Skip to main content

ANBANANTHAN RAWI TERUS HARUMKAN NAMA MALAYSIA DI PIALA DUNIA HOKI FIH 2026

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 3 September 2026

PULAU PINANG, 3 September 2026 – Anbananthan Rawi dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Universiti Sains Malaysia (USM), sekali lagi mengharumkan nama negara dan universiti apabila beliau mewakili Malaysia sebagai pengadil di kejohanan Piala Dunia Hoki FIH 2026 yang baru berakhir di Belgium dan Belanda.

Ini merupakan penampilan keduanya di Piala Dunia, menjadikannya satu‑satunya pengadil Malaysia yang terpilih untuk kejohanan tersebut, iaitu satu pencapaian istimewa yang meletakkannya dalam kelompok elit pengadil hoki antarabangsa.

Bekas pemain hoki sebelum beralih ke bidang pengadilan, Anbananthan yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, membawa pengalaman luas dalam sukan ini yang menjadi asas pembentukan kerjaya pengadilannya.

Di kejohanan Piala Dunia, beliau diberi tanggungjawab mengadili dua perlawanan: sebagai pengadil video untuk perlawanan wanita antara Chile dan Jepun pada 17 Ogos, dan sebagai pengadil di padang untuk perlawanan lelaki antara New Zealand dan Jepun pada 18 Ogos.

Pelantikan berganda dalam kejohanan lelaki dan wanita ini adalah satu penghormatan besar yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pengadil hoki bertaraf antarabangsa.

Sebagai wakil tunggal Malaysia di Hoki Piala Dunia 2026, kehadirannya turut mengukuhkan kehadiran negara di pentas hoki dunia.

Dengan lebih 18 tahun pengalaman sebagai pengadil antarabangsa, Anbananthan telah mengadili kejohanan berprestij termasuk Piala Sultan Azlan Shah, Sukan Komanwel, Kelayakan Olimpik, dan Piala Asia Hero.

Sifat profesionalisme, konsistensi, dan ketahanannya berkecimpung dalam sukan hoki melayakkan beliau menerima Anugerah Wisel Emas pada Februari 2025, iaitu pengiktirafan kepada pengadil yang telah mengadili lebih 100 perlawanan rasmi antarabangsa.

Di Piala Dunia Hoki FIH 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 30 Ogos itu, beliau diberi tanggungjawab mengadili perlawanan berintensiti tinggi, sekali gus membuktikan keyakinan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) terhadap kebolehannya.

Dalam perkongsiannya, Anbananthan menekankan kepentingan disiplin, kecergasan, dan kesabaran untuk pengadil muda.

Beliau sering mengingatkan bahawa setiap perlawanan menuntut tahap profesionalisme yang konsisten, sama ada perlawanan biasa atau berintensiti tinggi.

“Dalam masa yang sama, pengadil perlu sentiasa peka dan arif terhadap perkembangan terkini berkaitan peraturan serta taktikal sukan tersebut agar mutu pengadilan kekal cemerlang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengadil perlu lulus ujian kecergasan fizikal secara berkala untuk terus beraksi di peringkat tertinggi. Menurutnya, prinsip-prinsip tersebut merupakan tunjang utama kejayaan dalam arena pengadilan antarabangsa.

Pencapaian beliau membawa makna besar kepada Malaysia, yakni membuktikan negara mampu melahirkan bukan sahaja pemain berbakat tetapi juga pegawai teknikal bertaraf dunia, mengukuhkan keterlihatan Malaysia dalam tadbir urus hoki antarabangsa, serta memberi inspirasi kepada pengadil dan pemain muda untuk mencapai pengiktirafan global.

Teks: Tan Ewe Hoe (Sumber: Laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) & Scoop.my)
Foto: Anbananthan Rawi, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), USM