USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MADU KELULUT ‘SUPERFOOD’ ERA PERUBATAN MODEN

IMG 20240128 WA0038

KOTA BHARU, KELANTAN, 28 Januari 2023 – Perkembangan kajian saintifik menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai bahan unik yang penting untuk dijadikan makanan berfungsi bagi membantu kesihatan malahan telah diangkat sebagai 'superfood' di Malaysia.

Kandungan bahan antioksida seperti asid fenolik dan flavonoid, bahan asid amino, bakteria baik serta vitamin menjadikan madu kelulut sebagai makanan lengkap untuk keperluan nutrien harian.

Kehadiran gula unik iaitu gula trehalulosa menjadikan ianya 'low glycaemic' dan menjadi gula alternatif yang tidak merosakkan gigi.

Pensyarah Kanan, Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, madu kelulut diketengahkan sebagai makanan berkhasiat dan suplemen tambahan yang membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.

"Asas kelebihan dan kebaikan madu terdiri daripada tiga (3) aspek iaitu kandungan, khasiat dan kualiti.

“Khasiat perubatan yang telah dikaji ialah madu kelulut dapat meredakan keradangan akibat jangkitan kuman, stres, obesiti dan penuaan serta penyakit kronik.

“Kelebihan madu kelulut pula ialah pengeluarannya dibuat secara berprosedur yang menjamin kualiti dan konsistensi hasil," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Menurut Zulkifli, secara amnya, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik dengan aroma bunga atau buah.

"Madu adalah makanan lengkap dalam aspek tenaga, protein, vitamin, bakteria baik dan antioksida.

"Melalui kajian, pengambilan madu boleh membantu dalam pencegahan penyakit kronik yang tidak berjangkit akibat gaya hidup mahupun akibat jangkitan," ujarnya.

Zulkifli turut menjelaskan bahawa cabaran terbesar industri madu kini adalah kehadiran madu tiruan yang mencecah 90 peratus (%) di pasaran.

"Oleh itu, bagi mengenal madu asli, ujian makmal diperlukan.

"Madu yang dikomersilkan dari projek penyelidikan madu kelulut USM dihasilkan melalui pelan strategik melibatkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang di bawah inisiatif KELULUNOMIC bagi menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat 'spin-off' universiti iaitu Brainey Sdn. Bhd.

"Kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsistensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal, yang mana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna," ulasnya lagi.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 330

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024