USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EKSKAVASI BUKIT CHORAS DITERUSKAN BAGI MERUNGKAI SEJARAH KEDAH TUA DAN HUBUNGAN BUDAYA DI ASIA TENGGARA

YAN KEDAH, 4 Februari 2024 - Para penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan aktiviti ekskavasi pada struktur candi di Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini untuk mendedahkan sebahagian lagi struktur candi utama tersebut.

Terdahulu, hasil daripada ekskavasi fasa pertama telah mendedahkan sekitar empat puluh peratus (40%) daripada struktur candi Bukit Choras bersama dua buah patung Buddha diperbuat daripada stucco, prasasti beraksara pasca-pallava, kalam semah yang diperbuat daripada batu lumpur dan serpihan tembikar tanah.

WhatsApp Image 2024 02 06 at 18.26.46

Penemuan penting tersebut telah mengesahkan keberadaan struktur senibina candi dan artifak dengan ciri kesenian yang unik, berusia sekitar 1,200 tahun lalu.

Menurut Ketua Penyelidik merangkap Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw, antara impak daripada penemuan tersebut adalah penemuan struktur binaan yang utuh dan terpelihara serta tinggalan seni arca dan sistem tulisan yang kompleks, sekaligus membuktikan kewujudan masyarakat purba yang memiliki tahap teknologi yang tinggi di Daerah Yan, Kedah pada ketika itu.

“Melalui pembiayaan geran FRGS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, pihak PPAG USM telah memulakan kerja-kerja penggalian pada bulan Ogos tahun lalu dan mendapati penemuan itu mempunyai signifikan terhadap tafsiran baharu sejarah Kedah Tua,” kata Nasha.

Katanya lagi, penemuan ini tidak hanya memperluas pemahaman mengenai sejarah kuno di tanah air, tetapi juga menimbulkan pertanyaan baharu mengenai hubungan budaya antara Lembah Bujang dan tamadun purba lain di Asia Tenggara.

WhatsApp Image 2024 02 06 at 18.23.22

“Tapak ini istimewa kerana kebanyakan tapak arkeologi yang ditemui di Lembah Bujang terletak di selatan Gunung Jerai, iaitu sepanjang Sungai Merbok dan Sungai Muda, dan Bukit Choras adalah satu-satunya tapak setakat sekarang yang terletak di utara Gunung Jerai dan terpencil sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Nasha turut menerangkan wujud empat perkara utama yang diberi fokus khas dalam pembentukan naratif baharu mengenai Kedah Tua iaitu:

1. Kedah Tua sebagai pusat perdagangan dan industri;
2. Kedah Tua sebagai sebuah konfederasi kota-kota maritim;
3. Kebudayaan Masyarakat Kedah Tua yang kompleks; dan
4. Daya inovasi, pertukaran budaya dan pemindahan teknologi masyarakatnya.

“Secara keseluruhan, penyelidikan PPAG USM yang terkini mengambil pendekatan yang bersifat humanistik, komprehensif dan holistik. Objektif utama kajian USM sekarang adalah untuk membentuk naratif Kedah Tua yang tepat dengan menggunakan kaedah sejarah, arkeologi dan sosiologi berpandukan kepada konteks kebudayaan setempat dan serantau,” tambah Nasha lagi.

Turut hadir melawat tapak ekskavasi pada fasa kedua kerja penggalian adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Haji Salleh Saidin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; dan Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon.

WhatsApp Image 2024 02 05 at 22.47.10

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 794

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024