USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KASUTRA 11: MEMARTABATKAN TRADISI, MENGUATKAN INSANIAH

WhatsApp Image 2024 01 27 at 11.07.34

USM PULAU PINANG, 27 Januari 2023 - Setelah hampir tiga tahun dunia terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program secara besar-besaran dan bersemuka akibat penularan wabak COVID-19, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini kembali menganjurkan Karnival Sukan Tradisional (KASUTRA) kali ke-11 bagi Sidang Akademik 2023/24.

Karnival yang diadakan ini merupakan usaha untuk mengeratkan silaturahim, semangat kekeluargaan serta menerapkan nilai insaniah dalam diri setiap ahli persatuan dan kesemua peserta yang terlibat sekali gus bertujuan untuk mempertahankan serta memartabatkan kelestarian permainan tradisional di Malaysia.

Bertemakan 'Semarak Warisan Budaya Menyemai Identiti Bangsa', sebanyak 7 kontingen dengan penglibatan seramai 262 atlet mengambil bahagian yang terdiri daripada para pelajar dan ahli PSSCM daripada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Politeknik Ungku Omar (PUO), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan turut melibatkan peserta daripada cawangan PSSCM di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Berlangsung di Stadium Olahraga USM, hadir bagi merasmikan program adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

WhatsApp Image 2024 01 27 at 11.07.34 1

Shaharum dalam ucapan perasmiannya berkata, selaras dengan elemen HEBAT yang ingin dibangunkan di dalam diri mahasiswa USM, penganjuran KASUTRA ini bukan hanya sekadar untuk memartabatkan semula sukan dan permainan tradisional dalam kalangan anak muda, malah ianya dapat mengasah bakat kepimpinan terutamanya dalam kalangan ahli jawatankuasa penganjur.

“Saya pasti ahli jawatankuasa penganjur dapat mempelajari pelbagai kemahiran baru seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran keusahawanan dan lain-lain yang dapat memberi nilai tambah kepada mereka khasnya dan kepada mahasiswa USM secara amnya,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa untuk terus mengutip segala ilmu daripada aktiviti di luar dewan kuliah sebegini agar kelak ianya dapat menjadikan anda insan yang HEBAT serta tidak pernah melupakan asal usul budaya dan warisan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. 

WhatsApp Image 2024 01 27 at 11.07.33

Menurut Penasihat 1 PSSCMUSM selaku Ketua Penyelaras Ko-K Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia, USM merangkap Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat USM, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid, program ini juga diadakan untuk menghidupkan semula dan memperkenalkan satu lagi warisan Melayu yang hampir lenyap khususnya pada zaman ledakan maklumat (ICT). 

“Saya berharap agar program ini dapat membuka minda para peserta tentang sukan tradisional Melayu dan sedikit sebanyak dapat menjentik semangat cinta akan warisan negara kita yang kian lapuk ditelan zaman ini. Semangat cinta akan budaya dan warisan amat penting dalam diri seseorang kerana ia akan melahirkan seseorang yang mampu menjadi modal insan dengan nilai jati diri yang tinggi,” pesannya lagi.

WhatsApp Image 2024 01 27 at 11.07.33 1

Sementara itu, Pengarah Projek KASUTRA PSSCM kali ke-11 sidang akademik 2023/2024, Adlan Afiq Musyrif Azhar berkata harapannya melalui program ini dapat mencetuskan semangat cintakan budaya bangsa dalam kalangan ahli persatuan dan dalam diri setiap peserta.

“Saya percaya, program ini mampu memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan ukhwah serta silaturahim dalam kalangan ahli PSSCM dan semua peserta,” tambah Adlan Afiq.

Lebih daripada 10 jenis sukan tradisional yang dipertandingkan seperti gasing, dam haji, congkak, ceper, batu seremban, teng-teng, galah panjang, tuju tin, tarik tali dan lari guni tempurung yang meliputi kategori lelaki dan perempuan dalam kejohanan sehari ini.

WhatsApp Image 2024 01 27 at 11.07.37

Hadir sama pada program pembukaan KASUTRA adalah Naib Presiden 1 PSSCM dan Yang Di-Pertua PSSCM Cawangan Pulau Pinang, Ar. Dr. Haji Ab Majid Ismail; Naib Yang Di-Pertua PSSCM Cawangan Pulau Pinang merangkap Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib PSSCM, Zafri Mohd Miar; Penyelia Kelas Latihan PSSCMUSM merangkap Ketua Kelas Peringkat 100 PSSCMUSM, Raja Badrul Amin Raja Ismail; Penasihat 2 PSSCMUSM merangkap Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Sumber Manusia USM, Hazwani Abdul Karim dan Yang Di-Pertua PSSCMUSM, Muhammad Adib Md Noor.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 338

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024