USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: 'SUDAH LIMA HARI TAK DAPAT KHABAR ISTERI'

Harian Metro
'Sudah lima hari tak dapat khabar isteri'
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 18 Disember 2023

AWANG Adek Hussin (tiga dari kanan) berbual bersama penuntut Palestin USM selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kemanusiaan USM Bersolidariti Bersama Palestin, hari ini. FOTO Mikail Ong
AWANG Adek Hussin (tiga dari kanan) berbual bersama penuntut Palestin USM selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kemanusiaan USM Bersolidariti Bersama Palestin, hari ini. FOTO Mikail Ong

Georgetown: Kehilangan 25 ahli keluarga akibat serangan rejim Zionis sejak Oktober lalu meninggalkan kesan luka mendalam buat diri seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dari Palestin, Majed F.S. Habib, 44.

Pelajar Ijazah doktor falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komunikasi USM itu mengakui beliau semakin sukar menumpukan perhatian kepada pelajaran dan sudah lima hari tidak dapat menghubungi keluarganya yang kini berada ke kem pelarian Rafah, sempadan Mesir.

"Hari ini sudah masuk hari ke-73 serangan Israel terhadap Palestin. Kini yang tinggal hanya isteri serta abang ipar. Kali terakhir saya mendapat khabar mereka sudah selamat berpindah dari kediaman kami di Shija'iah, Gaza.

"Ada beberapa jenazah sepupu saya terpaksa dibiarkan berkubur di bawah runtuhan bangunan di Shija'iah yang ranap dibom tentera Israel. Situasi terlalu berbahaya untuk membawa keluar jasad mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Majed menerima RM2,000 menerusi Tabung Kemanusiaan USM yang disampaikan, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dengan seramai 53 pelajar rakyat Palestin yang melanjutkan pengajian di USM turut diberi peruntukan sumbangan itu.

Majed yang juga pensyarah sebuah universiti awam di Gaza berkata, ibunya sudah lama meninggal dunia manakala bapanya menemui ajal sebelum perang meletus disebabkan masalah kesihatan.

Beliau berkata, tempoh pengajiannya di USM hanya berbaki kira-kira setahun dan dia baru kembali ke Pulau Pinang kira-kira 10 bulan lalu dengan konflik perang itu sangat mempengaruhi kehidupannya dari segala aspek.

"Kehidupan saya tidak lagi boleh berjalan seperti normal. Walaupun saya pergi perpustakaan untuk belajar tetapi saya tidak boleh menahan diri daripada memeriksa berita setiap masa untuk mengetahui perkembangan terkini di Palestin.

"Namun, saya amat berterima kasih kepada USM kerana memberi bantuan ini. Ketika ini kedudukan kewangan sangat meruncing. Kami tidak boleh melakukan transaksi kewangan dan saya pula menyewa di luar kampus," katanya.

Seorang lagi pelajar Ijazah Sarjana Perniagaan, Mahmoud MA Brieka, 28, berkata, keluarganya menetap tinggal di Khan Yunis yang berada di selatan Semenanjung Gaza dan kini mereka yang selamat turut menjadi menjadi pelarian di Rafah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang sudah berada di Malaysia selama tujuh tahun itu turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur dengan sokongan dan bantuan tidak putus-putus rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

"Setiap hari tidak ubah seperti mimpi ngeri buat kami. Ada kawan yang tinggal di bahagian utara beritahu mereka disarankan berpindah ke selatan tetapi pengeboman berlaku juga di sebelah selatan sekarang.

"Dalam situasi pembunuhan beramai-ramai ini tiada lagi tempat yang diyakini selamat di sana. "Setakat ini sudah 15 anggota keluarga saya meninggal dunia termasuk bapa saudara saya terkorban minggu lalu dan saya amat menghargai segala bantuan dan perhatian yang diberi kepada kami sepanjang tempoh ini," katanya.

  • Created on .
  • Hits: 114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024