USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PWDC-USM BEKERJASAMA ANJUR IWD2024 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

USM PULAU PINANG, 6 Februari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk menganjurkan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2024 atau Commemoration of the International Women’s Day (IWD2024) peringkat Negeri Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2024 02 06 at 12.15.05

Majlis Sambutan IWD2024 kali ke-12 itu dijadualkan akan berlangsung pada 7 Mac 2024 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, dengan tema ‘Inspirasi Keterangkuman’ (‘Inspire Inclusion’) yang selaras dengan sambutan peringkat antarabangsa.

Tema itu menekankan inspirasi dan penglibatan dari setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira jantina, usia, atau status Orang Kelainan Upaya (OKU), dengan harapan mencapai matlamat 'Leaving No One Behind'.

8663d014 7014 4351 b26d 8bae5fe1d988

Menurut EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, YB Puan Lim Siew Khim dalam satu sidang media khas berkata, penglibatan USM sebagai Universiti APEX membuka dimensi baharu dalam usaha memartabatkan wanita di Pulau Pinang, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, iaitu Matlamat 5: Mencapai Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita.

Harapan Lim adalah agar segala usaha yang ditabur untuk mengiktiraf sumbangan wanita  dapat meningkatkan motivasi dan harga diri wanita supaya terus berbakti untuk keluarga, komuniti dan masyarakat.

WhatsApp Image 2024 02 06 at 12.15.07

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd yang mewakili Naib Canselor USM berkata, USM sangat berdedikasi dan memandang serius dalam mencipta masa depan yang lestari, memacu perubahan yang positif dan memupuk kelestarian nilai etika dalam integriti ekologi, ekuiti sosial, kecekapan ekonomi, dan ekuiti antara generasi dan gender.

“USM akan terus memperkasa dan memartabatkan SDG 5 (kesaksamaan gender) dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta usaha “university social responsibility”.  Pada tahun 2023, USM berada di tempat ketiga dalam negara untuk SDG 5 ini.

“Di USM, kami membina jaringan yang kukuh dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan banyak lagi kementerian dalam penyelidikan membantu menaikkan tahap sosioekonomi dan memperkasakan kepimpinan wanita,” katanya.

Saidatulakmal turut memberikan naratif tentang wanita-wanita yang berjaya dalam kalangan warga USM (akademik dan bukan akademik) di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Majlis Sambutan IWD2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang dijangka melibatkan lebih dari 2,000 peserta wanita dan lelaki dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, institusi-institusi pengajian tinggi, sektor korporat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

WhatsApp Image 2024 02 06 at 12.15.04

IWD2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor dan diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Lean Kee bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid bersama barisan pimpinan negeri.

Selain itu, bersempena dengan bulan sambutan hari wanita, KANITA bersama Bahagian Jaringan Masyarakat USM akan menganjurkan beberapa program pembangunan kapasiti dan pemindahan ilmu serta aktiviti Explorace, termasuk kempen sifar plastik sekali guna di kampus.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng; Pengarah Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin; pegawai-pegawai utama USM dan PWDC serta penaja dan rakan-rakan kerjasama strategik.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 318

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024