM. Beliau menerima skrol daripada Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.