USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: TAK MINAT STEM, BERDEPAN KRISIS BURUH

Utusan Malaysia
Tak minat STEM, berdepan krisis buruh
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR | 14 Julai 2023


SAINS memainkan peranan dalam pelbagai bidang. – GAMbaR HIASAN/UTUSAN

PETALING JAYA: Malaysia bakal kekurangan 60 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang jika jumlah kemasukan pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah menengah terus ber­ada di bawah 50 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Moha­med berkata, negara memerlukan pekerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan tenaga buruh yang sekali gus dapat menjana pertumbuhan dan ekonomi negara.

Katanya, kekurangan pekerja berkemahiran tinggi secara tidak langsung mengakibatkan negara terpaksa membawa ma­suk tenaga asing untuk menampung permintaan industri yang kini amat memerlukan lebih ramai saintis dan jurutera.

“Masalah kurang pelajar STEM memberi pelbagai kesan sama ada pertumbuhan ekonomi dan jumlah pekerjaan sedia ada. Lebih membimbangkan kita ada banyak kilang dan peluang pekerjaan tetapi tiada pekerja berkemahiran.

“Ini membimbangkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, jika kita gagal menarik ramai anak muda untuk minat dan belajar STEM,” katanya.

Semalam akhbar ini mela­porkan negara boleh kehilangan tenaga profesional tempatan ekoran enrolmen pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sekolah menengah masih di bawah 50 peratus, enam tahun berturut-turut sejak 2017.

Kerajaan pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 namun data setakat ini menunjukkan bila­ngannya sekitar 40 peratus.

Abdul Rahman menambah, membawa masuk pekerja asing­ untuk menampung tenaga buruh tidak sesekali menyelesaikan masalah kerana penyelesaian itu hanya bersifat sementara.

Sebaliknya kata beliau, negara ini perlu melahirkan pakar STEM dalam kalangan tempatan yang akhirnya dapat menabur bakti kepada tanah air sendiri dalam tempoh lebih lama.

Justeru katanya, semua pi­hak khususnya kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian di sam­ping mengenal pasti punca gene­rasi baharu kurang meminati bidang STEM.

Jelas beliau, antaranya kaedah terbaik bersama-sama mem­bantu meningkatkan minat dan kesedaran murid terhadap STEM dengan melibatkan kerjasama universiti.

“Sains dan matematik tak susah, tetapi sebab tidak minat punca kurang mengambil jurusan ini untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat sete­rusnya,” katanya.

Beliau mencadangkan supa­ya meningkatkan penge­tahuan sebagai nilai tambah dalam kalangan saintis dan jurutera sedia ada sebagai pelan jangka pendek untuk menampung kekurangan pekerja berkemahiran tinggi. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 256

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024