USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: USM KEKAL KEDUDUKAN KEEMPAT TERBAIK DUNIA

Kosmo
USM kekal kedudukan keempat terbaik dunia
Oleh SAFINA RAMLI | 2 Jun 2023


Abdul Rahman.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023.

Ini sekaligus menjadikan USM di kedudukan pertama di Asia dalam ranking kelestarian itu, selain USM unggul di kedudukan pertama dalam Sustainable Development Goals (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.

Hal ini menyaksikan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang dianugerahkan kepada USM berjaya direalisasikan melalui visi Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok dan moto ‘Kami Memimpin’.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sebagai satu-satunya Universiti APEX di negara ini, USM memahami bahawa amalan kelestarian melangkaui batas akademik.

“Dengan menerapkan prinsip kelestarian dalam pengajaran dan penyelidikannya, USM memperkasakan individu untuk menangani cabaran kompleks melalui penyelesaian inovatif.

“USM berbangga dengan pencapaian ini kerana ia menyerlahkan dedikasi USM untuk mencipta masa depan yang lestari, memacu perubahan positif dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Senarai The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 melibatkan penilaian terhadap 1,591 institusi di seluruh dunia (berbanding 1,410 institusi pada tahun 2022).

Penilaian ini dilaksanakan berdasarkan pencapaian dalam aktiviti dan program yang berkaitan dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDG) itu.

Pencapaian universiti-universiti di dunia dalam setiap daripada 17 (SDGs) yang ditetapkan akan menentukan kedudukan mereka dalam ranking yang dibuat secara tahunan itu.

USM berada pada kedudukan tertinggi bagi tiga SDG iaitu SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), SDG 2 (Sifar Kelaparan) dan SDG 1 (Tiada Kemiskinan).

SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) juga adalah penilaian mandatori yang turut diambil kira dalam pengiraan pencapaian keseluruhan selain daripada tiga yang tertinggi seperti yang disebutkan.

Terdahulu pada tahun 2022, kedudukan keempat dikongsi antara USM dan Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 237

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024