USM NEWS PORTAL 

Rencana / Features

KEDAH TUA: SEBUAH NARATIF BAHARU

The Emdash Show Episod ke-30 yang berlangsung pada 29 Januari 2024 menampilkan perkongsian dua ahli panel Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun (Pengarah Penerbit USM & pensyarah Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM) dan Dr. Nasha Rodziadi Khaw (pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM), dengan Mohd Zaidi Abdullah (Ketua Bahagian Pegawai Penerbitan, Bahagian Pemasaran, Penerbit USM) sebagai moderatornya.

Perkongsian berkisar tentang sejarah Kedah Tua yang menampilkan penemuan baharu serta perbincangan kritis persejarahan yang memberi impak besar kepada sejarah awal Malaysia.

The Emdash Show #30 dianjurkan di Minden 11800, Kampus Induk USM yang dihadiri orang ramai dan beberapa ekor kucing residen, serta dipancarkan secara langsung menerusi platform Facebook, YouTube dan TikTok Penerbit USM.

Latar belakang penyelidikan

Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG USM) telah mula menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang pada tahun 2008, pada awalnya memberi fokus khas terhadap Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

Kini, penyelidikan arkeologi oleh PPAG USM telah dikembangkan lagi bagi menjawab persoalan lebih besar mengenai sejarah dan kebudayaan Kedah Tua secara keseluruhannya.

Penyelidikan tersebut yang kini diteruskan oleh Dr. Nasha Rodziadi Khaw telah membawa kepada pelbagai bentuk tafsiran dan naratif baharu mengenai aspek sejarah dan kebudayaan masyarakat Kedah Tua.

Di samping menilai semula pentarikhan dan kronologi Kedah Tua, beliau telah menjalankan kajian komprehensif terhadap tinggalan-tinggalan arkeologi di Lembah Bujang yang dirujuk silang dengan rekod-rekod sejarah serta data paleoalam.

Kajian terbaru ini mentafsir data arkeologi dan rekod-rekod sejarah Kedah Tua dengan mengambil kira konteks perkembangan hubungan kebudayaan, politik dan ekonomi antara India, Arab dan China dengan Dunia Melayu, terutamanya pada zaman Protosejarah dan sejarah Pra-Moden.

Penyelidikan yang bersifat holistik ini bertujuan untuk membentuk suatu naratif sejarah yang tepat dengan mengintegrasi pendekatan arkeologi, sejarah dan sosiologi pada peringkat setempat dan serantau.

Hasil penyelidikan beliau telah membawa kepada beberapa kesimpulan penting mengenai aspek (1) kemunculan Kedah Tua dan kronologinya, (2) kebudayaan dan demografi masyarakatnya (3) sistem politik dan (4) ekonominya.

Pertama, Kedah Tua muncul sebagai sebuah pelabuhan dan unit politik pada sekitar abad ke-2 Masehi, hasil daripada proses urbanisasi, perpindahan teknologi dan proses pertukaran budaya di Lembah Bujang yang dicetuskan oleh perkembangan perdagangan jarak jauh antara India dan China dengan Dunia Melayu.

Kedah Tua berkembang menjadi pusat perdagangan entreport pada sekitar abad ke-11 Masehi, dan mulai merosot pada sekitar abad ke-14 Masehi.

Kedua, Kedah Tua merupakan sebuah kota metropolitan dengan masyarakat berbilang kaum. Di samping masyarakat pribumi, wujud komuniti-komuniti pedagang dan artisan dari China, India dan Asia Barat. Agama Hindu-Buddha di Lembah Bujang kebanyakannya dianuti oleh para pedagang asing, dan cuma mempengaruhi kelompok-kelompok kecil daripada masyarakat pribumi yang terdiri daripada golongan pemerintah dan pedagang tempatan.

Ketiga, Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan maritim dan konfederasi penempatan-penempatan pesisir pantai, dengan wilayahnya merangkumi sebahagian besar kawasan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu.

Lembah Bujang merupakan pusat ekonomi, populasi dan politik kepada kerajaan Kedah Tua.

Keempat, Kedah Tua memiliki kepelbagaian dari segi aktiviti ekonomi, termasuk perdagangan antarabangsa, industri besi, manik dan tembikar tanah, serta pengumpulan sumber-sumber alam.

Di samping itu, para pemerintah Kedah Tua kemungkinan turut menjana pendapatan dengan menyediakan infrastruktur untuk para pedagang.

Projek ekskavasi terkini yang dijalankan

Kini, PPAG USM sedang menjalankan projek ekskavasi di tapak arkeologi Bukit Choras.

Projek yang diketuai oleh Dr. Nasha ini telah mendedahkan banyak data baharu seperti candi Buddha, arca-arca Buddha, tembikar tanah dan prasasti yang dapat memperkayakan lagi naratif sejarah mengenai Kedah Tua.

Naratif terkini tentang Kedah Tua menekankan kewujudan masyarakat pelbagai kaum, perkongsian budaya dan teknologi dengan dunia luar serta sikap keterbukaan dan toleransi masyarakat pribuminya.

Faktor-faktor tersebut telah mendorong perkembangan ekonomi, kebudayaan dan teknologi Kedah Tua. 

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kewujudan masyarakat majmuk, keterbukaan terhadap idea-idea luar dan daya inovasi masyarakat tempatan merupakan keistimewaan sebenar masyarakat Kedah Tua yang membawa kepada pencapaian ketamadunannya.

Ciri-ciri tersebut terus kekal ketika perkembangan kesultanan Melayu Melaka dan berterusan sehingga ke zaman moden, dan ia kini menjadi sebahagian daripada identiti kebangsaan.  

The Emdash Show merupakan satu platform bual bicara Penerbit USM yang bukan sahaja menumpukan kepada isu industri perbukuan, malahan pelbagai isu ilmiah dan semasa dan ia mula bersiaran pada 2 Julai 2021.

The Emdash Show pada asasnya merupakan sebuah program yang dibuat secara dalam talian yang dipaparkan melalui saluran Facebook, YouTube dan TikTok rasmi Penerbit USM.

Sumber: Kenyataan media The Emdash Show Episod #30 oleh Penerbit USM

  • Created on .
  • Hits: 77

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024