USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PENUNTUT USM SANTUNI GOLONGAN GELANDANGAN

Utusan Malaysia
Penuntut USM santuni golongan gelandangan
Oleh SAFINA RAMLI | 30 Jun 2023


SUKARELAWAN USM yang menyertai program Salvation For Homeless Misi Bantuan Gelandangan memberi makanan kepada gelandangan di sekitar George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini.

GEORGE TOWN: Sekumpulan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mendekati gelandangan di sekitar pusat bandar di sini untuk menyalurkan bantuan serta menzahirkan sokongan kepada kelangsungan hidup mereka.

Menggelarkan projek murni mereka sebagai ‘Salvation For Homeless Misi Bantuan Gelandangan’, program yang disertai lebih 20 sukarelawan pelajar itu diadakan di Terminal Bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Pengarah projek itu, Ahmad Irshad Rostani berkata, para peserta dapat mempraktikkan ilmu berkomunikasi dalam suasana yang mencabar kerana golongan gelandangan sering mendapat stigma yang negatif daripada segelintir masyarakat.

“Saya berharap program ini akan dapat memupuk semangat pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan.

“Selain itu, ia juga dapat menzahirkan komitmen pelajar dalam membantu menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2 iaitu Sifar Kelaparan,” katanya di sini baru-baru ini.

Turut hadir memberi sokongan kepada misi ini ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Prof. Madya Dr. Mohamad Hafiz Mohamad Kasim merangkap Penasihat Perkumpulan Anak-Anak Melaka (Purnama).

Menurutnya, selain menyediakan ruang untuk peserta beramah-mesra mendekati gelandangan, program yang dianjurkan secara bersama oleh Purnama dan Perkumpulan Mahasiswa/i Anak Negeri Sembilan (Pemanis) USM itu turut bertujuan menerapkan kesedaran kepada gelandangan untuk sentiasa menjaga kebersihan.

“Kami mengagihkan makanan dan kit keperluan kepada gelandangan antaranya perkakas mandian dan penjagaan kebersihan diri, bihun goreng, roti, biskut dan air,” katanya. – UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 202

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024