INOR USM TERIMA PENGIKTIRAFAN HICoE
USM PULAU PINANG, 27 Januari 2024 – Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan baru-baru ini apabila diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi tahun 2023 Fasa 1, sekaligus menjadikan INOR sebagai HICoE keempat di USM.
Pengumuman tentang pengiktirafan tersebut yang dipaparkan di FB Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (R&I) USM pada pertengahan bulan ini, adalah susulan kepada permohonan serta lawatan tapak yang telah dijalankan oleh panel dan urusetia penilaian Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam bulan Disember 2021.
INOR kini tersenarai bersama beberapa institusi penyelidikan lain di USM yang telah diberi penarafan HICoE sebelum ini iaitu Institut Penyelidikan Perubatan Molekul [INFORMM] (2010); Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan [CDR] (2010); dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar [REDAC] (2015).
Penarafan HICoE ini adalah sebuah program memacu kecemerlangan penyelidikan di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam bidang penyelidikan khusus atau ‘niche’. Penarafan akan diberikan kepada pusat kecemerlangan yang berprestasi tinggi dalam bidang penyelidikan berkenaan.
Sebuah HICoE akan terus berperanan menghasilkan impak dari segi penghasilan bakat baru dalam penyelidikan, penerbitan jurnal berimpak tinggi di samping penghasilan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada akademia, industri, kerajaan, komuniti dan persekitaran. Kemampuan mencapai kesemua matlamat tersebut akan menjadi asas dalam pemberian dana penyelidikan seterusnya.
Aktiviti INOR memberi tumpuan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang nanosains, bahan, fabrikasi dan kejuruteraan nano sebagai penghubung berbentuk intelektual dan teknologi kepada penghasilan peralatan dan sistem nano optoelektronik.
Peralatan dan kelengkapan makmal penyelidikan yang dimiliki INOR adalah antara yang paling moden dan inovatif di USM, yang mampu melaksanakan usaha pembangunan, fabrikasi dan penetapan karakter peralatan optoelektronik dan elektronik berskala nano.
Di samping itu, INOR juga menawarkan program akademik PhD dan MSc (Optoelektronik) mod penyelidikan dalam bidang berkaitan nanoteknologi. Program MSc (Nano-Optoelektronik) mod campuran juga turut ditawarkan oleh INOR.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 437