USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: PEMIMPIN PERLU PUNYAI PENGETAHUAN APABILA KELUARKAN KENYATAAN - ANWAR

MyMetro
Pemimpin perlu punyai pengetahuan apabila keluarkan kenyataan - Anwar
Oleh BERNAMA | Ahad, 11 Jun 2023

ANWAR bercakap pada Program Temu Anwar di USM. FOTO Bernama
ANWAR bercakap pada Program Temu Anwar di USM. FOTO Bernama

Georgetown: Pemimpin di negara ini perlu mempunyai pengetahuan apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu isu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang merujuk kepada isu dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah, berkata sejarah telah tertulis akan perubahan yang berlaku ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan ia perlu dihormati.

"Tradisi membaca itu harus kalau tidak tengok kita perbincangan sekarang Kedah ambil alih Pulau Pinang sebab ada buku sejarah. Sebab itu saya kata 'pengetahuan yang sedikit boleh menyebabkan seseorang percaya seolah-olah dia lebih pakar dalam sesuatu' ada juga 'separuh kebenaran adalah pembohongan mutlak' .

Betul tak Kedah miliki Pulau Pinang? Ya, itu dulu. Ada perubahan? Ya. Siapa tandatangani? Sultan Kedah. Bila? Pada tahun 1948, paling akhir 1957. Untuk apa? Untuk menyatakan setiap negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dan lain-lain itu menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu," katanya dalam Program Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang di sini hari ini.

Anwar menegaskan pemimpin juga perlu berilmu dan membaca sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau isu.

Katanya, baca buku sejarah itu, bila baca sejarah Siam bagaimana, bagaimana Brunei di Sarawak, Sulu di Sabah dan sebelum itu Kerajaan Sriwijaya.

"Jadi baca, kalau nak jadi pimpinan lebih lagi mencabar…jangan main suara politik picisan, guna ilmu dan selamatkan rakyat," katanya.

Pada 29 Mei lalu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

  • Created on .
  • Hits: 204

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024