Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

BENGKEL PPIK LEADERSHIP PERKUKUH KEPIMPINAN EXCO BAHARU

USM PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Seramai 73 Exco Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Bengkel PPIK Leadership bagi memperkukuh kepimpinan dan memantapkan pengurusan persatuan bagi sidang akademik 2026/2027.

Bengkel yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 2 pada 21 Oktober lalu itu memberi fokus kepada pemantapan kepimpinan dan integriti mahasiswa melalui perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran insaniah, pengurusan kewangan, dan pentadbiran persatuan serta perbincangan berkumpulan.

Program tersebut turut bertujuan meningkatkan keupayaan Exco merancang program, menyelesaikan masalah, dan melaksanakan tanggungjawab secara profesional.

Penasihat PPIK, Dr. Abdul Rahman Mad Ali@Abang, berkata Exco baharu perlu menggalas amanah dengan penuh komitmen dan integriti serta mengutamakan kepentingan persatuan dalam setiap tindakan. Beliau berkata mereka juga perlu bersikap terbuka menerima pandangan serta bijak menangani cabaran melalui perbincangan dan keputusan bersama.

Menurutnya, kepimpinan yang berkesan menuntut sikap bertanggungjawab, kesediaan bekerjasama, dan keupayaan menjadi teladan bagi memastikan kelangsungan serta kecemerlangan persatuan.

Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Yang Dipertua PPIK, Muhammad Farhan Mohd Fitri, berkata komunikasi yang berkesan, kesepakatan, dan kerjasama berpasukan merupakan asas penting dalam menyelaraskan gerak kerja Exco. Katanya, elemen tersebut penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Turut hadir ialah penasihat PPIK, Khairul Aswad Abd Aziz, serta wakil Mantan Majlis Tertinggi PPIK sidang akademik 2025/2026, Siti Norkhatyjah Abu Bakar.

Penganjuran bengkel ini selari dengan agenda H.E.B.A.T. USM dalam melahirkan mahasiswa yang holistik, berketerampilan, dan berdaya saing melalui pemantapan kepimpinan, komunikasi serta keupayaan mengurus organisasi secara berkesan.

Teks: Exco Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK) / Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Foto: Exco Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK)
```