Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

67 GOLONGAN DEWASA BEKERJA DIRAIKAN TAMAT PROGRAM PENDIDIKAN PROFESIONAL

PULAU PINANG · 8 September 2026

Seramai 67 golongan dewasa bekerja diraikan atas kejayaan menamatkan pelbagai program pendidikan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini.

Kesemua mereka yang diraikan adalah peserta program pendidikan profesional anjuran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi unit Pembangunan Eksekutif - Centre for Executive Education & Development (CEED), dengan kerjasama Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd.

Majlis Graduasi yang berlangsung di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM, hari ini disempurnakan Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato' Dr. Azlan Amran.

Turut hadir Dekan GSB, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Madya Ts. Dr. Teoh Ai Ping; Pengurus Program Pembangunan Eksekutif (CEED), Dr. Karpal Singh Dara Singh; serta Pengarah Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd., Ms. Nicoe Leoi Mei Ling.

Daripada jumlah itu, 33 graduan berjaya menamatkan program selama setahun dalam Strategic Management & Leadership yang membawa kepada Professional Postgraduate Qualification Level 7 in Strategic Management & Leadership.

Seramai 31 lagi menamatkan Business Management Programme selama 10 bulan yang membawa kepada Professional Graduate Qualification Level 4, dengan pengkhususan dalam Pengurusan, Perniagaan Digital, Pengurusan Modal Insan serta Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan.

Tiga peserta pula menamatkan program jangka pendek Professional Certificate in AI for Office Management yang memberi pendedahan kepada pengetahuan dan kemahiran berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan dan operasi pejabat.

Program berkenaan merupakan sebahagian usaha CEED, GSB-USM dan Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd. memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dengan menyediakan peluang kepada individu yang sedang bekerja untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi selaras dengan perubahan keperluan dunia pekerjaan.

Fathyah dalam ucapannya turut menzahirkan tahniah kepada semua graduan atas komitmen dan kesungguhan mengikuti program masing-masing sambil meneruskan tanggungjawab dalam pekerjaan.

Beliau berkata, pembelajaran sepanjang hayat memainkan peranan penting dalam membantu individu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan serta meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada organisasi dan masyarakat.

“Diharapkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat dioptimumkan untuk membentuk pemimpin yang mampu memberikan impak positif kepada organisasi, komuniti dan negara,” katanya.

Menurut beliau, usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memasuki alam pekerjaan, sebaliknya perlu diteruskan sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat.

Sementara itu, Pengarah Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd., Nicoe Leoi Mei Ling pula berkata, pendidikan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat merupakan elemen penting dalam membantu individu kekal relevan, meningkatkan kebolehpasaran serta membina keupayaan menghadapi perubahan pesat dalam dunia pekerjaan.

Tambah beliau, kerjasama GSB-USM dan Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd. mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas akses kepada pendidikan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, khususnya bagi individu yang telah berada dalam alam pekerjaan.

“Pendekatan itu membolehkan peserta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan secara berterusan menerusi program yang bersifat praktikal, relevan serta selaras dengan keperluan semasa organisasi dan industri,” jelasnya.

Majlis graduasi berkenaan bukan sahaja menandakan kejayaan 67 peserta menamatkan program masing-masing, malah mencerminkan komitmen mereka terhadap pembelajaran berterusan, peningkatan diri dan pembangunan profesional.

Melalui program pendidikan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, GSB akan terus memperkukuh peranannya menyediakan peluang pembangunan kompetensi kepada masyarakat dan tenaga kerja, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan serta keperluan industri dan negara.

Teks: Dr. Karpal Singh dan Faridah Darishah, PP Siswazah Perniagaan USM
Foto: Dr. Karpal Singh dan Faridah Darishah, PP Siswazah Perniagaan USM