USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KESUKARAN HIDUP DORONG ANDI ARNAISAH TANAM AZAM UBAH NASIB KELUARGA

Utusan Malaysia
Kesukaran hidup dorong Andi Arnaisah tanam azam ubah nasib keluarga
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | 20 November 2023


NOOR Hafiz Abd. Jalil (kiri) ditemani ibunya, Siti Aishah Johan, 65, ketika sesi sidang akhbar khas sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN: Pengalaman berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu bapa rosak ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menghantarnya mendaftarkan diri ke Universiti Sains Malaysia (USM) empat tahun lalu masih segar di fikiran Andi Arnaisah Andi Arnis, 24, hingga ke hari ini.

Bertitik-tolak daripada insiden itu menguatkan semangat anak kelahiran Kampung Kunak di Tawau, Sabah itu untuk mengubah nasib keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Kata Andi Arnaisah, dia masih terbayang bapanya, Andi Arnis Andi Ariffin berlari mendapatkan pertolongan daripada pengguna jalan raya lain semata-mata untuk memastikan dia tidak terlepas penerbangan penting ketika itu.


ANDI ARNAISAH Andi Arnis menunjukkan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Anugerah Bagi Pemimpin Pelajar Cemerlang) yang diterimanya sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.

“Saya melihat pengorbanan besar ibu dan ayah saya untuk memastikan saya berjaya walaupun mereka tak punyai apa-apa.

“Mengenangkan perkara itu, saya cuba berbisnes sambil belajar di USM dan Alhamdulillah, dengan menjadi seorang ejen menjual barangan suplemen kesihatan, saya bukan sahaja mampu menanggung kos pengajian dan membeli segala barang keperluan di sini, malah turut dapat menghantar wang belanja kepada keluarga di Sabah.

“Pada masa sama, saya juga bersyukur kerana mampu membelikan sebuah kereta yang besar untuk ibu bapa saya iaitu sebuah Perodua Aruz bagi kegunaan mereka di kampung,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Andi Arnaisah yang juga anak keenam daripada tujuh beradik itu merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang juga penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (kategori Pemimpin Pelajar Cemerlang) sempena Upacara Konvokesyen universiti itu yang ke-61 bermula esok.

Terdahulu, dia ditemui bersama beberapa graduan cemerlang lain dalam satu sidang akhbar khas sempena upacara itu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di USM hari ini.

Sementara itu, penerima Hadiah Pingat Emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU), Noor Hafiz Abd. Jalil, 31, pula berkata, dia bersyukur kerana berjaya membuktikan kekurangan dimilikinya bukan penghalang untuk mengecap kejayaan.

“Saya diserang penyakit SLE (Systemic Lupus Erythematosus) yang menyebabkan kaki saya menjadi lemah dan tak bergerak selepas mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan di USM pada 2017.

“Keadaan itu juga menyebabkan saya tidak dapat menghabiskan semester pertama kerana terlantar sehingga terpaksa menangguhkan pengajian.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana ramai individu di sekeliling saya terutamanya ibu dan ahli keluarga lain serta rakan-rakan banyak membantu hingga saya berjaya menamatkan pengajian ini,” katanya.

Tambah Noor Hafiz, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana jika gagal mendapat pekerjaan dalam masa terdekat.

Selain dua graduan tersebut, penerima anugerah lain ialah Muhamad Hafizi Mohd. Hanafi, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan yang dianugerahkan Pingat Emas Canselor (Terbaik Keseluruhan), tiga bakal guru dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), dua tokoh akademik USM dan lain-lain. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 117

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024