USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: MOSTI MAHU PEMAIN INDUSTRI BANTU BIDANG TEKNOLOGI ANGKASA

Kosmo
MOSTI mahu pemain industri bantu bidang teknologi angkasa
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA | Negara | 13 Mei 2023


Lih Kang (tengah) ketika menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Bagi Projek Roket Hebat 2.0 di USM Jalan Transkrian hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/ KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu lebih banyak pemain industri yang berkaitan menyokong atau membantu dalam membangunkan bidang teknologi angkasa di negara ini.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, sokongan sama ada menerusi pemberian dana atau bantuan teknikal itu penting bagi memastikan bidang tersebut terus mendapat tempat terutamanya dalam kalangan generasi muda ketika ini.

Sebagai contoh katanya, Projek Hebat II, Wau Rocketry Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sahaja akan menjadi galakkan kepada belia di negara ini untuk melibatkan diri dalam inovasi, malah turut mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan lebih meluas.

“Selepas meneliti pembentangan mereka (pasukan Wau Rocketry USM berhubung Projek Hebat II), saya berasa amat gembira dan bangga dengan pencapaian mereka dan berharap lebih banyak pihak (industri) masuk dan memberi sokongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk pasukan berkenaan.

Wau Rocketry USM yang kini dianggotai oleh 30 ahli terdiri daripada penuntut jurusan Kejuruteraan universiti itu akan mewakili Malaysia ke pertandingan pelancaran roket berprestij iaitu Spaceport America Cup di New Mexico, Amerika Syarikat (AS), Jun depan.

Penyertaan sulung mereka dalam pertandingan yang sama tahun lalu iaitu menerusi Projek Hebat berjaya meletakkan pasukan itu di ranking ketujuh daripada 46 pasukan dalam kategori 10,000 kaki selain tempat ke-12 daripada 99 pasukan dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, pengarah projek Wau Rocketry USM, A. Vamintha berkata, pihaknya memerlukan dana sehingga RM371,000 untuk menampung kos perbelanjaan menyertai pertandingan di sana yang akan dihadiri 16 penuntut universiti serta dua orang penasihat. – KOSMO! ONLINE

  • Created on .
  • Hits: 215

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024