USM NEWS PORTAL 

BERITA DALAM TALIAN: 'SYUKUR TAK PERLU POTONG LIDAH'

BERITA DALAM TALIAN: 'SYUKUR TAK PERLU POTONG LIDAH'

Harian Metro
'Syukur tak perlu potong lidah'
Oleh Nur Izzati Mohamad | 29 April 2024

Kepala Batas: Guru lelaki yang disahkan menghidap kanser menarik nafas lega selepas rawatan brakiterapi yang dijalaninya di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, di sini bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya namun menyelamatkan lidahnya dari dipotong.

Hasbullah Rashid, 42 yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Paya Besar di Kulim, Kedah disahkan menghidap kanser berkenaan pada 2018.

Bapa kepada tiga anak itu, berkata pada mulanya dia mendapati bahagian lidahnya mengalami 'ulser' namun tidak melakukan sebarang rawatan kerana menganggap ia perkara biasa.

"Saya pada mulanya tidak ambil kisah mengenai 'ulser' kerana ia kejap ada kejap baik semula yang perkara itu sering berlaku dekat sesiapa sahaja hingga dianggap normal.

"Bagaimanapun, semua itu berubah apabila terasa sakit untuk makan hingga satu masa saya bangun tidur ada tompokan darah pada pipi lalu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

"Saya kemudian dirujuk ke pakar kepala dan leher di Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang mendapati sel kanser berada pada tahap dua sebelum saya dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Doktor di situ menawarkan rawatan pemotongan sebahagian lidah bagi mengekang sel kanser merebak," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program April Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher yang disempurnakan Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (USM) di Bertam, di sini, hari ini.

Hasbullah berkata, dia tidak mampu berkata-kata selepas mendengar rawatan yang perlu dijalaninya bahkan berisiko kehilangan upaya untuk bertutur sekiranya dia bersetuju dengan kaedah rawatan berkenaan.

"Bayangkan selama 38 tahun (usia disahkan kanser) saya boleh bercakap tiba-tiba perlu belajar bahasa isyarat, apatah lagi saya seorang guru yang memerlukan suara untuk berinteraksi dengan murid.

"Saya rasa dunia tiba-tiba gelap dan fikir hanya untuk mati.

"Namun, segala-galanya berubah apabila ada doktor yang mengesyorkan saya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan USM tanpa perlu memotong lidah yang kini saya sudah bebas sepenuhnya dari penyakit ini selepas empat berjuang," katanya yang seolah-olah diberikan peluang hidup kali kedua.

Bagi seorang warga emas Shariffuddin Chaplang, 71, berkata dia sudah sembuh dari kanser yang dialaminya sejak 2019 selepas empat tahun menjalani rawatan.

"Sama seperti pejuang lain, saya hanya mampu reda dengan ujian ini dan bersyukur masih lagi dipanjangkan usia selain sembuh dari penyakit ini.

"Walaupun sudah berusia tetapi jangan kita berputus asa mencari jalan untuk kesembuhan kerana setiap penyakit ada penawarnya," katanya yang didiagnos mengalami kanser di bahagian pangkal hidung.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman, berkata lebih 500 pesakit kanser kepala dan leher termasuk lidah dan mulut telah menerima rawatan di pusat perubatan, di sini sejak 2016 dengan menggunakan rawatan brakiterapi.

"Rawatan ini juga didapati menunjukkan 'success rate' (tahap kesembuhan) yang amat tinggi dan kita berharap fasiliti ini dapat memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat sekitar Utara Semenanjung selain mengekalkan status sebagai Pusat Rujukan Brakiterapi Kepala dan Leher antara terbaik di dunia," katanya.

HASBULLAH menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan selepas menghidap kanser kepala dan leher pada 2018 . FOTO Danial Saad
 HASBULLAH menunjukkan gambarnya ketika menerima rawatan selepas menghidap kanser kepala dan leher pada 2018 . FOTO Danial Saad

BERITA DALAM TALIAN: 111 KES KERACUNAN AKIBAT PENDEDAHAN ROKOK ELEKTRONIK

Sinar Harian
111 kes keracunan akibat pendedahan rokok elektronik
27 Mac 2024

Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama
Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas. Gambar hiasan Bernama

GEORGE TOWN - Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2015 hingga tahun lepas.

Ketua Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM, Sulastri Samsudin berkata, daripada jumlah itu pihaknya merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi dengan 30.6 peratus iaitu lima kali ganda kenaikan pada tahun lepas berbanding 6.3 peratus pada 2019.

"Fasa pertama peningkatan adalah sebanyak dua kali ganda pada 2020 (13.5 peratus) dan 2021 (19.8 peratus) berbanding 6.3 peratus pada 2019 iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Situasi ini boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini akibat penyimpanan tidak selamat dan bentuk pembungkusan produk serta kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, fasa kedua iaitu pada 2022 dan 2023 pula menunjukkan perubahan tren dari kategori umur dengan lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja.

Menurutnya, lebih 95 peratus kes yang dilaporkan adalah bergejala keracunan nikotin seperti muntah teruk, mengantuk, cirit-birit, sakit perut, pengsan dan sawan selain terdapat gejala lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dadah ke dalam cecair rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Sulastri berkata, sejak 2021, PRN juga mula menerima kes pendedahan rokok elektronik yang dikaitkan dengan dadah Magic Mushroom atau bahan aktifnya psilosibin dan telah merekodkan 23 kes sehingga kini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah diluluskan tahun lepas dengan memastikan kawalan terhadap produk rokok elektronik diberi penekanan terhadap beberapa perkara.

BERITA DALAM TALIAN: APA SAHAJA UNTUK ANAK TERSAYANG

My Metro
Apa sahaja untuk anak tersayang
Oleh Nurul Husna Mahmud, Redzuan Muharam, Hidayatidayu Razali, Mary Victoria Dass, Zuhainy Zulkiffli dan Ahmad Hasbi | 12 Mei 2024

ROSMAWATI tinggal Bersama Nursyuhaila di asrama USM sejak Oktober lalu.
ROSMAWATI tinggal Bersama Nursyuhaila di asrama USM sejak Oktober lalu.

Georgetown: "Tak boleh berjalan, buat apa mengaji (belajar) tinggi-tinggi?"

Itu antara kata-kata terpaksa 'ditelan' Rosmawati Salleh, 56, selepas anak bongsunya yang lumpuh menyambung pengajian ke universiti.

Tidak mahu mengalah dengan takdir, Rosmawati mengambil keputusan tinggal bersama anaknya, Nursyuhaila Abdullah, 22, di desasiswa atau asrama Universiti Sains Malaysia (USM) sejak Oktober lalu untuk membantu gadis terbabit dalam pengurusan diri.

Rosmawati berkata, keputusan itu mengubah cara hidupnya yang perlu tinggal di desasiswa dan terpaksa melupakan pengurusan rumah tangga di Kulim, Kedah.

Bercerita pengalamannya, dia amat terhutang budi kepada pihak universiti kerana memberi kebenaran kepada waris tinggal di asrama berikutan kedua belah kaki Nursyuhaila yang lumpuh hingga paras pinggang dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

Tambahan pula penyakit dihidapi pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu boleh menyerang pada bila-bila masa menyebabkan kesakitan dirasa 'menusuk hingga ke tulang'.

"Keadaan fizikal Nursyuhaila berubah sejak berusia 15 tahun selepas mengalami tuberkulosis atau tibi yang turut menyerang saraf tunjang namun belum pernah terbit di bibirnya bahawa dia mahu 'mengalah' dengan menamatkan pelajaran.

"Berikutan itu, Nursyuhaila memerlukan penjagaan kerana tidak boleh mengangkat badan bagi menguruskan diri seperti mandi atau duduk.

"Tidak mengapa jika saya terpaksa tinggal bersamanya di asrama kerana ia tidak lama, hanya tiga tahun sahaja," katanya.

Mengulas lanjut Rosmawati berkata, kesungguhan Nursyuhaila sejak kecil terutama dalam hal pelajaran menyebabkan mereka sekeluarga beri dorongan penuh dan berharap mampu mengubah nasibnya apabila dia tiada kelak.

Sudah menjadi rutin kepada Rosmawati bagi menyiapkan Nursyuhaila setiap hari sebelum menjalani kuliah dengan menaiki van disediakan pihak universiti.

"Selain memastikan kebersihan bilik asrama yang diubah suai menjadi mesra orang kurang upaya (OKU), saya turut menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada waktu terluang.

"Kini pengajiannya masuk semester kedua dan saya sudah biasa dengan keadaan ini, begitu juga Nursyuhaila. Bapanya meninggal dunia 17 tahun lalu dan kerana itu semangatnya kuat.

"Sakit, demam dan soal kesihatan biarlah hanya saya yang tahu," kata suri rumah itu lagi.

BERITA DALAM TALIAN: CIKGU HASBULLAH BERSYUKUR LIDAH TAK PERLU DIPOTONG

Kosmo
Cikgu Hasbullah bersyukur lidah tak perlu dipotong
Oleh NOOR HASLIZA NUSI | 29 April 2024

Cikgu Hasbullah (kanan) bersama Shariffuddin (tengah) berkongsi pengalaman menjalani rawatan brakiterapi di PPUSMB, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang guru yang juga pesakit kanser lidah tahap tiga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dia dikhabarkan bebas daripada menghidap penyakit itu selain tidak perlu menjalani pembedahan memotong lidah, dua tahun lalu.

Hasbullah Rashid, 42, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Paya Besar, Kulim di Kedah itu berkata, dia umpama diberi peluang hidup buat kali kedua selepas empat tahun berjuang dengan kanser lidah.

Menurutnya, dia sememangnya tidak menyangka dapat menempuh liku-liku sepanjang mendapatkan rawatan menerusi teknik brakiterapi atau Hybrid Brachytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy (HyBIRT) di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) sejak 2018.

“Rasa seperti hidup kali kedua sebaik disahkan bebas kanser pada tahun 2022. Semasa awal didiagnos memang saya berada pada tahap hendak mati dan memikirkan keadaan tiga anak yang masih kecil.

“Lebih tak dapat terima apabila doktor di sebuah hospital kerajaan memaklumkan yang separuh lidah saya terpaksa dipotong dan kesannya saya sudah tidak boleh bercakap lagi.

“Bagaimanapun, setelah menjalani rawatan brakiterapi di sini (PPUSMB), saya akhirnya disahkan bebas kanser,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup Program April Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher 2024 di PPUSMB, di sini hari ini.

Teknik brakiterapi yang diperkenalkan di PPUSMB berupaya untuk mengekalkan pertuturan dan fungsi menelan.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang juga pesara tentera, Sharifuddin Chaplang, 71, pula memberitahu, dia didiagnos sebagai penghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika berusia 68 tahun.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia kini disahkan bebas daripada kanser setelah menjalani rawatan dengan teknik (HyBIRT) di hospital berkenaan.

“Saya positifkan diri dan tak fikir tentang apa yang dihadapi. Pernah kawan-kawan mengatakan 60 peratus yang menghidap kanser akan mati. Saya langsung tak ambil kisah dan kuat diri sehinggalah ke saat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sehingga kini, hampir 500 kes kanser kepala dan leher telah dirawat PPUSMB dan lebih daripada 70 kes brakiterapi untuk kanser rongga mulut telah dilakukan oleh pakar di hospital berkenaan.

“Setakat ini, PPUSMB merupakan satu-satunya pusat di Asia Tenggara yang mampu merawat kanser kepala dan leher dengan brakiterapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

BERITA DALAM TALIAN: GELARAN 'KAFIR' DALAM ISLAM DAN AGAMA-AGAMA LAIN: APA ISU?

Edisi 9
Gelaran ‘kafir’ dalam Islam dan agama-agama lain: Apa isu?
Oleh PROF MADYA DR NAZARUDIN ZAINUN | 1 April 2024

https://www.edisi9.com.my/wp-content/uploads/2024/04/kafir-infidel.jpg

DI sebahagian negara mereka berbangga memakai logo perkataan infidel atau kafir. Bagi mereka itu satu penghormatan.

Namun tidak di Malaysia apabila perkataan tersebut digantungkan dengan pelbagai persepsi hingga menenggelamkan makna sebenar perkataan itu.

Setelah lebih daripada 14 abad Islam masuk dan lebih daripada lapan abad berkembang pesat di negara ini, tiba-tiba tahun 2024 perkataan itu mahu dilarang penggunaannya.

Ada yang kata tidak patut gunakan demi menjaga hati pihak tertentu, dan ada yang kata sebaliknya.

Ada apa sebenarnya? Apa pula perkataan yang sama erti dengan kafir dalam agama lain?

Kafir adalah istilah yang digunakan oleh Tuhan (Allah) dengan nilai lembut terhadap orang belum Islam seperti tertera dalam al-Quran, contohnya dalam surah Al-Kafirun (109:1).


Di sesetengah negara, mereka berbangga memakai logo dengan perkataan ‘infidel’ atau kafir. – Gambar hiasan

Dari sudut pandang Islam perkataan kafir itu sendiri bermaksud ‘orang yang menutup diri daripada beriman kepada Allah’.

Lalu apa masalahnya sehingga perkataan ini tidak digalakkan (dibenarkan) untuk digunakan? Di manakah masalahnya?

Sebenarnya konsep yang sama juga digunakan oleh agama lain apabila memanggil orang yang tidak seagama dengan mereka. Namun apakah perkataan mereka bernilai lembut?

Bagi orang Yahudi, mereka yang tidak ikut agama Yahudi atau tidak lahir dari keturunan Yahudi dipanggil sebagai goyim.

Ada banyak tafsiran daripada perkataan ini. Antaranya ‘manusia yang paling hina yang lahir daripada khinzir dan monyet’.

Ada juga yang menyatakan goyim adalah ‘lembu-lembu yang membawa maksud manusia selain Yahudi adalah lembu-lembu yang boleh diperlakukan apa saja’.

Fahaman goyim ini bukan saja dinyatakan di dalam kitab Talmud tetapi juga digunakan oleh para rabai untuk mengajarkan umat mereka bahawa para goyim ini tidak ada tempat di dalam dunia. Goyim adalah hamba kepada bangsa Yahudi.

Manakala dalam ajaran Kristian pula memanggil orang yang tidak beragama Kristian sebagai domba atau ‘biri-biri yang sesat’.

Sedangkan bagi Buddha pula, sejauh carian menyebutkan tidak ada kata untuk sebutan bagi umat non-Buddha.

Ini disebabkan bagi Buddha, sebagai agama humanistik, semua manusia adalah sama, semua masih diliputi oleh keserakahan, kebencian dan kebodohan batin.

Maka sebab itulah tiada perkataan untuk mereka yang non-Buddha.

Manakala dalam ajaran agama Hindu untuk mereka yang non-Hindu disebut ‘sahabat’ seperti tertulis dalam Pustaka suci Bhagavadgita Sloka XII. 13. menyebutkan:

Advesta sarwa bhutanam, Maitrah karuna eva ca Nirmano niraham karah, sama dukha-sukhah ksami (Dia yang tidak membenci segala makhluk, bersahabat, dan cinta kasih bebas daripada keakuan dan keangkuhan, sama dalam suka dan duka, serta pemberi maaf) .

Di dalam Yajur Veda 26.2, disebutkan: Mitrasya ma caksusa sarvani bhutani samiksantam, mitarsya aham caksusa saruani bhutani samikse, mistrasya caksusa samisamahee (moga semua makhluk memandang kami dengan pandangan mata seorang sahabat, semoga kami memandang dengan pandangan mata seorang sahabat).

Jadi hampir setiap agama mempunyai perkataan bagi memanggil mereka yang tidak seagama. Ada yang kasar dan ada yang lembut.

Dalam Islam selagi seseorang itu bertaraf kafir zimmi (tinggal di negara Islam, menghormati orang Islan dan peraturan Islam) maka mereka patut dihormati dan bila menjadi kafir harbi (tinggal dalam negara Islam, tetapi menentang umat Islam dan peraturan Islam) patut diperangi.

Jadi eloklah perkataan itu tidak dipolitikkan. Biarkankah perkataan itu dibebaskan daripada pelbagai persepsi yang tidak sepatutnya.

Tidak perlu merendahkan Islam untuk menjaga hati sesiapapun, kerana tidak ada yang salah dengan perkataan itu jika dirujuk kepada maksud sebenar.

Kita hanya berusaha, hidayah milik Allah.

Penulis adalah pakar sejarah Asia dan merupakan pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.

BERITA DALAM TALIAN: MALAYSIA GENOMICS METERAI DUA MOA DENGAN USM, BERSEDIA MEMBONGKAR RAHSIA GENETIK DAN SEJARAH-SEJARAH WANITA PULAU PINANG

Life News Agency
Malaysia Genomics Meterai Dua MOA dengan USM, Bersedia Membongkar Rahsia Genetik dan Sejarah Sejarah Wanita Pulau Pinang
Oleh E NEWS | 13 March 2024

Screenshot 2024 03 19 at 9.38.06 AM

PETALING JAYA, 13 Mac 2024 – Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (“MGRC” atau “Kumpulan”), pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, dengan sukacitanya mengumumkan dua perjanjian kerjasama penyelidikan penting dengan Universiti Sains Malaysia (“USM”), Malaysia universiti penyelidikan utama yang terkenal dengan komitmen mereka untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan.

Perjanjian pertama memberi tumpuan kepada penerokaan genetik Penang Woman melalui kajian mendalam yang bertujuan untuk mengekstrak dan menganalisis bahan genetik daripada spesimen Penang Woman. Di bawah kerjasama ini, USM akan menyediakan bahan genetik dan bantuan teknikal untuk penjujukan DNA, manakala MGRC Therapeutics (“MGRCT”) akan menjalankan pengekstrakan DNA genomik dan penjujukan genom keseluruhan menggunakan bahan yang diekstrak, serta menyediakan sokongan pembiayaan. Kerjasama itu merangkumi tanggungjawab bersama termasuk penyediaan laporan penyelidikan akhir, perkongsian pengetahuan, dan mengarang bersama penerbitan semakan rakan berdasarkan penemuan penyelidikan.

Selari dengan ini, perjanjian kedua telah diwujudkan untuk menentukan umur rangka Wanita Pulau Pinang purba menggunakan teknik Pentarikhan Spektrometri Jisim Accelerator (“AMS”), di samping menjalankan pentarikhan Pencahayaan Terransang Optik pada tembikar Guar Kepah. Untuk projek ini, USM akan memanfaatkan kepakaran dating AMS mereka, dengan MGRCT menyediakan sokongan pembiayaan. Kedua-dua pihak akan terlibat dalam analisis data, tafsiran dan pengarang bersama manuskrip untuk penerbitan semakan rakan sebaya, menyumbang secara signifikan kepada pemahaman sejarah manusia di rantau ini.

Kerjasama ini berlatarbelakangkan data genetik bermaklumat terhad daripada Orang Asli purba Sunda dan Sahul, dua kawasan daratan prasejarah yang telah menarik minat para saintis dan ahli sejarah. Penemuan Wanita Pulau Pinang baru-baru ini, yang ditemui di Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada April 2017, memberikan peluang unik untuk meluaskan liputan sampel dan mendalami pemahaman tentang susunan genetik dan konteks sejarah penduduk purba di rantau ini.

Azri Azerai, Pengerusi Eksekutif Malaysian Genomics menyatakan keghairahan mengenai kerjasama itu, dengan menyatakan, “Kolaborasi penyelidikan dengan USM ini bukan hanya untuk menyelidiki masa lalu; ia mewakili penumpuan yang menarik dalam sejarah, sains, dan teknologi. Dengan mendedahkan genetik dan sejarah naratif Penang Woman, kami bukan sahaja menyumbang kepada komuniti akademik dan saintifik tetapi juga meningkatkan kesedaran jenama dan kehebatan teknikal MGRC. Penerokaan ke dalam yang tidak diketahui ini menggariskan komitmen kami untuk menolak sempadan perkara yang mungkin dalam genomik dan biofarmaseutikal.”

Prof. Dr. Edinur Hisham Atan, Penyiasat Utama bagi Projek Genetik Wanita Pulau Pinang berkata, “Penyiasatan sejarah manusia di Semenanjung Malaysia telah dihadkan oleh kekurangan data genomik bermaklumat daripada tinggalan purba dari rantau ini. Ia menjadi lebih sukar kerana campuran genetik yang meluas dalam keturunan orang asli purba seperti Orang Asli Semang dan Proto-Melayu. Oleh itu, pembinaan semula sejarah penduduk yang lebih baik di Semenanjung Malaysia memerlukan pemulihan jujukan genom nuklear purba, seperti yang dicadangkan di sini untuk Penang Woman. Ini melengkapkan analisis DNA kami yang terdahulu dan sedia ada bagi sampel manusia moden dan purba di Semenanjung Malaysia dan rantau Asia Pasifik.”

Dr Suresh A/l Narayanen, Penyiasat Utama Penentuan Umur Rangka Wanita Pulau Pinang Purba menggunakan Projek Temu janji AMS berkata, “Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM mengalu-alukan perjanjian kerjasama penyelidikan dengan MGRCT dalam mengkaji rangka Wanita Pulau Pinang dan tembikar tembikar. dari tapak arkeologi Gua Kepah. Perjanjian itu membolehkan penyelidik dari USM dan MGRCT bekerjasama dan meneroka pendekatan saintifik baharu dalam meneliti bahan arkeologi, khususnya tinggalan manusia. Di samping itu, penyelidikan mengenai tembikar tembikar akan memberikan pemahaman saintifik baharu dan naratif sejarah mengenai teknologi dan budaya purba masyarakat Guar Kepah. Kami berharap kerjasama ini akan diteruskan pada masa hadapan untuk mempromosikan dan menggalakkan penyelidikan saintifik dalam genetik dan arkeologi.”

Dengan kerjasama penyelidikan terobosan ini, MGRC Therapeutics dan USM bersedia untuk memberi sumbangan besar kepada bidang genetik dan arkeologi, memberi penerangan tentang sejarah purba Malaysia dan rakyat negara ini.

BERITA DALAM TALIAN: MGRC, USM BEKERJASAMA KAJI GENETIK, SEJARAH 'PENANG WOMAN'

Edisi 9
MGRC, USM bekerjasama kaji genetik, sejarah ‘Penang Woman’
Oleh Wartawan Edisi 9 | 13 March 2024

Screenshot 2024 03 19 at 9.45.06 AM

MALAYSIAN Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, mengumumkan dua perjanjian kerjasama penyelidikan penting dengan Universiti Sains Malaysia (USM) berkaitan rahsia genetik dan sejarah Penang Woman.

Perjanjian pertama memberi tumpuan kepada penerokaan genetik Penang Woman berkenaan melalui kajian mendalam bagi mengekstrak dan menganalisis bahan genetik daripada spesimen wanita purba tersebut.

Manakala perjanjian kedua untuk menentukan umur rangka Penang Woman purba menggunakan teknik Pentarikhan Spektrometri Jisim Accelerator (AMS) di samping menjalankan pentarikhan Pencahayaan Terransang Optik pada tembikar Guar Kepah.

Di bawah kerjasama ini, USM akan menyediakan bahan genetik dan bantuan teknikal untuk penjujukan DNA, manakala MGRC Therapeutics (MGRCT) akan menjalankan pengekstrakan DNA genomik dan penjujukan genom keseluruhan menggunakan bahan yang diekstrak, serta menyediakan sokongan pembiayaan.

Kerjasama ini turut merangkumi tanggungjawab bersama termasuk penyediaan laporan penyelidikan akhir, perkongsian pengetahuan, dan mengarang bersama penerbitan semakan rakan berdasarkan penemuan penyelidikan.

Pengerusi Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata, kolaborasi penyelidikan dengan USM ini bukan hanya untuk menyelidiki masa lalu, ia mewakili penumpuan yang menarik dalam sejarah, sains, dan teknologi.


‘Penang Woman’ yang ditemukan di Guar Kepah, Kepala Batas pada 2017 lalu.

“Dengan mendedahkan genetik dan sejarah naratif Penang Woman, kami bukan sahaja menyumbang kepada komuniti akademik dan saintifik tetapi juga meningkatkan kesedaran jenama dan kehebatan teknikal MGRC.

“Penerokaan ke dalam yang tidak diketahui ini menggariskan komitmen kami untuk menolak sempadan perkara yang mungkin dalam genomik dan biofarmaseutikal,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Azri berkata, di samping menjalankan pentarikhan Pencahayaan Terransang Optik pada tembikar Guar Kepah, USM juga akan memanfaatkan kepakaran dating AMS mereka, dengan MGRCT menyediakan sokongan pembiayaan.

“Kedua-dua pihak akan terlibat dalam analisis data, tafsiran dan pengarang bersama manuskrip untuk penerbitan semakan rakan sebaya, menyumbang secara signifikan kepada pemahaman sejarah manusia di rantau ini,” katanya lagi.

Kerjasama ini berlatarbelakangkan data genetik bermaklumat terhad daripada Orang Asli purba Sunda dan Sahul, dua kawasan daratan prasejarah yang telah menarik minat para saintis dan ahli sejarah, ujarnya.

BERITA DALAM TALIAN: PINDAAN AUKU BERI LEBIH AUTONOMI, SELARAS AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA

Berita Harian Online
Pindaan AUKU beri lebih autonomi, selaras agenda pemerkasaan mahasiswa
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof | 19 Mac 2024

Foto hiasan - BERNAMA
Foto hiasan - BERNAMA

GEORGETOWN: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menyifatkan kelulusan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di Dewan Rakyat, semalam, bakal memberi lebih autonomi kepada mahasiswa selaras agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan golongan itu.

Yang Dipertuanya, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, berkata pindaan akta itu juga dilihat dapat memperkukuh daya kepimpinan mahasiswa menerusi kecekapan pengurusan kewangan oleh badan pelajar.

Beliau berkata, ia berikutan pindaan terbabit antara lain membenarkan MPP atau badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, selain menguruskan kumpulan wang atau akaun.

"Seterusnya, penyelarasan terhadap tempoh pemilihan MPP yang lebih teratur mengikut tahun akademik pula akan menambah baik proses demokrasi pelajar dan tempoh keahlian MPP itu sendiri.

"Dalam hal ini, MPP USM berpendapat tempoh keahlian MPP akan tetap terjamin mengikut tahun akademik susulan pindaan itu.

"Selain itu, pindaan akta berkenaan juga adalah satu daripada usaha ke arah pemerkasaan autonomi dan kebebasan dalam penganjuran sesuatu program," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Nazmi berkata, pindaan terbaharu itu yang turut menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar pula memperlihatkan pemantapan amalan tadbir urus yang lebih sistematik dan teratur.

Justeru, beliau berkata, MPP USM sentiasa komited menyokong sebarang usaha merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa dan memperjuangkan hak kebebasan golongan itu.

"Oleh itu, besar harapan kami supaya pindaan AUKU ini dapat direalisasikan segera dan diterima baik oleh semua pihak terbabit," katanya.

Semalam, media melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April depan.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan digulung Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.

BERITA DALAM TALIAN: PUSAT RACUN NEGARA USM TERIMA 111 KES KERACUNAN AKIBAT PENDEDAHAN ROKOK ELEKTRONIK

BERNAMA BM
PUSAT RACUN NEGARA USM TERIMA 111 KES KERACUNAN AKIBAT PENDEDAHAN ROKOK ELEKTRONIK
27 Mac 2024

Screenshot 2024 03 29 at 2.47.09 PM

GEORGE TOWN, 27 Mac (Bernama) - Sebanyak 111 kes berhubung pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya telah dirujuk ke pusat panggilan Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 201 5 hingga tahun lepas.

Ketua Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM Sulastri Samsudin berkata daripada jumlah itu pihaknya merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi dengan 30.6 peratus iaitu lima kali ganda kenaikan pada tahun lepas berbanding 6.3 peratus pada 2019.

"Fasa pertama peningkatan adalah sebanyak dua kali ganda pada 2020 (13.5 peratus) dan 2021 (19.8 peratus) berbanding 6.3 peratus pada 2019 iaitu sepanjang tempo Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

"Majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Situasi in boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini akibat penyimpanan tidak selamat dan bentuk pembungkusan produk sera kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata fasa kedua iaitu pada 2022 dan 2023 pula menunjukkan perubahan tren dari kategori umur dengan lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja.

Menurutnya lebih 95 peratus kes yang dilaporkan adalah bergejala keracunan nikotin seperti muntah teruk, mengantuk, cirit-birit, sakit perut, pengsan dan sawan selain terdapat gejala lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dada ke dalam cecair rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Sulastri berkata sejak 2021, PRN juga mula menerima kes pendedahan rokok elektronik yang dikaitkan dengan dada Magic Mushroom atau bahan aktifnya psilosibin dan telah merekodkan 23 kes sehingga kini.

Justeru, beliau berkata pihaknya meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan wam 2023 yang telah diluluskan tahun lepas dengan memastikan kawalan terhadap produk rokok elektronik diberi penekanan terhadap beberapa perkara.

Katanya ia termasuk penggunaan penutup keselamatan bagi bekas isian semula cecair rokok elektronik, melarang penggunaan bahan perisa makanan dalam cecair rokok elektronik, menghadkan kepekatan nikotin dan jumlah cecair dalam cecair rokok elektronik serta bekas isian semula.

"Slain itu, memastikan produk bahan kimia diuji dan didaftarkan untuk tujuan pemantauan, menetapkan pengoperasian piawai ketat untuk proses pengeluaran produk, mengukuhkan sistem pemantauan bagi kes pendedahan keracunan rokok elektronik dan mengawal akses rokok elektronik kepada golongan bawah umur," katanya

- BERNAMA

BERITA DALAM TALIAN: USM BERJAYA KEKALKAN STATUS SWAAKREDITASI

Astro Awani
USM berjaya kekalkan status swaakreditasi
4 April 2024

USM berjaya kekalkan status swaakreditasiUSM dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 April 2010. - Foto USM

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hingga tahun 2027.

USM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan pengekalan status swaakreditasi itu diberi berikutan audit MQA yang telah menilai dan mengenal pasti kekuatan serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh USM.

MQA turut mengucapkan tahniah kepada USM susulan pencapaian itu dan berharap keputusan audit berkenaan dapat membantu pihak universiti dalam melaksanakan perancangan di masa hadapan.

"Ia satu perakuan melayakkan sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) mengakreditasi program akademik atau pengajiannya sendiri berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan standard serta ketetapan ditetapkan MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa, kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.

"Namun, sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi, pihak MQA akan melaksanakan Audit Institusi bagi pengekalan status berkenaan dalam tempoh masa setiap lima tahun," menurut kenyataan itu.
USM dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 April 2010.

Dalam kenyataan itu USM turut memaklumkan bahawa Audit Pematuhan Swaakreditasi telah dilaksanakan pada 8, 9 dan 14 Feb 2022 manakala Audit Susulan terhadap syarat-syarat pengekalan swaakreditasi diadakan pada 17 Ogos 2023.

Setelah proses audit selesai USM berjaya mengekalkan statusnya sebagai sebuah universiti swaakreditasi bermula 25 Mac 2024 hingga 2027.

"Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Swa-Akreditasi USM yang diterajui Pengarahnya Prof Dr Azura A Rashid dan juga kesemua Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain yang terlibat dalam eksesais pengauditan berkenaan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

BERITA DALAM TALIAN: USM CIPTA REKOD HASILKAN KALIGRAFI CINA 2.68 KM

Astro Awani
USM cipta rekod hasilkan kaligrafi Cina 2.68km
Bernama | 27 April 2024

USM cipta rekod hasilkan kaligrafi Cina 2.68km
Choo berkata, cuaca tidak menentu menjadi cabaran utama ketika menyiapkan projek berkenaan selain kekangan masa susulan pelajar perlu menghadiri kuliah. - Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghasilkan penulisan kaligrafi Cina sepanjang 2.68 kilometer (km).

Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBOR, Jeska Seah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin dalam satu majlis diadakan di Foyer Perpustakaan Hamzah Sendut 1 USM, di sini.

Pengarah Projek, Choo Xuan Ping berkata, idea untuk menghasilkan kaligrafi bertemakan Prelude: Naga's Quill itu tercetus sejak pertengahan tahun lepas sebagai praacara bagi Program Siri Persembahan Pentas Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) pada Jun depan.

Beliau berkata, bagi menjayakan projek berkenaan, lebih 1,000 penuntut terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik termasuk pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di USM terlibat dalam penghasilan kaligrafi itu selain dibantu pelajar sekolah menengah sekitar Pulau Pinang dan orang awam.

"Tema itu mengambil perkataan daripada beberapa bahasa bagi menonjolkan kemajmukan dan kepelbagaian kaum di Malaysia di samping merapatkan perpaduan melalui interaksi budaya dalam kalangan pelajar.

"Proses ini mengambil masa tiga hari bermula Isnin dan siap pada Rabu lepas, menggunakan 28 gulung kertas kaligrafi dengan setiap individu perlu menulis sekurang-kurangnya empat patah simpulan bahasa membawa maksud baik dan positif. Secara keseluruhan kita dapat mengumpul 3,000 simpulan bahasa ditulis di atas kertas sepanjang 2.68km," katanya.

Choo berkata, cuaca tidak menentu menjadi cabaran utama ketika menyiapkan projek berkenaan selain kekangan masa susulan pelajar perlu menghadiri kuliah.

Sementara itu, Shaharum dalam ucapannya berkata, kejayaan dicapai membuktikan kecemerlangan pelajar USM yang tidak terhad dalam bidang akademik sahaja tetapi meliputi kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum.

"Kemahiran kepimpinan dan kemahiran insaniah yang ditunjukkan mereka juga merupakan bukti kemampuan luar biasa dalam menghadapi cabaran.
"Ia sekali gus mengaplikasikan kepelbagaian budaya negara untuk memperlihatkan keunikan dan aspirasi mahasiswa," katanya. - BERNAMA


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024