Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

74 AHLI KELANASISWA USM TERIMA PENTAULIAHAN ARPRM, PERKUKUH PEMBANGUNAN MAHASISWA BERTARAF ANTARABANGSA

USM PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Seramai 74 ahli Kelanasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Gangsa, sekali gus mengiktiraf komitmen mereka dalam pembangunan kendiri, kepimpinan dan kesukarelawanan menerusi program pembangunan belia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Pentauliahan itu berlangsung sempena Majlis Pentauliahan ARPRM Tahap Perak dan Gangsa Tahun 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Serbaguna, Kementerian Dalam Negeri, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Muadzam Shah, Alor Setar baru-baru ini. Majlis disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Zurihanmi Zakariya.

Pencapaian tersebut mencerminkan usaha Kelanasiswa USM memperkasa pembangunan mahasiswa melalui aktiviti kokurikulum berstruktur yang menggabungkan pengalaman praktikal, cabaran fizikal dan khidmat masyarakat bagi membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah, daya tahan dan rasa tanggungjawab sosial.

ARPRM merupakan program pembangunan belia yang berteraskan kerangka The Duke of Edinburgh’s International Award, sebuah program global yang dilaksanakan di lebih 130 negara dan wilayah. Penyertaan dalam program ini memberikan nilai tambah kepada mahasiswa melalui pengalaman pembangunan diri yang memenuhi kerangka pengiktirafan belia di peringkat antarabangsa.

Bagi memperoleh pentauliahan Tahap Gangsa, peserta perlu melengkapkan empat komponen utama, iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan pengembaraan lasak. Pelaksanaan komponen tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengembangkan potensi diri melalui pengalaman yang memupuk disiplin, ketekunan, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Rancangan Kelanasiswa USM, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Najwadi Yusoff, bersama-sama mentor Kelanasiswa USM, Tc. Ahmad Eskandar Jalaludin dan Maslina Suleiman. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha membimbing mahasiswa dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan dan pencapaian kokurikulum.

Sebagai pasukan beruniform di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia, Kelanasiswa USM menjadikan ARPRM sebagai salah satu platform untuk melengkapkan latihan kepengakapan dengan pengalaman pembelajaran berasaskan cabaran, khidmat masyarakat dan pembangunan kendiri.

Pendekatan ini turut menyokong agenda H.E.B.A.T. USM yang menekankan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh, merangkumi kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah, kepimpinan dan nilai kemasyarakatan.

Kelanasiswa USM komited meneruskan penyertaan dalam ARPRM sehingga Tahap Perak dan Emas bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk meneruskan perjalanan pembangunan diri serta memperoleh pengiktirafan pada tahap seterusnya.

Kejayaan 74 ahli Kelanasiswa USM ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa untuk menyertai program pembangunan belia, kepimpinan dan kesukarelawanan, sekali gus memperkukuh peranan aktiviti kokurikulum dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berketerampilan.

Teks: Diana Hafiqah Md Yusof, Kelanasiswa USM
Foto: Muhammad Airil Mohd Kamarozaman, Kelanasiswa USM