USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: GESEKAN RAJA REBABDI FESTIVAL WAKOH 2023

Dewan Budaya
Gesekan Raja Rebab di Festival WAKOH 2023
Oleh Shahrul Anuar Shaari | 10 November 2023

Screenshot 2023 11 21 at 3.51.51 PM

Georgetown - Che Mat Jusoh, 62, bukan lagi nama asing bagi peminat muzik tradisional di negara kita khususnya dalam bidang persembahan rebab dan tarian makyung. Beliau dianugerahi dengan pelbagai anugerah hasil kegiatan beliau mewakili negara dalam siri persembahan di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa seperti di Korea, Jepun, Belanda, Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand.

Terkini, beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2023. Oleh hal yang demikian, beliau digelari sebagai Raja Rebab dalam kalangan pencinta bunyian daripada instrumentasi tradisional.

Screenshot 2023 11 21 at 3.55.39 PM
Nur Liana Che Mohammad mempersembahkan tarian makyung diringi irama gesekan rebab oleh Che Mat Jusoh dan pasukan rebana.

Rebab merupakan alat muzik bertali daripada kumpulan kordofon yang mengeluarkan bunyian melalui gesekan. Lazimnya, rebab digunakan untuk menghasilkan melodi bag mengiringi ensambel muzik dalam persembahan makyung dan mempunyai tradisi sejarah yang panjang. Direkodkan dalam catatan al-Farabi, seawal kurun ke-10 menyatakan bahawa alat muzik bertali sebegini menyusun nalar awal dari Kurdistan, Iran, berkembang di rantau Timur Tengah dan mengalami beberapa transformasi sera evolusi reka bentuk bagi penyesuaian adat dan budaya sehingga mendapat tempat dalam tradisi istana di wilayah Asia Tenggara khususnya kerajaan Langkasuka sebelum berkembang ke daerah selatan sehingga meliputi beberapa buah negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Kini, tidak ramai golongan muda yang mampu memahami alunan melodi rebab dan hal in membimbangkan para penggiat rebab yang masih hidup. Hanya terdapat beberapa penggiat rebab dalam negara in yang benar-benar berkemahiran menghasilkan dan mengalunkan irama tradisi ini, antaranya yang masih aktif ialah Che Mat Jusoh.

"Biasanya ada tujuh buah lagu yang dimainkan bersama rebab, termasuklah lagu bertabuh makyung, sedayung bertabuh, mengadap rebab, sedayung pakyung, barat anjur dan sedara. Kali ini hanya sebahagian sahaja melibatkan penari makyung dan semua lagu ini hadir bersama gendang rebana ibu dan rebana anak. Acara sebegini perlu dilaksanakan secara berterusan supaya irama tradisi tidak luput dalam kalangan masyarakat," jelas Che Mat Jusoh
selepas selesai persembahan.

Persembahan mengadap rebab dan tarian makyung tersebut diadakan bersempena dengan Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2023 (WAKOH), iaitu festival anjuran Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negara (MOTAC), Kerajaan Negeri Pula Pinang serta agensi-agensi lain. Acara tersebut turut memberikan pengiktirafan kepada 27 orang penggiat seni dalam pelbagai bidang kesenian dan warisan tidak ketara. Antaranya termasuklah penggiat bidang bangsawan, muzik, teater, seni halus, seni kraf, cerita rakyat, boria dan lain-lain.

Pusat Pengajian Seni yang mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyertai festival tersebut. USM bukan sahaja sentiasa aktif menyertai aktiviti kesenian dan kebudayaan setempat malah turut aktif menyertai pelbagai acara di luar negara menerusi plantar akademik.

Ketika festival WAKOH 2023 berlangsung, USM Art Buddies yang terdiri daripada 14 orang pelajar daripada pelbagai program pengajian seni ditugaskan dalam dua sesi berasingan, sesi pagi hingga awal petang kemudian disambung dengan sesi kedua hingga malam. Mereka ditugaskan untuk meraikan para tetamu di samping terlibat dalam aktiviti perkongsian dan pendedahan lukisan bag memupuk minat pengunjung terhadap seni.

Menurut Encik Gurvinderjit Singh Sidhu atau lebih mesa dengan panggilan Jit, yang merupakan ketua kumpulan tersebut menyatakan bahawa para pelajar seni perlu didedahkan dengan persekitaran di luar ruang studio bagi melihat reaksi masyarakat awam terhadap kaedah dan sistem yang telah dipelajari ketika di universiti. Kemahiran interpersonal perl diaplikasikan menerusi aktiviti sebenar. Oleh hal yang demikian, pelajar dapat berkomunikasi sera berkongsi tentang pengalaman mereka dengan individu lain daripada pelbagai etnik, bangsa dan agama secara bersemuka.

"Penyertaan Pusat Pengajian Seni USM dalam acara besar in akan menyuburkan lagi aktiviti budaya dan kesenian setempat dan negara, terutamanya persembahan dalam konteks warisan negara yang semakin hilang. Acara sebegini secara tidak langsung memberikan pendedahan ilmu kepada golongan pencinta muzik tradisi dan masyarakat awam bahawa penggiat seni warisan in mash lagi wujud. Budaya warisan dan identiti kebangsaan ini perl diraikan dalam pelbagai mekanisma, seperti memudahkan perolehan dana-dana khusus daripada agensi kerajaan mahupun swasta bagi kelangsungan aktiviti golongan penggiat seni, menyalurkan khidmat nasihat sera pendidikan berterusan kepada generasi baharu. Budaya warisan ini ialah aset negara.," tegas Encik Shamsul Bahri yang merupakan penyelaras bersama program persembahan rebab dari Pusat Pengajian Seni, USM ketika ditemui.

Screenshot 2023 11 21 at 4.03.52 PM
TYT Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak; Ketua Menteri YAB Chow Kon Yeow; Ketua Setiausaha MOTAC YBhg. Datuk Roslan Abdul Rahman bersama barisan penerima anugerah Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH), 2023.

Tambah beliau lagi, cadangan untuk mengetengahkan persembahan kumpulan rebab Che Mat Jusoh mendapat sokongan padu daripada Dekan Pusat Pengajian Seni USM, malah bertepatan dengan konsep festival tersebut yang mengangkat penggiat seni warisan yang masih hidup.

Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah pula mengulas, "Che Mat Bin Jusoh kini ialah adiguru atau pakar dalam muzik teater tradisional dan juga pakar dalam bidang Wayang Kulit Kelantan, makyung, ensembel gamelan, permainan rebab dan seruling. Sebagai Seniman Residensi Pusat Pengajian Seni USM, beliau juga merupakan pakar rujuk utama pelajar dan orang awam dalam bidang persembahan dan permainan muzik tradisi".

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM).

 

  • Created on .
  • Hits: 209

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024