BANK TISU USM: PERINTIS DALAM PEMBANGUNAN PERBANKAN TISU MANUSIA
Di sebalik kejayaan sesuatu rawatan perubatan, terdapat pelbagai kepakaran, teknologi dan kemudahan khusus yang memainkan peranan penting dalam membantu pesakit mendapatkan semula fungsi anggota serta meningkatkan kualiti hidup mereka.
Antara kemudahan dalam bidang perubatan yang jarang diketengahkan kepada masyarakat ialah Bank Tisu. Bank Tisu merupakan sebuah fasiliti khusus yang bertanggungjawab menguruskan proses perolehan, pemprosesan, pengawetan, penyimpanan dan pengedaran tisu manusia untuk tujuan rawatan dan kegunaan klinikal.
Di Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan institusi perintis dalam bidang ini menerusi penubuhan Bank Tisu USM yang telah dirasmikan pada 5 November 1994 oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan.
Penubuhan Bank Tisu USM merupakan hasil kerjasama antara Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Nuklear Malaysia dan USM, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam pembangunan perkhidmatan perbankan tisu di negara ini.
Selepas lebih tiga dekad beroperasi, Bank Tisu USM terus memainkan peranan penting dalam menyediakan graf tisu manusia yang selamat dan berkualiti bagi menyokong keperluan rawatan pesakit dalam pelbagai bidang perubatan.
Menurut Penyelaras Bank Tisu USM, Profesor Dr. Suzina Sheikh Abdul Hamid, Bank Tisu USM ditubuhkan bertujuan memenuhi keperluan strategik negara untuk memastikan bekalan graf tisu manusia yang selamat, berkualiti dan mencukupi bagi kegunaan klinikal.
“Selain mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import, kewujudan Bank Tisu USM turut menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kecemasan dan bencana, di samping membangunkan kepakaran serta teknologi perbankan tisu tempatan.
“Secara umumnya, bank tisu berperanan menguruskan tisu manusia yang didermakan untuk diproses dan disediakan sebagai graf tisu bagi kegunaan rawatan pesakit mengikut keperluan klinikal.
“Di Bank Tisu USM, pelbagai jenis graf tisu disediakan termasuk tulang, tendon dan membran amnion yang mempunyai kegunaan berbeza dalam membantu rawatan serta pemulihan pesakit,” katanya ketika ditemu bual.
Tambah beliau, graf tulang biasanya digunakan untuk membaiki kecacatan dan kehilangan tulang akibat kecederaan atau penyakit, manakala tendon digunakan dalam pembedahan bagi merawat kecederaan sukan.
“Membran amnion pula mempunyai pelbagai kegunaan klinikal, antaranya membantu penyembuhan ulser, bertindak sebagai penutup biologi sementara untuk melindungi luka, khususnya dalam kalangan pesakit melecur serta digunakan dalam rawatan penyakit dan kecederaan mata.
“Kepelbagaian graf tisu ini membuktikan bahawa sumbangan tisu manusia mempunyai nilai yang besar dalam dunia perubatan kerana dapat membantu membina semula tisu yang rosak, memulihkan fungsi anggota dan meningkatkan keberkesanan rawatan pesakit,” ujarnya lagi.
Suzina turut menjelaskan bahawa kewujudan Bank Tisu USM bukan sekadar menyediakan bekalan tisu untuk kegunaan klinikal, malah menjadi sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan yang menyokong keperluan rawatan pesakit.
“Dalam perkhidmatan perbankan tisu, aspek keselamatan, kualiti dan kebolehkesanan merupakan elemen penting bagi memastikan setiap graf tisu yang dibekalkan memenuhi keperluan klinikal.
“Sehubungan itu, Bank Tisu USM melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang sistematik berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta amalan jaminan kualiti (Quality Assurance) dalam setiap peringkat pengurusan tisu.
“Proses tersebut merangkumi perolehan, pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran graf tisu bagi memastikan setiap peringkat dilaksanakan secara terkawal serta mempunyai rekod kebolehkesanan yang sewajarnya,” terangnya.
Beliau berkata, keupayaan ini turut disokong oleh kemudahan fasiliti bilik bersih (clean room) yang digunakan untuk pemprosesan tisu, selain pelaksanaan sistem pengurusan yang memenuhi piawaian ISO 9001 dan MS 1900.
“Keistimewaan Bank Tisu USM turut terserlah melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 yang menekankan prinsip amanah, penghormatan terhadap maruah manusia, keadilan dan pemeliharaan nyawa.
“Prinsip tersebut diterapkan dalam pengurusan tisu bermula daripada perolehan, pengendalian, pemprosesan dan penyimpanan sehingga penggunaan serta pengagihan graf tisu.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pengurusan tisu manusia dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mengambil kira keperluan syariah, selain menjaga kehormatan penderma serta keselamatan penerima,” ulasnya lanjut.
Sepanjang 32 tahun penubuhannya, Bank Tisu USM telah berkembang daripada sebuah institusi perintis kepada pusat rujukan teknikal dan operasi perbankan tisu yang turut mendapat perhatian institusi luar negara.
Antara pencapaian pentingnya ialah penerimaan Anugerah Inovasi Negara pada tahun 2007 serta pelbagai pengiktirafan dan pingat menerusi penyertaan dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Hasil penyelidikan membran amnion turut mendapat pengiktirafan apabila memperoleh anugerah ‘Best Oral Presentation’ dalam 6th World Congress on Tissue Banking di Barcelona dan 7th World Congress on Tissue Banking di Melbourne.
Selain pencapaian penyelidikan, Bank Tisu USM turut memainkan peranan dalam pembangunan kepakaran melalui program latihan, bimbingan teknikal dan pemindahan ilmu kepada pakar perubatan serta profesional kesihatan.
Antara negara yang pernah menghantar pakar perubatan dan profesional kesihatan untuk mengikuti latihan di Bank Tisu USM termasuk Tunisia, Taiwan, India, Pakistan, Filipina, Syria, Iraq dan Tanzania.
Perkongsian kepakaran tersebut memberi penekanan kepada aplikasi piawaian dan garis panduan dalam amalan operasi perbankan tisu, sekali gus membantu institusi luar membangunkan keupayaan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan di negara masing-masing.
Peranan ini memperlihatkan sumbangan USM bukan sahaja dalam menyediakan perkhidmatan kepada keperluan kesihatan negara, malah turut menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kepakaran perbankan tisu di peringkat antarabangsa.
Menurut Suzina lagi, seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan rawatan perubatan yang semakin meningkat, Bank Tisu USM turut merancang untuk memperkukuh keupayaan perkhidmatannya melalui pembangunan perbankan kulit (skin banking) serta penerokaan potensi penggunaan graf tisu dalam bidang perubatan regeneratif (regenerative medicine).
“Bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan komitmen berterusan dalam menangani cabaran berkaitan perkembangan teknologi, pembangunan kepakaran, sumber manusia, peruntukan kewangan dan peningkatan permintaan terhadap graf tisu untuk kegunaan klinikal.
“Dalam hal ini, kerjasama antara institusi kesihatan, universiti dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan perkhidmatan perbankan tisu negara dapat terus dibangunkan secara mampan, bersepadu dan berdaya tahan.
“Pada masa sama, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan tisu manusia juga perlu terus dipupuk agar lebih ramai memahami manfaatnya kepada pesakit yang memerlukan rawatan,” jelasnya.
Selain itu, Suzina turut menegaskan bahawa pendermaan tisu bukan sekadar satu sumbangan, tetapi merupakan peluang untuk memberikan harapan kepada individu yang mengalami kecederaan, kerosakan tisu akibat penyakit, melecur, ulser atau memerlukan pembedahan rekonstruktif.
“Selepas 32 tahun menjadi perintis dalam bidang perbankan tisu negara, Bank Tisu USM terus membawa misi yang melangkaui penyediaan kemudahan klinikal, iaitu menghubungkan sumbangan penderma dengan peluang pemulihan pesakit.
“Sesungguhnya, di sebalik setiap graf tisu yang disediakan, tersimpan nilai sebuah sumbangan yang mampu membantu memulihkan fungsi anggota, meningkatkan kualiti hidup dan memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan,” katanya mengakhiri temu bual.