USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: 'SAYA HANYA TERIMA RM50 DUIT EMAIK SEPANJANG BELAJAR'

Kosmo
‘Saya hanya terima RM50 duit emak sepanjang belajar’
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | 25 November 2023


MUHAMAD HAFIZI menunjukkan anugerah Pingat Emas Canselor yang dianugerahkan kepadanya sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61 di George Town semalam.

GEORGE TOWN – “Sepanjang belajar di USM (Universiti Sains Malaysia) ini, saya hanya terima RM50 sahaja daripada emak. Saya memang tidak mahu susahkan emak dengan masalah kewangan.

“Lagipun, sepanjang di sini (USM), boleh kata tak ada masalah duit langsung kerana macam-macam bantuan diberi dan saya juga ada buat tui­syen secara sambilan. Ada lebih kadang-kadang saya hulur semula kepada emak.”

Demikian luahan penerima Ha­diah Pingat Emas Canselor sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61 iaitu Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, 24, yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Muhamad Hafizi merupakan sebahagian daripada 8,166 graduan yang diraikan sepanjang upacara konvokesyen tersebut berlangsung iaitu selama se­minggu bermula Selasa lalu.

Menurut anak kelahiran Machang, Kelantan itu lagi, meskipun tidak berdepan de­ngan masalah kewangan serius sepanjang berada di universiti namun, dia sering diduga de­ngan pelbagai ujian lain termasuk kematian bapa ketika di semester pertama.

“Sehinggalah semasa nak ambil kertas (peperiksaan) final tempoh hari, tiba-tiba saya menangis sebab macam tak percaya sudah sampai ke tahap ini selain terkenangkan arwah ayah pada ketika itu,” kata pendebat USM itu.

Jelas Muhamad Hafizi, kesedihan itu bagaimanapun menguatkan semangatnya untuk terus bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh demi mengejar cita-citanya sebagai seorang pendidik.

“Saya pernah tolak tawaran A-Level dalam bidang ekonomi sebab itu bukan jiwa saya walaupun baru sebulan ambil kursus tersebut.

“Memang ada yang mengata ketika itu kerana saya seperti ‘menolak tuah’ apatah lagi ketika itu saya mendapat biasiswa dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, namun, saya tetap dengan pendirian saya kerana ‘jiwa’ saya tak ada di situ.

“Impian saya hanya satu iaitu mahu jadi pendidik kepada anak bangsa selain sudah bersedia untuk mengharungi cabaran dalam pendidikan,” ujarnya.

  • Created on .
  • Hits: 99

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024