USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: KURSI PENGAJIAN MELAYU BFSU, CHINA DIAKTIFKAN SEMULA

Utusan Malaysia
Kursi Pengajian Melayu BFSU, China diaktifkan semula
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR | 9 Ogos 2023


Kursi Pengajian Melayu BFSU, China diaktifkan semula
MEGAT Sany Megat Ahmad Supian (tengah) menyaksikan MoU bagi Kursi Pengajian Melayu antara USM dengan BFSU China di KPT, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengaktifkan kembali Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China selepas ia tertunda sejak tahun 2017.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Azlinda Azman berkata, kursi itu diwujudkan kembali melalui pelaksanaan Model Baharu Kursi Akademik Luar Negara.

Beliau berkata, pengenalan model baharu kursi itu diperkenalkan bagi memastikan ia kekal relevan dan memenuhi kehendak semasa.

“Serentak itu, KPT melantik Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai rakan strategik untuk menguruskan hal ehwal kursi, menyelaras perbincangan dua hala bersama universiti hos dan mengkaji bidang kursi yang relevan.

“Pemilihan calon bagi kursi akademik luar negara itu terbuka kepada semua ahli akademik bertaraf profesor daripada universiti awam dan swasta,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagu Kursi Pengajian Melayu antara USM dan BFSU, China di sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian menyaksikan MoU antara Naib Canselor USM, Prof Datuk Ir. Dr Abdul Rahman Mohamed dengan Timbalan Presiden Universiti Beijing Foreign Studies (BFSU), Prof Dr Jia Wenjian.

Katanya, pelantikan USM ini adalah langkah awal KPT untuk menggerakkan kursi akademik ini, malah beberapa universiti awam lain dikenal pasti menggerakkan kursia akademik luar negara yang lain.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, BFSU adalah rakan lama kolaborasi USM sejak 2014 lagi, malah beberapa program pengantarabangsaan Bahasa Melayu sudah digerakkan di China.

Menurutnya, antara aktiviti dilakukan termasuk Penawaran Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) sejak 2018 membabitkan penyertaan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari China bagi mengikuti program bahasa.

“Selain itu, USM juga menganjurkan Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (SATBBMC) sejak tahun 2017 yang diadakan setiap dua tahun di negara China.

“Seminar ini menemukan penyelidik dari Malaysia dan China untuk membincangkan isu-isu dalam Pengajian Melayu termasuklah aspek terjemahan, bahasa, kesusasteraan dan budaya,” katanya.

Katanya, USM juga menerbitkan beberapa buah buku hasil penyelidikan bersama penyelidik dari Malaysia dan China yang menghimpunkan hasil kajian tentang terjemahan, bahasa dan budaya Melayu. – UTUSAN

 

  • Created on .
  • Hits: 233

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024