USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: BAPA BERLARI MINTA TOLONG BAWA ANAK KE LAPANGAN TERBANG

Kosmo
Bapa berlari minta tolong bawa anak ke lapangan terbang
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | 20 November 2023


Andi menunjukkan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Anugerah Bagi Pemimpin Pelajar Cemerlang) yang dimenangi sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61, bermula esok.

GEORGE TOWN – Pengalaman berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu bapa rosak ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menghantarnya mendaftarkan diri ke Universiti Sains Malaysia (USM) empat tahun yang lalu masih bermain di fikiran Andi Arnaisah Andi Arnis, 24, hingga ke hari ini.

Bertitik-tolak daripada insiden itulah yang menguatkan semangat anak kelahiran Kampung Kunak di Tawau, Sabah itu untuk mengubah nasib keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Kata Andi Arnaisah, dia masih terbayang bapanya, Andi Arnis Andi Ariffin berlari mendapatkan pertolongan daripada pengguna jalan raya lain semata-mata untuk memastikan dia tidak terlepas penerbangan penting ketika itu.

“Saya melihat pengorbanan besar ibu dan ayah saya untuk melihat saya berjaya walaupun mereka tak punyai apa-apa.

“Mengenangkan perkara itu, saya cuba berbisnes sambil belajar di USM ini dan Alhamdulillah, dengan menjadi seorang ejen menjual barangan suplemen kesihatan, saya bukan sahaja mampu menanggung kos pengajian saya dan membeli segala barang keperluan di sini, tapi, saya juga boleh menghantar wang belanja kepada mereka di Sabah.

“Pada masa yang sama, saya juga bersyukur kerana mempu membelikan sebuah kereta yang besar untuk kedua ibu bapa saya iaitu sebuah Perodua Aruz untuk kegunaan mereka di sana,” katanya kepada pemberita hari ini.

Andi Arnaisah yang juga anak keenam daripada tujuh beradik itu merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang juga penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (kategori Pemimpin Pelajar Cemerlang) sempena Upacara Konvokesyen universiti itu yang ke-61 bermula esok.

Terdahulu, dia ditemui bersama beberapa graduan cemerlang lain dalam satu sidang akhbar khas sempena upacara itu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di VIP Lounge, Aras 6 Canselori USM, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, secara keseluruhannya, seramai 8,166 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk dua penerima gelaran Profesor Emeritus, 557 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D); 2,504 penerima Ijazah Sarjana; 5,054 penerima Ijazah Sarjana Muda serta 49 penerima Diploma Kejururawatan akan menerima sijil masing-masing sepanjang upacara konvokesyen berkenaan yang berlangsung selama tujuh hari iaitu sehingga 27 November ini.


Abdul Rahman (tiga dari kanan) bersama sebahagian penerima anugerah graduan cemerlang pada sesi sidang akhbar khas sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61, hari ini.

Sementara itu, penerima Hadiah Pingat Emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU), Noor Hafiz Abd Jalil, 31, pula berkata, dia bersyukur kerana berjaya membuktikan bahawa kekurangan yang dimilikinya bukan penghalang untuk dia mengecap kejayaan.

“Saya diserang penyakit SLE (Systemic Lupus Erythematosus) yang menyebabkan kaki saya menjadi lemah dan tak bergerak selepas mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan di USM pada 2017.

“Keadaan itu juga menyebabkan saya tidak dapat menghabiskan semester pertama kerana terlantar sakit sehingga terpaksa menangguhkan pengajian saya.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana ramai individu di sekeliling saya terutamanya ibu dan ahli keluarga lain serta rakan-rakan banyak membantu hingga saya berjaya menamatkan pengajian ini,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana jika gagal mendapat pekerjaan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 125

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024