USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PAKAR BEDAH NEURO USM TERIMA ANUGERAH PELATIH BERPRESTIJ

BebasNews
Pakar bedah neuro USM terima anugerah pelatih berprestij
Oleh Ani Awang | 28 Ogos 2023


Jafri Malin Abdullah (kanan)

KUALA LUMPUR — Pakar Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato Dr Jafri Malin Dato Abdullah telah dipilih sebagai penerima anugerah M Balasegaram Trainer Award yang kelima, sempena majlis sambutan Ulangtahun Jubli Emas, Kongres Saintifik Tahunan (ASC) yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Anugerah telah disampaikan oleh Master Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Profesor Dr Rosmawati Mohamed. Turut hadir ialah Presiden, Kolej Pakar Bedah Malaysia, Dr Siow Sze Li.

Menurut kenyataan media USM, Jafri Malin ialah seorang Profesor bidang Neurosains di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM/Hospital USM.
Beliau juga merupakan Pengerusi Kluster Penyelidikan Brain Behaviour di USM.

“Sehingga kini, beliau telah berjaya melatih seramai 121 pakar bedah neuro Malaysia, di mana pencapaian mereka diiktiraf dalam kalangan terbaik di dunia setaraf dengan yang dihasilkan dari Korea Selatan selain mengatasi pencapaian pakar bedah dari USA, Kanada dan Jepun,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain Jafri Malin, seorang lagi penerima anugerah ialah Dr Clarence Lei (urologi).

Kenyataan itu menyebut, kedua-dua penerima ini meneruskan kecemerlangan barisan penerima anugerah dalam kalangan pengamal perubatan/akademik yang telah dipilih berdasarkan sumbangan dalam bidang masing-masing.

Menurut kenyataan itu, penerima terdahulu adalah Profesor Datuk Dr Kandasami (2017), Datuk Dr Prabir Ranjan Sengupta (2018), Profesor Emerita Freda Meah (2019), dan Datuk Dr Ragupathy Naidu dan Datuk Dr K Somasundaram (2021).

Kenyataan itu menyebu, anugerah ini diberikan kepada individu yang layak sebagai satu bentuk penghargaan bagi memperingati mendiang Datuk Dr M Balasegaram, salah seorang doktor yang di sanjung tinggi di Malaysia.

Lebih dikenali sebagai Dr ‘Bala’ adalah individu Asia pertama diberi penghargaan oleh ‘Royal College of Surgeons of England’ untuk menerima anugerah Hunterian Professorship (1969) dan juga individu Asia pertama dianugerahkan Jacksonian Prize (1971), anugerah tertinggi dalam bidang pembedahan. Selain itu, beliau juga telah menerima penghormatan dari Royal College of Surgeons di Ireland dan Royal College of Surgeons di Edinburgh, Scotland – melalui Syarahan ‘Abraham Colles’ dan Syarahan Peringatan ‘Chienne’.

Dr Bala juga merupakan Ketua Pakar Bedah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di antara tahun 1960an – 1970an.

Beliau telah melahirkan ramai pakar bedah terkemuka negara dan amat dikenali dengan usaha perintis berkaitan pembedahan hati.

Tambah kenyataan itu, Dr. Bala akan terus diingati sebagai seorang guru yang hebat sebagai individu contoh dan juga seorang doktor yang telah banyak menyumbang demi kemajuan profesionnya dan negara .

Anugerah ini boleh diberi kepada seorang individu tanpa mengira kenegaraan dan dalam pelbagai bidang pembedahan, termasuk penyelidikan.

Pada masa yang sama, individu tersebut telah menyumbang kepada bidang pendidikan dan latihan pakar bedah di Malaysia. Secara maksimum, dua anugerah boleh diberi setiap tahun.

Majlis ini dianjurkan oleh Kolej Pakar Bedah (CS), AMM. AMM adalah pertubuhan profesional dan pendidikan bagi para doktor di Malaysia.

Diasaskan pada tahun 1966, AMM yang terletak di Kuala Lumpur menerima keahliannya daripada mereka dengan pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan.

Program ini telah dianjurkan oleh AMM dengan kerjasama Malaysian Association of Paediatric Surgery, Malaysian Society of Hepato-Pancraeto-Biliary Surgeons dan Malaysian Upper Gastrointestinal Surgical Society.

— BebasNews

  • Created on .
  • Hits: 146

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024