USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM KEKAL KEDUDUKAN KEEMPAT TERBAIK DUNIA THE IMPACT RANKINGS 2023

Astro Awani
USM kekal kedudukan keempat terbaik dunia THE Impact Rankings 2023
Bernama | 2 Jun 2023

USM kekal kedudukan keempat terbaik dunia THE Impact Rankings 2023
USM juga unggul di kedudukan pertama dalam Sustainable Development Goals (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh. -Gambar fail/Instagram @USMofficial

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dan pertama di Asia dalam ranking kelestarian itu.

Selain itu, USM juga unggul di kedudukan pertama dalam Sustainable Development Goals (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.

Hal ini menyaksikan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang dianugerahkan kepada USM berjaya direalisasikan melalui visi Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dan moto "Kami Memimpin".

Naib Canselor USM Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata sebagai satu-satunya Universiti APEX di Malaysia, USM memahami bahawa amalan kelestarian melangkaui batas akademik dan ia juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar serta kakitangan supaya menjadi warga global yang bertanggungjawab.

"Dengan menerapkan prinsip kelestarian dalam pengajaran dan penyelidikannya, USM memperkasakan individu untuk menangani cabaran kompleks melalui penyelesaian inovatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan senarai THE Impact Rankings 2023 melibatkan penilaian terhadap 1,591 institusi di seluruh dunia berbanding 1,410 institusi pada tahun lepas dan dilaksanakan berdasarkan pencapaian dalam aktiviti serta program yang berkaitan dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam SDG itu.

Terdahulu pada tahun 2022, kedudukan keempat dikongsi antara USM dan Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.
-- BERNAMA

  • Created on .
  • Hits: 229

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024