Skip to main content

5,804 PELAJAR BAHARU MULAKAN LANGKAH DI USM, PENDIDIKAN INKLUSIF JADI KEUTAMAAN

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 14 September 2026

USM PULAU PINANG, 14 September 2026 – Seramai 5,804 pelajar baharu daripada lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi, Diploma dan setaraf memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2026/2027, dengan universiti terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 4,904 calon daripada 37,171 permohonan melalui sistem UPU (Saluran Perdana) berjaya ditawarkan tempat untuk mengikuti 79 program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) di USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM terus menekankan kepentingan agenda Universiti Social Responsibility (USR) dengan mengekalkan naratif pengambilan golongan Bottom Billion bagi membuka peluang kepada calon daripada golongan tercicir dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.

“Bagi kategori B40, sebanyak 2,241 calon ditawarkan melalui saluran UPU bagi ketiga-tiga kampus USM, merangkumi 46 peratus daripada keseluruhan pelajar.

“Komitmen itu turut diteruskan menerusi Program Siswa SULUNG Malaysia, yang membantu anak-anak daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Bagi sidang ini juga, seramai 216 pelajar menerima tawaran melalui Program Siswa SULUNG dengan melibatkan kos berjumlah RM2.16 juta,” katanya ketika mempengerusikan sidang media khas sempena pendaftaran pelajar baharu USM, di sini semalam.

Buat pertama kalinya pada tahun ini, USM turut menyediakan Biasiswa Pelajar Terbaik STPM 2025 kepada seorang pelajar yang ditawarkan mengikuti pengajian di USM.

Biasiswa berkenaan meliputi yuran pengajian dan yuran kebajikan sepanjang tempoh pengajian, termasuk yuran pendaftaran dan yuran konvokesyen.

Dalam usaha memperluas akses pendidikan kepada komuniti Orang Asli, seramai lapan pelajar Orang Asli ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian di USM pada tahun ini, berbanding lima pelajar pada sidang sebelumnya.

Bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), sebanyak 17 calon turut ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus USM, terdiri daripada empat lelaki dan 13 perempuan.

Mereka akan menikmati kemudahan di Desasiswa Aman Damai yang menyediakan fasiliti mesra OKU, termasuk tandas khas, platform kerusi roda dan parkir kenderaan berhampiran bilik mereka.

USM turut memberi ruang kepada bakat muda dalam bidang sukan apabila 16 atlet negeri dan negara ditawarkan tempat melanjutkan pengajian melalui saluran kemasukan warga sukan.

Menurut Abdul Rahman, inisiatif itu mencerminkan komitmen USM dalam membantu mengembangkan potensi dan bakat atlet, di samping memastikan mereka memperoleh pendidikan yang seimbang bagi melahirkan graduan yang holistik.

Dalam perkembangan berkaitan akademik, USM turut memperkenalkan Program Kejuruteraan Elektronik (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian) oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) di bahagian Pulau, Pulau Pinang, bermula Sidang Akademik 2026/2027 Semester 1.

Kurikulum program berasaskan Industry-infused Program (IIP) itu merupakan antara usaha USM menyokong dasar kerajaan untuk menambahkan bilangan bakat tersedia industri (industry-ready talent) dalam bidang kejuruteraan elektronik di Malaysia.

Kohort pertama program berkenaan melibatkan 200 pelajar yang akan ditempatkan di Kampus Induk USM selama sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum berpindah ke kampus tetap di SAINS@USM, Bukit Jambul, Pulau Pinang, yang dijangka siap pada tahun 2029.

Pada masa sama, USM terus mendapat perhatian antarabangsa apabila 999 calon dari 37 negara menerima tawaran mengikuti pengajian sarjana muda sepenuh masa di universiti berkenaan.

Abdul Rahman berkata, sidang media berkenaan turut mengetengahkan kisah menarik pelajar daripada pelbagai kategori yang berkongsi pengalaman mereka dalam mengejar cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke menara ilmu.

“Dalam sidang media pada hari ini juga, kami membawakan kisah-kisah menarik para pelajar dalam kategori-kategori seperti yang disebutkan, bagi berkongsi pengalaman mereka dalam mengejar cita-cita melanjutkan pengajian ke menara ilmu,” katanya.

Sementara itu, semua pelajar baharu akan mengikuti Program Siswa Lestari yang memfokuskan agenda kecemerlangan universiti, termasuk aspek kelestarian, pembangunan pelajar secara berstruktur serta kebajikan dan kesejahteraan mental.

Pelaksanaan program berkenaan selaras dengan Pelan Strategik USM APEX, khususnya dalam merealisasikan aspirasi menyediakan Outstanding Learning and Living Experience kepada para pelajar.

Dalam memperkasa kebajikan pelajar, USM turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan, antaranya Sumbangan Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM1,000 kepada 23 pelajar yang layak.

Selain itu, sumbangan tunai bagi keperluan asas berjumlah RM50,000 disediakan kepada pelajar daripada kategori miskin tegar B40, pelajar kelainan upaya serta Siswa Sulung yang dikenal pasti, manakala Bantuan Awal Pendidikan Pelajar Baharu berjumlah RM250,000 disediakan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Bagi memastikan pengalaman pelajar bermula dalam suasana yang kondusif dan teratur, urusan pendaftaran turut dipermudahkan supaya pelajar dapat mendaftar dengan cepat tanpa perlu menunggu lama.

Pelajar dari luar Pulau Pinang turut disediakan kemudahan pengangkutan dari rumah dan lapangan terbang ke kampus, selain menerima kad pengenalan diri, botol air dan baju-T USM sebagai tanda selamat datang.

Semua pelajar baharu ditempatkan di desasiswa USM bagi memastikan mereka menikmati kehidupan kampus yang selesa, selamat dan kondusif, manakala perabot lama di desasiswa turut digantikan dengan perabot baharu yang lebih sesuai dan selesa.

USM turut menyediakan ruang rehat dan aktiviti pelajar (Student Lounge) yang kondusif untuk berinteraksi, bersosial serta melaksanakan pelbagai aktiviti.

Pada tahun ini, universiti itu turut memperkenalkan Dapur Siswa MADANI dan Menu Kasih Siswa sebagai antara inisiatif kebajikan baharu bagi menyokong keperluan serta kesejahteraan pelajar.

“Keseluruhannya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan aspek kebajikan, kesejahteraan, keselesaan, pembangunan bakat dan pengalaman kehidupan pelajar sentiasa diberi keutamaan.

“USM akan terus berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran dan kehidupan kampus yang inklusif, kondusif dan sejahtera agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.

Teks/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
Foto: Mohd Fairus Md Isa