USM PULAU PINANG, 29 Oktober 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh usaha mentransformasikan pendidikan tinggi menerusi penganjuran Academia Fiesta@USM 2026 yang menjadi platform untuk mengetengahkan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP), perkongsian amalan terbaik serta pembangunan kecemerlangan akademik.
Berlangsung di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, program bertemakan “Building Networks of EduChamps” itu menghimpunkan warga akademik bagi menggalakkan penghasilan idea kreatif dan inovatif dalam reka bentuk pengajaran serta pembangunan bahan pembelajaran.
Inisiatif ini turut membuka ruang kepada staf dan pelajar untuk berkongsi hasil inovasi dan amalan terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti pengalaman pembelajaran.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan bahawa tanggungjawab universiti bukan sekadar menghasilkan graduan, malah turut mendidik dan membimbing pelajar agar bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan.
Beliau turut mengingatkan warga akademik supaya mengutamakan pengajaran dan meneroka pendekatan yang lebih kreatif bagi menarik minat pelajar, selaras dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
“Kita perlu membentuk graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu dalam bidang masing-masing, malah memiliki kemahiran menyelesaikan masalah, menyampaikan idea dengan yakin serta berupaya menerima dan menghadapi kritikan. Oleh itu, inovasi dalam PdP perlu memberi penekanan kepada pembangunan pemikiran kritis, kemahiran insaniah dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar,” kata Abdul Rahman.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad pula turut menekankan kepentingan pembelajaran berpusatkan pelajar serta pendekatan pendidikan yang fleksibel dan inklusif bagi mempersiapkan universiti menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi.
Beliau turut menggariskan keperluan memperkukuh jaringan akademia, industri dan antarabangsa serta memastikan penggunaan teknologi disokong oleh nilai integriti, empati dan tanggungjawab sosial.
Antara pengisian program ialah pelancaran produk Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) iaitu Learnovator dan SIM serta syarahan bertajuk “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia” oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad.
Program ini turut merangkumi penyampaian hadiah bagi EduChamp Challenge, Inovasi PdP dan MOOC Challenge sebagai sebahagian daripada usaha mengiktiraf kreativiti serta inovasi dalam bidang pendidikan.
Penganjuran Academia Fiesta@USM 2026 diharapkan dapat menyemarakkan budaya inovasi dalam komuniti akademik, memperluas perkongsian amalan terbaik dan memperkukuh komitmen universiti terhadap pembangunan pendidikan berkualiti.
Usaha ini selaras dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan.