USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PENUNTUT USM WARGA PALESTIN HILANG 25 AHLI KELUARGA AKIBAT KEGANASAN ISRAEL

Utusan Malaysia
Penuntut USM warga Palestin hilang 25 ahli keluarga akibat keganasan Israel
Oleh SAFINA RAMLI | 18 Disember 2023


PENUNTUT warga Palestin, Majed F.S. Habib (kanan) menerima sumbangan RM2,000 yang disampaikan Awang Adek Hussain (dua dari kiri) sebagai tanda solidariti USM terhadap rakyat negara itu yang menjadi mangsa keganasan regim Israel ketika ini. - Pic: IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN: Kehilangan 25 ahli keluarga akibat dibom regim Zionis di Gaza merupakan kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya buat seorang pelajar warga Palestin, Majed F.S. Habib, 44.

Tambah menyayat hati, Majed yang merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, terdapat jasad beberapa sepupunya yang berkubur di bawah runtuhan bangunan kediaman mereka di Shija’iah, Gaza yang musnah akibat dibom regim Israel.

Majed yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam di Gaza berkata, sejak konflik antara Palestin dan regim Israel berlaku Oktober lalu, kehidupannya di Pulau Pinang sebagai seorang pelajar PhD berubah sama sekali.

Ini kerana, tambahnya, dia sukar menumpukan perhatian di dalam pelajaran kerana sering terkenangkan nasib isteri dan ahli keluarganya di Gaza.

”Setakat ini isteri dan ahli keluarga mentua saya terselamat meskipun dua bangunan yang mereka diami di Shija’iah musnah dibom rejim Israel.

“Dalam kejadian pengeboman itu juga, ramai sepupu dan ahli keluarga saya terkorban, malah ada yang tidak dapat dikeluarkan daripada runtuhan bangunan kerana situasinya tidak selamat,” katanya ditemui di USM, di sini hari ini.

Terdahulu, Majed menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada pihak USM sebagai tanda bersolidariti bersama Palestin yang mana dia merupakan antara 53 pelajar warga Palestin yang melanjutkan pengajian di USM menerima sumbangan tersebut.

Yang hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Mengulas lanjut, Majed berkata, pada masa ini, isteri dan abang iparnya berada di kem pelarian di Rafah, sempadan Mesir bagi mencari perlindungan.

”Saya hanya dapat berhubung dengan mereka sekitar lima hari lalu dan abang saya maklumkan mereka selamat, selepas itu saya tidak lagi dapat berhubung dengan mereka.

”Setiap hari saya mengikuti saluran berita antrabangsa mengenai Gaza kerana saya bimbang dengan keadaan keluarga di sana,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar Ijazah Sarjana Perniagaan di USM, Mahmoud M.A. Brieka berkata, dia turut kehilangan 15 ahli keluarga sepanjang 73 hari konflik berlaku antara Israel dan Palestin.

“Saya menyambung pengajian di peringkat tertinggi di Malaysia sejak tujuh tahun lalu dan keluarga saya yang dahulunya tinggal di Khan Yunis terpaksa menjadi pelarian selepas kawasan itu dibom Israel.

“Apa yang berlaku di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai dan ia umpama mimpi ngeri buat kami rakyat Palestin.

“Saya berharap masyarakat antarabangsa akan terus memberikan sokongan kepada kami agar penduduk Palestin dapat membina semula kehidupan kerana Gaza tidak dapat didiami pada masa ini disebabkan musnah dibom Israel,” katanya. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024