Skip to main content

“ABANG FOKUS BELAJAR, JANGAN FIKIR PASAL KAMI” - ADIK ADAM ISKANDAR

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 14 September 2026

“Abang belajar elok-elok, jangan fikir pasal kami, kami dah besar dan boleh jaga diri sendiri,” demikian pesanan Nur Alisya Safiya kepada abangnya, Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, 20, yang bakal memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Nur Alisya Safiya, 17, berkata, dia dan adiknya, Muhd Asyraf Iskandar, 16, berasa sedih kerana bakal berjauhan dengan abang mereka, namun pada masa yang sama gembira apabila Adam Iskandar berpeluang melanjutkan pengajian dan mengejar cita-citanya.

Menurutnya, antara perkara yang paling akan dirindui ialah gelagat abangnya yang gemar bergurau dan kadangkala memarahi mereka, dan ketiadaannya di rumah nanti pasti membuatkan suasana terasa lebih sunyi.

“Abang kena fokus belajar dan jangan stres, kami dah besar dan boleh jaga diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Kemasukan Pelajar Baharu ke USM Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Utama Desasiswa, USM, hari ini.

Muhd Asyraf pula menitipkan pesanan ringkas kepada abangnya supaya belajar dengan baik dan memberikan sepenuh tumpuan sepanjang mengikuti pengajian di universiti.

Bagi kedua-dua beradik itu, kesungguhan Adam Iskandar meneruskan pengajian menjadi contoh kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Malah, sebelum melangkah ke universiti, Adam Iskandar turut berpesan kepada adik-adiknya supaya menjaga diri dan kesihatan serta melakukan yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi Adam pula, beliau terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk meninggalkan adik-adiknya di rumah sementara beliau memulakan kembara ilmu bagi mengubah nasib mereka sekeluarga.

“Saya menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT untuk menjaga mereka dan bertawakkal kerana Allah SWT sebaik-baik penjaga,” ujarnya dalam nada sebak.

Terdahulu, Adam Iskandar yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menerima tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.

Kisah ketabahannya sebelum ini mendapat perhatian selepas kehilangan bapanya pada 2021 dan ibunya pada 24 Ogos lalu, sekali gus menyaksikan Adam Iskandar memikul tanggungjawab besar sebagai anak sulung dalam keluarga.

Ketabahan Adam Iskandar turut teruji apabila adik keduanya kini turut mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan di Kuala Lumpur manakala adik bongsunya pula merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).

Adam Iskandar merupakan penerima Program Siswa SULUNG 4.0, yang membuka ruang kepadanya untuk meneruskan pengajian di USM dan mengejar cita-cita meskipun berdepan cabaran keluarga.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa