Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

BELIA PENGGERAK MASA DEPAN: MEMPERKASA AGENDA DAN KEPIMPINAN ASEAN DI USM

USM PULAU PINANG · 6 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 6 Oktober 2026 – Program ASEAN Youth: Conversation, Debate and Quiz anjuran Kementerian Luar Negeri Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM menjadi ruang perbincangan dan perkongsian bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman belia mengenai ASEAN, di samping mengasah pemikiran kritis dan memperluas hubungan kerjasama dalam kalangan belia serantau.

Berteraskan tema “Lead Locally, Impact Regionally”, program ini menekankan peranan belia dalam menggerakkan perubahan di peringkat tempatan yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan Komuniti ASEAN.

Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni, dalam majlis perasmian menegaskan bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan Komuniti ASEAN sebagai bakal penggubal dasar, usahawan, pendidik, penyelidik, golongan professional, dan pemimpin masyarakat.

“Inovasi, keterbukaan, keupayaan digital, dan hubungan kemasyarakatan yang dimiliki belia berupaya menggerakkan masyarakat, merapatkan jurang, memupuk sikap saling menghormati, dan memperkukuh persefahaman antara budaya dalam usaha membina keamanan,” ujar beliau.

Seiring dengan itu, Pengarah Gabungan Organisasi Belia, Shabil Syach Pachlefi, berkata bahawa ASEAN turut menyediakan ruang kepada golongan belia untuk terlibat dalam pelaksanaan agenda pembangunan ASEAN, termasuk melalui Indeks Pembangunan Belia ASEAN dan Pelan Kerja Belia ASEAN 2025–2030 bagi memastikan pandangan serta penyertaan belia diberi perhatian dalam agenda serantau.

Mewakili Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, pula melihat kepimpinan belia bermula dengan keberanian untuk bertindak, kesediaan memahami pandangan yang berbeza serta keupayaan mengambil langkah yang mampu membawa perubahan.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, barisan pensyarah serta wakil organisasi belia yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh kefahaman, kepimpinan, dan penglibatan generasi muda.

Mengupas pelbagai aspek pembangunan ASEAN, program ini membincangkan isu berkaitan politik dan keselamatan, ekonomi, social, dan kebudayaan serta hubungan antara negara melalui sesi perbincangan, sebelum menguji pengetahuan dan keupayaan berfikir belia menerusi Debat Belia ASEAN dan Kuiz Interaktif ASEAN.

Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM