USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANSER NASOFARINKS: KESEMBUHAN TANPA PEMBEDAHAN

e7e537d0 37b4 4405 a172 cdeef4fef21a

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Januari 2024 - Kanser nasofarinks (kanser pangkal hidung) atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) adalah kanser yang tumbuh atau bermula di kawasan belakang hidung.

Kanser ini bersifat malignan serta merupakan antara kanser paling kerap berlaku dalam kalangan masyarakat baik lelaki atau wanita dan menurut data Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia (2012-2016), kanser nasofarinks adalah dalam kelompok lima (5) kanser tertinggi di Malaysia.

Menurut Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas yang juga Pakar Otorinolaringologi - Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Irfan Mohamad, kebanyakan pesakit lambat menyedari mereka mempunyai tanda-tanda menghidap kanser nasofarinks disebabkan kanser ini bukan mudah dilihat dengan mata kasar.

“Pesakit biasanya mengalami simptom-simptom seperti bengkak atau benjolan di leher melebihi dua (2) minggu dan semakin membesar, kurang pendengaran atau telinga berdengung (simptom kurang pendengaran jenis konduktif) untuk tempoh yang lama, pandangan menjadi kabur atau berganda (double vision), hidung berdarah, tersumbat atau mengeluarkan cecair lendir dari hidung yang bercampur darah serta air liur yang bercampur darah.

“Pesakit yang mempunyai tanda-tanda ini biasanya akan dirujuk kepada pakar untuk melakukan pengesahan dengan menjalani pemeriksaan endoskopi ke dalam rongga hidung. Sedikit sampel tisu untuk pemeriksaan histopatologi diambil daripada kawasan nasofarinks,” ujarnya ketika ditemu bual.

Tambah Irfan, ketumbuhan atau sel kanser biasanya terletak di belakang hidung di nasofarinks (ruang belakang tekak di persimpangan antara hidung dan mulut) serta tempat berkenaan mempunyai struktur penting (tulang tengkorak, pelbagai saraf kranial, lantai otak, telinga dan mata) dan kanser mudah merebak ke kawasan ini.

f9590a42 fed3 4b00 8421 667f877f0637

“Bagi mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser ini, penyiasatan pengimejan seperti ‘Computed Tomography’(CT) scan akan dilakukan untuk membantu diagnosis yang lebih tepat serta kawasan yang telah terkesan dengan perebakannya sama ada kawasan sekitar atau bahagian yang lebih jauh seperti tulang belakang, hati atau paru-paru.

“Selepas mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser, rawatan akan dimulakan ke atas pesakit dan kebanyakan pesakit yang menghidap kanser nasofarinks dirawat tanpa melibatkan pembedahan,” katanya lagi.

Irfan berkata, dua (2) rawatan yang sering ditawarkan di Hospital USM ialah gabungan radioterapi dan kemoterapi (Concurrent Chemoradiotherapy, CCRT) dan menggunakan teknologi ‘Intensity Modulated Radiotherapy’ (IMRT) untuk radioterapi sahaja bergantung kepada tahap (stage) kanser yang dihidapi oleh pesakit berkenaan.

“Kebanyakan hospital atau pusat rawatan onkologi dan radioterapi mampu memberikan rawatan yang tepat kepada pesakit kanser nasofarinks.

“Pesakit tidak perlu terlalu bimbang tentang kaedah rawatan dan komplikasi kerana rawatan dan sokongan yang berterusan akan diberikan kepada pesakit agar mereka dapat menyelesaikan rawatan dengan sempurna dan kembali pulih,” katanya.

Jelas Irfan lagi, kanser nasofarinks merupakan antara kanser yang memiliki kadar kesembuhan yang tinggi berbanding kanser-kanser yang lain. Anggaran kadar penyembuhan yang dilaporkan oleh pelbagai jurnal dan badan antarabangsa adalah pada tahap yang sangat baik untuk kanser ini pada tahap satu (1) dan dua (2).

“Kanser nasofarinks boleh dirawat dengan berkesan serta mempunyai peluang kesembuhan yang amat cerah tanpa melibatkan pembedahan jika dapat dikesan pada tahap awal (1 dan 2) dan melalui semua proses pemeriksaan serta rawatan yang disediakan.

“Sekiranya dikesan pada tahap tiga (3) dan empat (4), kaedah pembedahan bukanlah teknik rawatan utama yang digunakan di serata dunia, cuma prognosis atau peluang kesembuhan akan menjadi menurun dengan meningkatnya ‘stage’ pada waktu diagnosis.

“Malah, terdapat sebilangan pesakit tahap tiga (3) dan empat (4) juga berpotensi untuk sembuh sepenuhnya atau sekurang-kurangnya dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti jika berupaya melalui proses rawatan dengan sempurna,” ulasnya lanjut.

Menurut beliau, terdapat banyak faktor risiko berlakunya kanser nasofarinks seperti juga kanser lain yang boleh digolongkan kepada faktor tidak boleh diubah suai dan faktor boleh diubah suai.

“Untuk faktor tidak boleh diubah suai, ia selalu menjangkiti mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun terutamanya kaum lelaki dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser atau NPC.

“Asosiasi dengan virus ‘Epstein Barr’ juga telah didapati dengan kanser ini dan saringan virus ini boleh dibuat bagi mereka yang berada dalam golongan berisiko.

“Kanser ini paling kerap berlaku dalam kalangan kaum Cina. Terdapat juga laporan kajian yang menunjukkan trend yang sedikit tinggi dalam kalangan kaum Bidayuh di Sarawak,” jelasnya.

Irfan berkata, bagi faktor boleh diubah suai pula, merokok dan pengambilan alkohol adalah faktor sinergi dalam mana-mana perkembangan kanser kepala dan leher, dan sebarang bentuk kimia serta zarah habuk kayu serta bahan hidrokarbon yang disedut boleh bertindak sebagai karsinogen di dalam struktur hidung.

“Walaupun bukan kanser nasofarinks, pendedahan kepada bahan-bahan karsinogen ini sangat perlu dielakkan,” ujarnya.

Beliau berkata, pengambilan makanan yang banyak mengandungi kimia pengawet, atau makanan yang menjalani proses penjerukan juga dikaitkan dengan NPC.

“Orang ramai juga perlu sedar bahawa bahan pengawet boleh bertukar menjadi agen kanser (karsinogen). Contohnya bahan pengawet tiruan.

“Oleh yang demikian, amat penting untuk kita semua tahu kandungan dan kaedah penyediaan makanan yang kita makan,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 262

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024