Skip to main content

ACCESS 2026 RENTAS SEMPADAN, PERKASA BAKAT USM MELALUI AKADEMIK, BUDAYA DAN JARINGAN GLOBAL

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 24 September 2026

Program Academic Collaboration & Cultural Exchange for Strategic Sustainable Global Partnerships (ACCESS) 2026 dilihat dapat memperkukuh mobiliti antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi kolaborasi akademik, pertukaran budaya dan pembinaan jaringan global bersama Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, Indonesia.

Program mobiliti antarabangsa jangka pendek yang berlangsung dari 1 hingga 15 September 2026 itu melibatkan 10 pelajar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, antaranya dua pelajar pascasiswazah dan lapan pelajar ijazah pertama, dengan diiringi dua pensyarah iaitu Dr. Faridah Jaafar dan Dr. Hazrul Abdul Hamid.

Fasa mobiliti secara bersemuka berlangsung di Makassar, Maros dan Gowa dari 1 hingga 8 September, diikuti komponen pembelajaran dan kolaborasi dalam talian serta dokumentasi susulan dari 9 hingga 15 September 2026.

Berdasarkan reka bentuk dan pengisian program, ACCESS 2026 merupakan program mobiliti antarabangsa jangka pendek berbentuk lawatan akademik dan pertukaran budaya serta bukan program berasaskan kredit akademik.

Program memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman, pendedahan kepada persekitaran akademik antarabangsa, interaksi rentas budaya serta pengukuhan jaringan institusi antara USM dengan UNHAS.

Dari perspektif akademik, peserta memperoleh pendedahan secara langsung kepada ekosistem pendidikan tinggi di Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), UNHAS menerusi penyertaan dalam Kuliah Tamu, sesi pengajaran dan pembelajaran bersama mahasiswa FISIP, perkongsian penyelidikan serta interaksi akademik dengan warga universiti.

Peserta turut terlibat dalam platform komunikasi ilmu menerusi UNHAS TV selain berinteraksi dengan pelajar dan Unit Kegiatan Mahasiswa (UKM), sekali gus memberi ruang kepada mereka memahami dinamika kehidupan akademik dan kemahasiswaan dalam konteks institusi pengajian tinggi Indonesia.

Komposisi peserta yang merangkumi lima pelajar Sains Politik, tiga pelajar Pengurusan, seorang pelajar Antropologi dan Sosiologi serta seorang pelajar Biologi turut memperlihatkan pendekatan rentas disiplin yang diterapkan dalam program berkenaan.

Faridah turut berperanan menyampaikan pengisian akademik utama, Kuliah Tamu yang bertajuk “Mendefinisikan Semula Diplomasi: Visi Anwar Ibrahim dan Arah Baru Dasar Luar Malaysia” yang disampaikan di Dewan Aula Prof. Syukur Abdullah.

Kuliah berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan diplomasi dan dasar luar Malaysia, khususnya dalam konteks perubahan orientasi dasar luar pada era semasa.

Beliau turut terlibat sebagai panel jemputan Podcast Program FIELD NOTES yang membincangkan evolusi dasar luar Malaysia daripada era kemerdekaan sehingga pentadbiran Anwar Ibrahim, selain menjadi panel jemputan UNHAS TV bagi membincangkan perubahan dan perkembangan dasar luar Malaysia pada era Anwar Ibrahim.

Penglibatan berkenaan memperluas dimensi penyampaian ilmu daripada ruang akademik konvensional kepada platform komunikasi digital dan media.

Sementara itu, Hazrul yang juga Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar USM, turut menyumbang melalui perkongsian berkaitan hal ehwal pelajar menerusi platform podcast dan UNHAS TV.

Selain pengisian akademik, peserta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti penghayatan warisan dan budaya setempat, termasuk lawatan sejarah dan budaya di Makassar dan Gowa, eksplorasi kawasan Rammang-Rammang di Maros serta majlis perpisahan yang dilaksanakan di atas kapal Phinisi.

Aktiviti berkenaan memperkayakan pengalaman peserta melalui interaksi langsung dengan masyarakat, sejarah, warisan dan landskap sosio-budaya Sulawesi Selatan.

Komponen dalam talian pula melengkapkan pengalaman mobiliti menerusi penyertaan dalam Hasanuddin Global Student Conference (HGSC) 2026 pada 11 dan 12 September 2026, yang memberi pendedahan kepada peserta terhadap wacana dan perbincangan berkaitan isu global, pembangunan mampan, keadilan iklim serta tadbir urus dalam lingkungan jaringan mahasiswa antarabangsa.

Secara keseluruhannya, ACCESS 2026 memperlihatkan pelaksanaan mobiliti akademik yang bersifat multidisiplin, rentas institusi dan berorientasikan pengantarabangsaan dengan mengintegrasikan pembelajaran akademik, komunikasi ilmu, penyelidikan, media digital dan jaringan antarabangsa.

Kepelbagaian latar disiplin peserta serta variasi pengisian program turut memperkukuh pengalaman pembelajaran dan kompetensi peserta dalam memahami isu serantau dan global secara lebih kontekstual.

Teks & Foto: Dr. Faridah Jaafar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM