USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: 19 UNIVERSITI AWAM, 27 SYARIKAT INDUSTRI JADI PERINTIS PROGRAM MR13

Utusan Malaysia
19 Universiti Awam, 27 syarikat industri jadi perintis program MR13
Oleh SAFINA RAMLI | 14 Disember 2023


AWANG Adek Hussin (tengah) ketika merasmikan program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3) di Pusat Konvensyen Setia di Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.

BAYAN LEPAS: Sebanyak 19 Universiti Awam termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) dan 27 syarikat industri menjadi perintis program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3) atau dahulunya dikenali sebagai Program Serap Industri (IIP).

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program MRI3 itu bertujuan memastikan kebolehpasaran graduan dengan gaji premium yang mana gaji permulaan minimum ditetapkan adalah RM4,000.

”Berdasarkan tinjauan awal yang dijalankan oleh pihak Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM terhadap industri yang akan terlibat dengan MRI3, dianggarkan sebanyak 500 penempatan akan ditawarkan oleh 27 pihak industri termasuk rakan strategik agensi sehingga hari ini.

“Jumlah penempatan ini telah melebihi bilangan penempatan asal bagi tahun 2024 yang disasarkan iaitu sebanyak 200 pelajar,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian MRI3 di Pusat Konvensyen Setia, di sini hari ini.

Yang hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin.

Dalam majlis itu, sebanyak 19 wakil daripada Universiti Awam dan 27 wakil syarikat industri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyertai Konsortium Elektrik dan Elektronik Universiti Awam bagi pelaksanaan MRI3.

USM merupakan Ketua Konsortium Elektrik dan Elektronik Universiti Awam bagi pelaksanaan MRI3.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, IIP yang dimulakan di USM akan diperluas ke universiti-universiti lain bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan graduan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, selain 26 industri dan rakan strategik agensi yang bersetuju untuk menandatangani MOU hari ini, terdapat lebih 100 industri yang turut hadir pada majlis hari ini merangkumi syarikat dalam kalangan sektor elektrik dan elektronik.

”Ini menunjukkan sambutan yang menggalakkan dan komitmen yang tinggi dari industri terhadap program MRI3 dan untuk bersama menyokong hasrat kementerian pendidikan tinggi di dalam pembangunan bakat-bakat dalam negara yang relevan kepada keperluan industri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi program MRI3 itu para pelajar akan ditaja dengan bayaran elaun minimum sebanyak RM1,500 sebulan.

Selain itu, ujar beliau, pelajar juga diberi pengetahuan dan kemahiran menggunakan peralatan dan perisian yang ditaja oleh industri itu sendiri yang akan ditempatkan di USM semasa menjalankan projek tahun akhir mereka.

”Sepanjang tempoh MRI3 ini juga, pelajar akan melaksanakan projek tahun akhir bersama pihak industri dan akan turut diselia oleh pensyarah di universiti.

“Projek tahun akhir ini dilaksanakan mengikut peruntukan masa 20 jam seminggu yang telah diselaraskan profesional berdasarkan keperluan badan profesional,” katanya.

Oleh itu, katanya, pelajar-pelajar berkenaan akan melalui proses pembelajaran dan pendedahan industri dengan lebih awal iaitu semasa di universiti sebelum mereka menempuh alam pekerjaan. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 179

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024