USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SKKT USM ANJUR PERTANDINGAN KALIGRAFI KEBANGSAAN; AGUNGKAN SENI DAN KEBUDAYAAN CINA

WhatsApp Image 2024 01 21 at 12.45.27 PM

USM PULAU PINANG, 21 Januari 2024 – “Seni budaya yang unik harus dihargai dan diwarisi.”

Menyahut kenyataan tersebut, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tiong Hua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Pertandingan Kaligrafi Cina Kebangsaan USM 2024.

Bertemakan ‘Propitious’, yang juga membawa maksud kemakmuran, pertandingan ini diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan tentang budaya tradisional kaum Cina kepada semua lapisan masyarakat.

Berlangsung di Dataran Merah dan Foyer Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutup adalah Ahli Persatuan Seni Tulis Malaysia, Lok Su Choi bersama Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Dr. Tan Chee Seng.

WhatsApp Image 2024 01 21 at 12.40.26 PM

Lok dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa Pertandingan Kaligrafi Cina Kebangsaan USM 2024 atas penganjuran pertandingan tersebut.

Menurutnya, seni kaligrafi Cina ‘HuiChun’ merupakan tradisi kaum Cina semasa perayaan Tahun Baru Cina, yang mana penulisan ‘HuiChun’ melambangkan hasrat masyarakat Cina terhadap kehidupan yang bahagia dan harmoni dalam tahun baru yang akan datang.

“Saya amat berbesar hati dengan inisiatif yang diambil oleh SKKT USM kerana telah mengadakan pertandingan ini,” katanya.

Tan dalam ucapannya pula berkata, beliau berharap agar pertandingan seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap supaya warisan seni dan budaya nenek moyang tidak akan dilupa dalam kalangan masyarakat.

WhatsApp Image 2024 01 21 at 12.40.26 PM1

Beliau turut berkata, “Saya berharap mahasiswa/i USM dapat menghayati nilai H.E.B.A.T. semasa melaksanakan pertandingan ini. Pihak universiti sememangnya berhasrat untuk melahirkan mahasiswa/i yang holistik supaya mereka akan menjadi generasi seterusnya yang dapat membangunkan negara kita pada masa depan.”

“Hasrat dan matlamat ini juga sejajar dengan landasan hala tuju ketiga yang digarisbawahi oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat tahunannya baru-baru ini, iaitu melahirkan bakat yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga berkemahiran dan holistik – yang mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif,” kata Tan.  

Beliau juga mengakui bahawa pertandingan seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap keunikan seni kaligrafi Cina, malah dapat mencungkil bakat berpotensi dalam bidang seni kaligrafi yang amat berharga di zaman moden ini.

Sementara itu, Pengarah Projek Pertandingan Kaligrafi Cina Kebangsaan USM 2024, Lee Hao Xuan mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berterima kasih kepada para juri yang terdiri daripada guru dan pengamal kaligrafi Cina atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan pertandingan tersebut.

Lee berkata pihak SKKT USM amat bersyukur kerana pertandingan anjuran mereka itu mendapat penyertaan yang begitu memberangsangkan daripada warga belia termasuk murid sekolah dari dalam negeri dan luar Pulau Pinang.

Seramai 154 orang peserta telah hadir menyertai pertandingan tersebut yang terdiri daripada 60 murid sekolah rendah dan 47 orang murid sekolah menengah serta peserta kategori terbuka.

WhatsApp Image 2024 01 21 at 12.40.20 PM   WhatsApp Image 2024 01 21 at 12.40.21 PM

Acara pertandingan juga dimeriahkan dengan bengkel seni dan persembahan tarian kebudayaan.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM merangkap Penasihat SKKT USM, Tan Ewe Hoe; wakil Yang Dipertua SKKT USM, Naib Yang Dipertua SKKT USM, Mak Jun Lee; dan ahli-ahli SKKT USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 387

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024