USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI 400 ANAK-ANAK ISTIMEWA PULAU PINANG, KUKUH INTEGRASI SOSIAL OKU BERSAMA WARGA KAMPUS

WhatsApp Image 2024 01 27 at 15.01.20

USM PULAU PINANG, 27 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) pagi ini telah meraikan sejumlah 400 orang anak-anak istimewa sekitar Pulau Pinang melalui penganjuran program 'Fun Run & Walk' sebagai sokongan kepada usaha memperkukuhkan integrasi sosial antara golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bersama warga kampus.

Bertemakan 'All Together With Someone Special (Nothing About Us Without Us),' program ini berjaya mengumpulkan anak-anak OKU dan ibu bapa bersama-sama USM bagi menjayakan hasrat universiti bagi memastikan golongan tersebut mempunyai hak, ruang dan peluang untuk terlibat secara aktif dalam setiap program yang dianjurkan.

WhatsApp Image 2024 01 27 at 15.01.22

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, USM sentiasa memberi perhatian kepada agenda memperkasakan OKU dalam aspek pendidikan dan kemahiran termasuklah sokongan kepada program-program komuniti yang melibatkan golongan tersebut.

"USM seiring dengan peranan yang dimainkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) iaitu merangka dan membangunkan program serta strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran berhubung dengan OKU agar golongan ini terus mendapat ruang dan peluang dalam setiap program dan aktiviti yang dirancang secara inklusif.

"Maka, program pada hari ini dapat memenuhi objektif untuk menggalakkan penglibatan aktif OKU, ibu bapa atau waris dalam aktiviti sukan yang dianjurkan di samping meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan mahasiswa untuk turut menyertai aktiviti sukan bersama OKU," ucap beliau ketika mewakili Naib Canselor USM di majlis penutup 'Fun Run & Walk' di Padang Aman Damai USM.

Jelas Azlan, melalui program sebegini ia membuka peluang untuk berinteraksi dalam suasana yang inklusif, stigma dan prasangka terhadap OKU dapat dikurangkan, mencipta persekitaran yang lebih mesra dalam memahami kepelbagaian manusia.

Pada program tersebut, warga kampus yang terdiri daripada staf dan mahasiswa USM berjalan bersama-sama 400 anak-anak OKU dan ahli keluarga mereka mengelilingi kampus sekitar jarak 2 kilometer.

Turut diadakan adalah program acara padang dan sukaneka bagi menyantuni golongan terbabit.

WhatsApp Image 2024 01 27 at 15.01.23

Di majlis yang sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Zuhaimi Omar pula berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak USM yang sentiasa merai dan menyokong usaha JPOKU dalam memperkasakan OKU di negara ini pada tahap yang disasarkan.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat Dr. Syazwani Drani, Ketua Projek dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyakatan USM, merangkap Anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang bertungkus lumus bersama pasukannya menjayakan program ini," kata beliau.

Tambah beliau, berdasarkan statistic, seramai 19,002 golongan OKU sedang menerima perkhidmatan di 566 buah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di seluruh negara termasuk USM sendiri sehingga tahun 2023.

"Sehingga 31 Disember 2023, terdapat 691,427 OKU berdaftar di bawah tujuh (7) kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU) iaitu kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental, dan pelbagai.

Kelebihan pendaftaran ini membolehkan mereka menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan yang disediakan pihak kerajaan dan swasta.

"Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua peringkat lapisan masyarakat agar membantu OKU yang masih belum mendaftar untuk berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menikmati kemudahan yang telah disediakan," jelas Zuhaimi lagi.

Program 'Fun Run & Walk' ini merupakan kolaborasi antara USM bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU).

WhatsApp Image 2024 01 27 at 15.01.19   WhatsApp Image 2024 01 27 at 15.01.21

Turut memeriahkan lagi program adalah penyertaan dari Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang melibatkan lima daerah di Pulau Pinang iaitu PPDK Daerah Timur Laut, PPDK Daerah Barat Daya, PPDK Daerah Seberang Perai Utara, PPDK Daerah Seberang Perai Tengah dan PPDK Daerah Seberang Perai Selatan, termasuk penyertaan daripada dua NGO iaitu St. Nicholas Home dan Penang Cheshire Home.

Hadir bersama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin yang turut menyempurnakan pelepasan larian; Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Zakaria Taib; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; Pegawai-pegawai utama Jabatan Kebajikan Masyarakat, warga staf Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM dan para mahasiswa USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 325

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024