USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PERMUDAH PEMOHON DANA ILMU

My Metro
Permudah pemohon dana ilmu
Oleh Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki | 19 Julai 2023


A view of the seaGAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Tahniah diucapkan kepada semua calon lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) yang telah berjaya mendapatkan tempat di pelbagai institusi pendidikan seperti tingkatan enam, matrikulasi, dan institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Namun, bagaimana pula dengan nasib mereka yang berpeluang untuk menyambung pengajian di peringkat pasca SPM namun menolak tawaran emas tersebut atas beberapa faktor dan alasan.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini, sebanyak 188, 884 calon bumiputera menolak tawaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Jumlah ini merangkumi data selama tiga tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2020 hinggalah ke tahun 2022 dengan trend peningkatan yang amat ketara iaiatu seramai 39, 910 calon SPM yang menolak tawaran ke IPTA pada tahun 2020 kepada 73,431 pada tahun 2022.

Trend yang membimbangkan ini sepatutnya difikirkan oleh kementerian dan agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) malah kita selaku masyarakat yang prihatin di negara ini.

Mengenal pasti punca

Terdapat banyak pihak yang memberikan komentar mengenai isu ini. Terdapat juga dakwaan yang mengatakan generasi muda pada masa kini sudah tidak berminat belajar dan ingin mendapatkan pulangan lumayan dengan mudah seperti menjadi pempengaruh di media sosial, pengasas kepada pelbagai produk kegunaan manusia atau terus bekerja bagi mendapatkan wang. Ya, mungkin itu antara jalan pintas dan alasan agar tidak menyambung pelajarn, namun adakah itu jalan yang terbaik.

Penulis juga agak bersedih dengan beberapa klip video baru-baru ini yang menunjukkan beberapa kumpulan anak muda bermodalkan pesawa sama bagi mempamerkan bahawa mereka mempunyai taraf hidup yang mewah bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan yang mereka usahakan.

Perkara ini terbongkar setelah padanan daripada beberapa video dibuat menunjukkan pesawat itulah hanyalah disewa dan penggambaran dilakukan di lokaliti yang sama.

Sampai bila generasi muda kita harus dikhayalkan dengan perkara sebegini yang sama sekali jelas hidup dalam penuh kepalsuan dan tidak berpijak di alam yang sebenar.

Mungkin juga mereka terdedah dengan dunia realiti apabila melihat lambakan graduan yang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi malah sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) namun tidak mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan taraf kelayakan akademik mereka.

Mungkin ada kebenaran di sebalik tanggapan tersebut, namun bagi penulis tidak semua orang yang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran berfikiran sebegitu.

Ini kerana, antara halangan bagi menyambung pelajaran adalah isu kemiskinan. Walaupun pada masa kini terdapat pelbagai instrumen kewangan bagi mendapatkan dana untuk tujuan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, perlu diingat bukan semua insan bernasib baik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bagi mengubah nasib kehidupan keluarga mereka.

Faktor latar belakang keluarga juga merupakan antara indikator seseorang itu berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat atau sebaliknya. Hal ini kerana, pada masa lalu terdapat ramai yang berasal daripada keluarga miskin atau terlalu daif namun berjaya menyambung pengajian disebabkan ketua keluarga memainkan peranan agar ahli keluarga mereka mengutamakan pendidikan.

Malah, ada dalam kelompok ini yang sanggup menjual aset keluarga atau mencagarkannya semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan berilmu pengetahuan. Bagi kelompok sebegini, ilmu merupakan aset ternilai buat anak-anak yang dianggap seperti amanah Tuhan kepada mereka yang perlu dijaga dengan sebaiknya.

Sumbangan zakat untuk pendidikan

Kini, terdapat berbagai peluang bagi generasi muda menyambung pengajian antaranya melalui instrumen zakat.

Perluasan tafsiran asnaf terutamanya dalam kelompok penerima fi sabilillah (berjuang di jalan Allah) kini bukan hanya berlegar kepada mereka yang berperang atau meneruskan jihad ilmu dengan mengambil jurusan dalam bidang pengajian agama semata-mata, namun juga terbuka luas kepada pelbagai lapangan pengajian yang lebih bersifat keperluan industri seperti STEM, perakaunan, perubatan termaju, kejuruteraan, serta mengikut keperluan semasa.

Malah, langkah pro aktif pelbagai institusi zakat di negara ini yang mewujudkan saluran permohonan secara atas talian bagi mereka yang memerlukan bantuan zakat merupakan langkah yang bertepatan dengan keperluan dan realiti pada masa kini.

Dengan adanya medium tersebut, pemohon tidak lagi perlu mengisi pelbagai borang yang rumit dan memerlukan belanja yang besar bagi kos pengangkutan untuk ke pusat zakat yang berdekatan di mana kadangkala memerlukan kos yang agak besar bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

Menerusi permohonan atas talian, pemohon cuma perlu mengisi butiran di laman sesawang yang disediakan institusi zakat dan permohonan itu akan disemak dan diperakui kakitangan institusi zakat sebelum penyaluran dana zakat untuk pendidikan dilaksanakan terus kepada penerima.

Terdapat juga universiti yang menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik dengan institusi zakat di negeri dengan lokaliti varsiti tersebut bagi manfaat dan kebajikan penuntut varsiti mereka.

Selain itu, langkah pro aktif pihak institusi zakat menyediakan pelbagai platform pengajian dengan kerjasama institusi pengajian tinggi bagi mereka yang memerlukan juga merupakan langkah terbaik.

Misalnya, langkah turun padang bagi mengenal pasti asnaf atau mereka yang kurang berkemampuan tetapi cemerlang dalam akademik untuk disalurkan dana agihan zakat pendidikan.

Alah bisa tegal biasa, mungkin masih terdapat pelbagai karenah birokrasi sewaktu proses permohonan ini, namun hakikatnya transformasi dilakukan pelbagai institusi zakat ini seharusnya disokong dan diberikan pujian kerana terdapat penambahbaikan daripada proses secara kaedah traditional sebelum ini yang lebih rumit dan membebankan pemohon.

Masyarakat prihatin, apa tugas kita?

Kadangkala bukan hanya faktor kemiskinan, namun kurangnya maklumat dan informasi berkaitan pelbagai bentuk saluran dan medium bagi membantu mereka yang memerlukan untuk menyambung pengajian juga merupakan salah satu faktor yang harus diberi perhatian.

Namun, perkara ini dapat diatasi sekiranya semua pihak dalam masyarakat turut sama membantu dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.

Misalnya, peranan guru dan pentadbir sekolah yang cakna jika ada pelajar mereka yang berpotensi untuk maju ke hadapan namun terpinggir akibat kesusahan hidup. Maklumat dan profail pelajar ini akan diberikan kepada pihak institusi zakat bagi tindakan selanjutnya.

Ada juga sekolah yang mendapat 'pulangan balik' daripada jumlah kutipan zakat yang dikeluarkan oleh warga sekolah untuk diagihkan sendiri kepada mereka yang memerlukan.

Di peringkat komuniti pula, terdapat juga masjid yang prihatin dengan menyediakan peruntukan khas bagi untuk memberikan bantuan kepada anak kariah yang mungkin cemerlang namun kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Langkah ini bertepatan dengan realiti pada masa kini yang memerlukan jumlah perbelanjaan yang besar untuk melanjutkan pengajian terutamanya ketika di awal peringkat pengajian tersebut seperti kos pendaftaran dan sebagainya.

Terdapat juga institusi zakat yang membuka platform khas bagi masyarakat menjadi 'mata dan telinga' kepada mereka untuk mengenal pasti mereka yang cemerlang dalam pendidikan namun tercicir daripada meneruskan pengajian.

Kita mungkin terlepas peluang melahirkan bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang sekiranya insan sebegini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Tidak ada gunanya kita menyalahkan pihak itu dan pihak ini, sedangkan kita sendiri bersikap mementingkan diri.

Kesimpulannya, instrumen zakat merupakan salah satu penyumbang kepada legasi generasi kini bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Walaupun masih terdapat beberapa kekurangan dan kekangan dalam pelbagai faktor, namun itu bukanlah alasan yang muktamad untuk kita menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Penulis lulusan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah) dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

  • Created on .
  • Hits: 158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024