USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU OKU INTELEK SERTAI ALAM PEKERJAAN

KUBANG KERIAN, KELANTAN 25 Mei 2015 – Prihatin dengan peluang latihan kemahiran untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Bahagian Sains Rehabilitasi (Pemulihan Carakerja) Program Sains Senaman dan Sukan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan  Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (Vocational Training-VT) sejak 2012.
 Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Latihan Pekerjaan OKU Intelek USM, Dr Mohd Zulkifli Abd Rahim berkata, OKU Intelek iaitu mereka yang mempunyai pemikiran yang tidak seiring dengan usia menjadi fokus awal inisiatif USM membantu mereka memandangkan ini adalah  golongan paling sukar mendapat pekerjaan disebabkan oleh masalah komunikasi yang dihadapinya.
 “Kami menyahut seruan kerajaan yang menyarankan agar 10 peratus daripada setiap agensi pekerjaan terdiri daripada golongan OKU, namun hasrat ini masih lagi tidak kesampaian disebabkan masalah tiadanya keserasian untuk seseorang OKU berkhidmat di sesuatu tempat oleh kerana masalah kebolehan, kemampuan dan potensi OKU itu untuk menjalankan tugas dengan baik,” kata Mohd. Zulkifli.
 Tambahnya, golongan OKU Intelek juga memerlukan bantuan terapi awal untuk melayakkan seseorang OKU itu bekerja dan mempunyai masa hadapan sendiri yang lebih cerah.
 Melalui Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek ini, seramai 7 orang OKU Intelek dari Pusat Dalam Komuniti (PDK) dilatih, diberi pekerjaan bergaji tetap  dan berusaha mentransformasikan diri mereka dari status liabiliti kepada produktiviti.
 “Program ini berupaya menjana ekonomi golongan OKU yang sebelum ini hanya berada  di PDK sahaja dan diberi elaun sebanyak RM180, namun apabila menyertai alam pekerjaan, mereka akan dibayar gaji oleh majikan mengikut kemampuan tugas yang dijalankan dan diberi elaun pekerja cacat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dengan syarat gaji yang diterima kurang daripada RM2,000," jelas Mohd Zulkifli.
 Pensyarah Kanan Terapi Cara Kerja, PPSK USM itu berkata, OKU Intelek yang menyertai program ini akan dilatih dan perlu melalui proses pembelajaran, penilaian, orientasi alam pekerjaan, latihan pekerjaan di premis-premis yang ditetapkan sebelum diluluskan untuk terus berkhidmat dengan sesebuah agensi luar.
 “Program ini juga melibatkan kerjasama erat antara USM, agensi kerajaan dan majikan bagi membolehkan program ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dengan USM menjadi penggerak utama menyumbang kepakaran terapi cara kerja sementara JKM bertanggungjawab menyenarai dan memantau golongan OKU serta majikan terdiri dari dalam kalangan masyarakat atau organisasi setempat yang bersetuju untuk bekerjasama mengambil OKU Intelek sebagai pekerja mereka,” jelasnya lagi.
 “Masyarakat setempat yang mempunyai ahli keluarga OKU juga diminta tampil menghubungi Jawatankuasa Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek PPSK bagi membolehkan mereka dibantu dengan kepakaran yang ada sementara majikan yang berminat pula, bolehlah mengunjungi pusat Latihan Pekerjaan OKU Intelek untuk melihat kebolehan golongan ini sebelum menggaji mereka,” kata Mohd. Zulkifli lagi.
 Teks Asal: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Suntingan: Mohamad bin Abdullah
Foto: Ihsan dari Jawatankuasa Latihan Pekerjaan OKU Intelek, PPSK USM​
  • Created on .
  • Hits: 1282

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024