USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: ANGKAT SUARA ORANG MUDA

MyMetro
Angkat suara orang muda
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin | 18 Julai 2023

SHARIFAH Norizah harumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam usaha pemerkasaan belia
SHARIFAH Norizah harumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam usaha pemerkasaan belia

NAMA Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, 34, mungkin kurang dikenali di Malaysia kerana personalitinya yang merendah diri.

Tetapi, hakikatnya dia adalah pemimpin muda yang sering membawa dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, meskipun wanita itu pejuang barah limfoma (kelenjar darah).

Figura hebat ini terkenal di luar negara kerana menyertai banyak program berprestij anjuran pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations (UN).

Untuk rekod, Sharifah Norizah antara empat belia di seluruh dunia yang menyampaikan ucaptama di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun PBB ke-75 pada 2020 secara maya.

Dia juga adalah Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi 'United Nations Major Group for Children and Youth' (UN MGCY) sejak 2019 hingga kini.

Pembabitannya dalam program peringkat antarabangsa adalah lebih menjurus kepada pemerkasaan belia.

Pemegang Sarjana Amalan Pembangunan Lestari dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, titik tolak pembabitan awalnya dalam aktiviti peringkat antarabangsa bermula dari bawah dengan menyertai satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA).

DILANTIK sebagai Duta Keamanan Belia 2021 oleh ICESCO.
DILANTIK sebagai Duta Keamanan Belia 2021 oleh ICESCO.

Menurutnya, dia kemudian membuat permohonan mengikuti program 'Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Program (SSEAYP)' iaitu sebuah program pertukaran belia Asia Tenggara dan Jepun di bawah 'Cabinet Office, Goverment of Japan' yang dikelolakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya manfaatkan peluang ini mempelajari selok-belok pentadbiran untuk persatuan belia di bawah KBS.

"Sekarang saya menyertai beberapa NGO, antaranya menjadi naib presiden wanita MYHA yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Belia (ROY).

"Selain itu, saya juga adalah Exco Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian) yang membantu usaha Kerajaan Sarawak menyalurkan bekalan air bersih di beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usang di negeri berkenaan.

"Ia memfokuskan kepada agenda sumber air bersih dan sanitasi (SDG 6). Persatuan ini juga akan meneruskan misi projek gotong-royong menyalurkan air bersih yang seterusnya bermula Ogos depan," katanya.

Sharifah Norizah yang menetap di Johor berkata, program belia di bawah KBS menjadi 'pembuka' untuknya mempunyai jaringan lebih luas dengan belia daripada pelbagai negara.

SHARIFAH Norizah (kanan) bersama kumpulan UNODC dan wakil Menteri Kehakiman Jepun.
SHARIFAH Norizah (kanan) bersama kumpulan UNODC dan wakil Menteri Kehakiman Jepun.

Di samping itu membantunya mengorak langkah lebih jauh dalam pembabitan aktiviti belia di peringkat antarabangsa.

Katanya, sejak Januari 2019, dia menjadi pempengaruh sosial, penasihat dalaman 'United Nation'- Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dan pengasas inisiatif keamanan IYC4Peace yang dikelolakan menerusi perusahaan sosial miliknya, Asian Youth Network (AYN).

"Ia menyokong pengantarabangsaan belia di Malaysia melalui rangkaian antarabangsa dan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan IYC Kuala Lumpur terutama agensi United Nations.

"Pada tahun sama, saya terpilih sebagai penceramah belia untuk program '7th Partners of Review (P4R).'

"Ia adalah satu program jaringan pelbagai pihak berkepentingan antarabangsa yang bekerjasama dengan wakil kerajaan dan bukan kerajaan pada kajian nasional sukarela (Voluntary National Review) serta memulakan mekanisme kajian mantap untuk agenda 2030," katanya.

Menurut Sharifah Norizah, pada Disember 2020 hingga kini pula, dia bekerja sebagai perunding luar (pembabitan belia) yang bekerja dari rumah (home-based) sebagai perunding antarabangsa untuk Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) berpangkalan di Vienna, Austria.

"Ia berperanan menyokong pemerkasaan dan advokasi belia global mengenai pencegahan jenayah, keadilan jenayah serta kedaulatan undang-undang membabitkan kerjasama bersama 'UN member states' yang lain.

"Pada 2008, saya dilantik menjadi seorang daripada Duta Kecil Belia Malaysia Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) apabila terpilih sebagai seorang daripada 29 Duta Belia Malaysia.

"Kapal berlayar selama 52 hari ke Jepun dan lima negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Brunei, Vietnam, Filipina dan Thailand bagi tujuan mempromosikan persahabatan, kesefahaman belia Jepun serta Asean," katanya.

SHARIFAH Norizah (tengah) menjadi panel Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) ke-25 tahun lalu.
SHARIFAH Norizah (tengah) menjadi panel Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) ke-25 tahun lalu.

KEMAHIRAN antara budaya dimiliki hasil menyertai program belia peringkat global.
KEMAHIRAN antara budaya dimiliki hasil menyertai program belia peringkat global.

Dia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asian Youth Network Resources (AYN) berkata, keaktifan dalam program belia peringkat global dapat membentuk kemahiran antara budaya terhadap dirinya dan menyokong agenda Agenda Pembangunan Lestari (SDG) dalam setiap program kelolaannya.

Katanya lagi, kemahiran itu memberi kelebihan yang membolehkan dia memasarkan dirinya bekerja dengan UN.

"Untuk bekerja dengan organisasi ini bukan mudah kerana kriteria keperluan dikehendaki UN agak tinggi. Aspek yang ditekankan terhadap seorang calon ialah memiliki kemahiran antara budaya, selain menguasai bidang dipohon.

"Kemahiran ini membolehkan individu bekerja dalam ruang lingkup global dengan baik.

"Satu lagi ialah kemahiran diplomasi yang mana individu boleh mengendalikan rundingan antara pekerja dan rakan pelbagai negara.

"Walaupun berlainan pendapat, tetapi perbezaan ini diraikan dan diterima dengan baik tanpa mengira pangkat," katanya.

Sharifah Norizah berkata, ramai belia di Malaysia tidak mengetahui bahawa pembabitan dalam aktiviti belia peringkat antarabangsa boleh menjadi satu laluan kerjaya yang cerah untuk masa depan.

"Tetapi, mereka perlu bermula daripada bawah seperti berjinak-jinak aktiviti belia peringkat universiti.

"Ilmu, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki, kemudian boleh diteruskan untuk melebarkan sayap menyertai aktiviti belia peringkat global serta memperluaskan jaringan," katanya yang juga dilantik sebagai Ahli Bersekutu Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

  • Created on .
  • Hits: 205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024