USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: NENEK HAMPIR MENGALAH SEBELUM RAIH PHD

Kosmo
Nenek hampir mengalah sebelum raih PhD
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | 24 November 2023


DR. SHARIDA (tengah) bergambar di hadapan bekas sekolah tempat mengajar bersama guru-guru lain dan menantu di Seberang Perai.

GEORGE TOWN – Seorang bekas pendidik tidak menyangka akan menerima hadiah persaraan pa­ling bermakna dalam hidupnya apabila berpeluang meraikan majlis konvokesyen bersama menantunya serta empat guru lain yang pernah menjadi anak buahnya sebelum ini.

Dr. Sharida Shaharudin, 56, yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas berkata, dia menamatkan perkhidmatannya sebagai guru pada 1 Ogos lalu, namun me­ngakui bahawa jiwanya masih ‘setia’ dengan dunia pendidikan.

“Memang target (untuk bergraduasi bersama termasuk de­ngan menantu) tapi masa itu tak boleh nak jangka sama ada dapat (bergraduasi) sekali (bersama) atau tidak,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Sharida dianugerahkan ijazah Doktor Pendidikan dalam bidang Kurikulum dan Pengajaran pada Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) kali ke-61 semalam, manakala menantunya, Nor Zaity Bakri, 31, yang juga seorang guru menerima Sarjana Pendidikan dalam bidang Sains.

Sementara itu, keempat-empat guru tersebut yang juga mengajar di SK Kepala Batas iaitu Nafis Izzati Ramli, 33, Nor Lilawati Yamin, 48, Nur Halawati Jannat Saad, 43, dan Umul Hna Idris, 38, kesemuanya turut me­nerima Ijazah Sarjana Pendidikan, namun dalam pengkhususan yang berbeza pada upacara konvokesyen yang berlangsung selama tujuh hari dan berakhir pada Isnin ini.

Jelas Sharida yang juga ibu kepada anak itu, dia bangga kerana dapat memotivasikan mereka terutamanya keempat-empat guru berkenaan untuk te­rus menyambung pengajian hingga ke peringkat tertinggi.

“Masing-masing ada masalah sepanjang pengajian dan saya akan dijadikan sebagai tempat untuk mereka mengadu. Ada masa-masa yang tertentu juga saya akan berperanan seperti seorang ibu kepada guru-guru tersebut yang pernah menjadi anak buah saya sebelum ini.

“Sebenarnya, bukan senang untuk buat kajian (di peringkat sarjana) dalam keadaan sekarang. Jadi, ada yang kecewa, ada yang keletihan dan yang nak give up (berputus asa) pun ada.

“Jadi, peranan sayalah untuk pastikan depa (mereka) ini te­ruskan bergerak. Ada ketikanya (saya) bagi pelukan pada cikgu (guru) yang rasa lemah, walau pun diri sendiri ada ketikanya pun macam itu juga,” kata nenek kepada seorang cucu itu.

Sharida yang kini menjadi menjadi penulis buku serta tenaga pengajar sambilan di sebuah institusi pendidikan swasta selepas bersara turut berharap dapat memotivasikan semua guru yang lain untuk menyambung pengajian masing-masing setakat yang termampu.

“Untuk pengetahuan, master (ijazah sarjana) atau PhD (ijazah kedoktoran) bukanlah satu ‘destinasi’. Sebaliknya, ia adalah satu proses (pembelajaran yang berterusan). Jadi, enjoy it (hadapi dengan gembira),” katanya yang turut aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan berasaskan kebajikan sebelum ini.

Dalam pada itu, salah seorang daripada guru SK Kepala Batas yang menerima Ijazah Sarjana Pendidikan itu iaitu Nafis Izzati turut gembira kerana berpeluang menamatkan pengajiannya dalam bidang berkenaan.

“Cikgu (Sharida) telah menjadi sumber inspirasi untuk saya sambung pengajian hingga ke peringkat ini. Terima kasih ke­rana sangat memahami,” katanya yang mengajar subjek bahasa Inggeris di sekolah tersebut.

  • Created on .
  • Hits: 106

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024