USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUSKAN PELAN KONTIGENSI TANGANI ISU GANGGUAN AIR 3.0

USM PULAU PINANG, 24 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan pelan kontigensi bagi menghadapi gangguan air tidak berjadual, mengikut hebahan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) semalam.

c3fcd009 ccfb 4554 a628 be2817eb733d

PBAPP dalam satu kenyataan memaklumkan kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip bawah permukaan air yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada seramai 120,000 pengguna di kawasan Barat Daya dan sebahagian pengguna di Timur Laut Pulau Pinang, termasuk USM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (USM), Profesor Dr. Azlan Amran berkata, antara pelan USM dalam menangani masalah bekalan air ini adalah dengan meneruskan kerjasama dengan semua pusat tanggungjawab yang berkaitan dalam kampus bagi mengaktifkan langkah yang sewajarnya.

737e3da5 74bf 4472 ac76 d8ccae760ab6

Pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM juga bekerjasama rapat dengan pihak PBAPP untuk mengepam masuk air ke rumah pam untuk disalurkan ke tangki bagi penggunaan warga USM terutamanya desasiswa yang terjejas.

Menurutnya lagi, pihak USM melalui Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) USM turut menyediakan bekalan air mineral untuk kegunaan pelajar dan USM juga mempunyai sumber air ‘natural’ daripada bumi yang akan disalurkan kepada Masjid Al-Malik Khalid USM.

“Bekalan air yang terkumpul adalah bergantung kepada kapasiti penggunaan pelajar. Pihak USM juga menerima bantuan penerimaan lori tangki PBAPP sebanyak 4 kali untuk dimasukkan ke rumah pam USM,” kata Azlan.

Tambah Azlan, untuk memastikan bekalan air terus ada untuk kegunaan dalam kampus, pihak USM turut mengambil kira kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berbaki minggu ini sebelum minggu ulangkaji bermula serta perkhidmatan dan juga operasi harian pentadbiran.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, ahli-ahli MPP dan wakil-wakil Majlis Perwakilan Desasiswa yang lain.

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar USM juga mengeluarkan hebahan arahan staf bekerja dari rumah (work from home) yang membenarkan warga staf dari Kampus Induk (termasuk Sains@USM), Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang terkesan dengan gangguan bekalan air di kediaman masing-masing untuk bekerja dari rumah (work from home) pada 26 Januari 2024 (Jumaat) dan 29 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024 (Isnin hingga Jumaat).

Keputusan itu dibuat oleh Universiti adalah bagi tujuan kemudahan kepada warga staf kampus-kampus tersebut di samping mengurangkan tekanan kepada penggunaan bekalan air simpanan Universiti dalam tempoh gangguan bekalan air tersebut, dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang menghuni di desasiswa.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Nor Amin Zainal Kamaruddin

  • Created on .
  • Hits: 267

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024