USM NEWS PORTAL 

Keratan Akhbar

BERITA DALAM TALIAN: BIOGEL INOVASI MESRA ALAM HALAU NYAMUK AEDES

Utusan Malaysia

BioGel inovasi mesra alam halau nyamuk Aedes

Oleh SAFINA RAMLI | 2 Februari 2023


NUR FAEZA Abu Kassim (tengah) memperkenalkan inovasi baharu yang mesra alam sekitar untuk mencegah nyamuk Aedes menerusi Program COMBI Lawan Denggi 2023 dan Pertandingan Kutip Sampah berpasukan di pekarangan Flat Hamna, Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini.

GEORGE TOWN: Kejayaan seorang saintis Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Nur Faeza Abu Kassim memperkenalkan inovasi baharu yang mesra alam sekitar untuk mencegah nyamuk Aedes memberi khabar gembira kepada sektor kesihatan.

Nur Faeza yang merupakan pensyarah dan penyelidik kawalan vektor serta penyakit bawaan nyamuk terutamanya Aedes dan culex di Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM berkata, inovasi tersebut dikenali sebagai BioGel iaitu manik hidrogel yang mampu menarik dan membunuh nyamuk serta penggunaan tumbuhan tempatan untuk menghalau nyamuk Aedes.

‘’BioGel Bait menggunakan sugar bait technology iaitu memanipulasikan cara pemakanan vektor bertindak dengan ka­edah serang dan bunuh.
Ads by Kiosked

‘’Ia bertujuan memusnahkan nyamuk Aedes iaitu vektor demam denggi dalam semua peringkat kitar hidup termasuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program COMBI Lawan Denggi 2023 dan Pertandingan Kutip Sampah berpasukan di pekarangan Flat Hamna, Sungai Dua, di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Faeza, Biogel Bait berasaskan campuran ekstrak tumbuh-tumbuhan tempatan ialah salah satu kaedah kawalan biologi yang bersifat mesra alam sekitar dan selamat kepada manusia serta haiwan.

Jelasnya, Biogel Bait itu juga mudah digunakan, mesra pengguna malah rendah kos pembuatan.

“Ia sesuai digunakan di dalam dan di luar kawasan rumah, malah boleh diperoleh dengan harga RM10 untuk sebulan penggunaannya,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Faeza berkata, pihaknya turut memperkenalkan penggunaan pokok herba anti-Aedes iaitu limau kasturi, pokok basil dan pokok pudina melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian.

“Pokok yang paling berkesan dan mudah setakat ini ialah pokok basil yang selalunya dijadikan ulam manakala limau kasturi dan pudina memerlukan tempoh tertentu untuk berupaya menghalau nyamuk Aedes,” katanya.

‘’Untuk mencegah nyamuk Aedes, kaedah pengurusan kawalan vektor bersepadu pen­ting dan orang ramai perlu menyokong usaha ini dengan sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membiarkan air bertakung yang membolehkan nyamuk Aedes membiak,’’ katanya.- UTUSAN

  • Created on .
  • Hits: 200

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024