Skip to main content

AMeLS International Coastal Clean Up 2026 Pupuk Kesedaran Alam Sekitar di Pantai Senok

BERITA MUTAKHIR
BACHOK, KELANTAN · 17 Oktober 2026

BACHOK, 17 Oktober 2026 – Persatuan Sains Makmal Perubatan, Universiti Sains Malaysia (AMeLS) dengan kerjasama Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kesihatan USM telah menganjurkan program AMeLS International Coastal Clean Up 2026 menerusi aktiviti plogging di Pantai Senok, Bachok, Kelantan.

Program yang bermula pada pukul 9.15 pagi itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai, memelihara ekosistem marin dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Seramai 137 peserta mengambil bahagian, terdiri daripada staf Kampus Kesihatan USM yang mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan jabatan, selain ahli keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

Penyertaan pelbagai peringkat usia ini turut menjadikan program berkenaan sebagai platform pendidikan alam sekitar yang menggalakkan pembudayaan amalan lestari sejak usia muda.

Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta diberikan masa selama 45 minit untuk mengutip sampah di kawasan pantai dalam lingkungan radius 300 meter.

Antara sisa yang berjaya dikutip termasuk cebisan plastik, puntung rokok, pembalut makanan, getah dan tisu. Penemuan pelbagai jenis sampah ini memperlihatkan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta kerjasama masyarakat dalam memastikan kawasan pantai sentiasa terpelihara.

Penglibatan kanak-kanak turut memberikan nilai tambah apabila mereka berpeluang mempelajari kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar melalui pengalaman secara langsung, sekali gus memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam semula jadi.

Komitmen terhadap kelestarian turut diterapkan semasa jamuan pada penghujung program apabila peserta menggunakan bekas makanan yang dibawa sendiri dari rumah bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Amalan tersebut mencerminkan usaha warga kampus untuk membudayakan gaya hidup mesra alam bukan sahaja melalui aktiviti pembersihan, malah dalam urusan harian.

Secara keseluruhannya, penganjuran AMeLS International Coastal Clean Up 2026 bukan sahaja menyumbang kepada kebersihan Pantai Senok, malah memperkukuh semangat kerjasama, tanggungjawab sosial dan penglibatan komuniti dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga Kampus Kesihatan USM dan masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi mewujudkan komuniti yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Teks & Foto: Norhana Md. Arshad, Presiden Persatuan Sains Makmal Perubatan, Universiti Sains Malaysia (AMeLS)