USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: EKOSISTEM PENDIDIKAN TINGGI DAN PEMULIHAN PASCA PANDEMIK AGENDA UTAMA GHEF 2023

Soya Cincau
Ekosistem pendidikan tinggi dan pemulihan pasca pandemik agenda utama GHEF 2023
Oleh Penaja | 17 November 2023

[Artikel ini dibawakan oleh MOHE]

Lebih 1,000 delegasi terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan dari institusi pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa berkumpul pada Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (GHEF 2023) untuk membincangkan usaha memulihkan ekosistem pendidikan peringkat tinggi.

Bertemakan ‘Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik’, forum tiga hari yang berlangsung dari 15 hingga 17 November 2023 memfokus kepada usaha memajukan dan memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi, terutamanya dalam era pasca pandemik COVID-19.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tema itu dipilih kerana pandemik yang berlaku memberi kesan ketara kepada semua termasuklah sektor pendidikan tinggi.

“Daripada laporan dan kajian, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan penutupan tidak dapat dielakkan banyak institusi pendidikan tinggi di banyak negara di seluruh dunia, mengganggu pendidikan berjuta-juta pelajar pada 2020 dan 2021,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan sistem pendidikan yang dapat bertahan dengan cabaran tidak dijangka dan memastikan hasil yang saksama untuk pelajar semasa masa yang mencabar.

Selain itu, forum GHEF2023 tersebut turut akan memfokuskan kepada empat sub-tema penting:

  • Pertama – Jurang Digital dan Inklusiviti
  • Kedua – Bakat dan Kebolehpasaran
  • Ketiga – Kedudukan Kewangan dan Sosioekonomi
  • Keempat – Pengajaran dan Pembelajaran (Dasar dan Amalan)

Perjanjian bersama Uzbekistan

Satu majlis perjanjian Joint Action Roadmap (JAR) turut diadakan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Tinggi (CHEDR) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan.

Perjanjian tersebut menggariskan aktiviti kerjasama dan pencapaian perkongsian dalam mencapai matlamat bersama dalam pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembinaan keupayaan antara kedua-dua pihak.

Menyatukan bidang pendidikan

Ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada hari kedua forum, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang juga merupakan Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Ramli Datuk Mohd Nor berpendapat GHEF sebagai medium yang dapat menyatukan ilmuwan dalam bidang pendidikan.

“Dalam perspektif pendidikan Malaysia, GHEF membantu dalam memperkenalkan negara sebagai hab pendidikan terulung, terutamanya di Asia Tenggara. Ini secara tidak langsung dapat membangunkan ekonomi dari segi menarik minat pelajar-pelajar seluruh negara untuk belajar di Malaysia,” jelas beliau lagi.

Apabila ditanya apakah cara terbaik untuk merapatkan jurang akses dalam bidang pendidikan, beliau memberitahu perkara paling utama yang perlu dilakukan adalah untuk menambah baik dan mempermudahkan akses masyarakat bagi mendapatkan pendidikan.

“Segala kemajuan yang berlaku di Malaysia selepas merdeka adalah disebabkan pendidikan. Sebuah masyarakat tidak akan boleh mencapai kejayaan tanpa keinginan diri yang didasari oleh pendidikan itu sendiri,” ujar beliau mengakhir temu bual.

Impak yang bagus untuk golongan OKU

Bagi salah seorang panel penceramah tempatan, yang merupakan Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia, Bathmavathi Krishnan menganggap GHEF sebagai satu platform penting yang membolehkan perbincangan, perkongsian penyelidikan daripada pihak akademik untuk meningkatkan serta memperkasakan bidang pendidikan, khususnya yang melibatkan golongan pelajar OKU juga.

Bekas Senator Dewan Negara ini juga turut berpendapat penganjuran GHEF dapat memberikan impak yang bagus, terutamanya buat pelajar OKU.

“Untuk forum pada hari ini (16 November), pihak IPPTN (Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara) telah menjemput 22 orang pelajar OKU daripada beberapa buah universiti tempatan. Melalui forum tersebut ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai keperluan pelajar istimewa ini. Secara tidak langsung, mewujudkan kesedaran untuk mencapai tahap inklusif,”

Tambah beliau lagi, “Kita selalu bercakap mengenai inklusif tanpa dapat memahami pengertian sebenarnya. Walaupun kita mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, tetapi ada keperluan tertentu yang perlu dipenuhi sebelum ia dapat dicapai. Jadi melalui forum ini, ia memberikan peluang untuk pihak berkepentingan lebih memahami golongan pelajar OKU.”

GHEF yang merupakan acara dwitahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) itu disertai perwakilan daripada pelbagai negara antaranya Australia, Chile, China, Finland, Indonesia, Jepun, Pakistan, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Sub-Sahara Afrika, Oman, Uzbekistan, Korea Selatan, termasuklah Malaysia.

Para delegasi terlibat terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, sarjana muda (pelajar pasca siswazah), pegawai kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dari institusi tempatan dan antarabangsa.

  • Created on .
  • Hits: 173

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024