USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI MAHASISWA UTAS AUSTRALIA, KONGSI ILMU KELESTARIAN GLOBAL

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.44 PM

BALIK PULAU, PULAU PINANG, 19 Januari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi perhatian antarabangsa apabila seramai 52 orang delegasi University of Tasmania (UTAS), Australia yang terdiri daripada para mahasiswa dan pensyarah universiti itu hadir ke USM bagi menerokai kepakaran dimiliki dalam program mobiliti agenda Kelestarian Global.

Program komuniti universiti dari negara rantau Oceania itu ke USM yang melibatkan seramai 46 orang mahasiswa dan 6 orang pensyarah, telah berlangsung selama 4 hari bermula 16 sehingga 19 Januari 2024, diketuai oleh pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM, Dr. Zarina Md Nor bersama beberapa orang lagi pensyarah USM.

Pelbagai program dan aktiviti kelestarian USM khas yang disajikan buat delegasi UTAS melalui sumbangan kolektif USM ini dilihat memberikan pengalaman yang inklusif dan komprehensif kepada peserta mendalami amalan kelestarian di Malaysia.

Ia termasuk isu-isu melibatkan teknologi pembuatan lestari, pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem dan tapak warisan dunia, penyelidikan dan pengurusan sumber air, teknologi pertanian dan kearifan tempatan.

Bercakap di majlis Perasmian Penutup Program Lawatan UTAS Ke USM yang diadakan di lokasi akhir program iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Pulau, Balik Pulau, Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato' Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kunjungan delegasi UTAS ini sememangnya amat membantu secara tidak langsung bagi mempromosikan industri eko-pelancongan di Pulau Pinang khususnya kawasan Balik Pulau, seterusnya membuka lembaran baharu dalam pembangunan penyelidikan kelestarian global antara kedua-dua pihak.

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.49 PM

“Saya mewakili Parlimen Balik Pulau, USM dan warga Pulau Pinang keseluruhannya amat mengalu-alukan kedatangan delegasi UTAS ini dan berharap program-program sebegini dapat diadakan lagi oleh USM bersama universiti-universiti antarabangsa supaya bidang kelestarian yang diteraju USM termasuklah keunikan kearifan tempatan yang dimiliki negara dapat disebar luas ke peringkat global,” ucap beliau ketika merasmikan penutupan program tersebut.

Tambah Muhammad Bakhtiar, beliau amat mengalu-alukan lebih banyak kerjasama antara USM dan UTAS dapat dimeterai dalam apa juga bidang terutamanya pembangunan dan penyelidikan mengenai amalan kelestarian dan penjagaan alam semulajadi global.

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.44 PM1

Di majlis yang sama, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob berkata, program mobiliti antarabangsa jangka masa pendek seperti ini merupakan titik permulaan kepada kerjasama strategik antara kedua-dua pihak di masa mendatang.

“Sudah semestinya saya yakin program berkaitan isu-isu kelestarian ini menjadi pilihan utama mahasiswa mahupun penyelidik untuk berkolaborasi di peringkat antarabangsa dan USM sentiasa bersedia menghulurkan segala kepakaran yang dimiliki memandangkan kita mempunyai ramai tenaga pakar yang bersedia melakukan penyelidikan dalam bidang terbabit.

“USM menduduki tangga ke-4, manakala UTAS di kedudukan ke-5 dalam Penarafan Times Higher Education (THE) Impact Ranking, jadi saya percaya kedudukan ini dapat memberi nilai tambah buat USM dan UTAS berkolaborasi antara tenaga penyelidik bagi membangunkan program-program kelestarian global, seterusnya mampu memberi impak positif kepada dunia,” katanya.

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.50 PM1

Manakala bagi pihak UTAS, Pemimpin Akademi UNIGO merangkap Ketua Delegasi Lawatan UTAS Ke USM, Profesor Dr. Ooi Can Seng pula berkata, beliau menyifatkan USM sebagai rakan kolaborasi yang tepat kepada UTAS untuk bersama-sama menerajui agenda kelestarian pada peringkat global.

“Saya amat berterima kasih kepada warga PPPJJ USM dan PTJ-PTJ USM yang terlibat kerana berjaya merencana dan merealisasikan program selama 4 hari ini dengan penuh bermanfaat buat mereka.

“Sesungguhnya apa yang saya harapkan daripada mahasiswa UTAS adalah memanfaatkan sebaik mungkin pembelajaran ini supaya ilmu yang diperoleh dapat diterjemah sewajarnya dalam pengurusan sumber semulajadi di Australia mahupun global,” jelas beliau lagi.

Beliau dan seluruh warga UTAS juga turut menghargai komitmen yang tidak berbelah bahagi USM dalam berkongsi ilmu mengenai pengurusan kelestarian, aspirasi, hala tuju USM dan Malaysia dalam bidang berkenaan termasuk perancangan strategik USM-UTAS untuk melihat potensi kolaborasi masa hadapan.

Antara aktiviti menarik yang telah diadakan antara USM dan UTAS dalam tempoh lawatan empat hari tersebut ialah lawatan ke industri, pemuliharaan sumber air, penanaman anak pokok bakau, lawatan ke tapak arkeologi, aktiviti pertanian dan ramah mesra bersama komuniti dan destinasi terakhir di Balik Pulau dengan hasrat memperkenalkan kawasan ini sebagai destinasi eko-pelancongan yang berpotensi besar kepada masyarakat antarabangsa, khususnya kepada pelancong dari Australia.

Program ini juga adalah kerjasama dengan Majlis Penghuni Desasiswa Tekun yang turut membantu para pelajar UTAS sepanjang aktiviti diadakan.

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.46 PM

Yang turut hadir di majlis penutup adalah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Dato' Prof. Emeritus Dr. Muhammad Idiris Saleh; Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd Hafiz Aswad Nadzri; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Pulau, Balik Pulau, Syamsul Md. Razak; Ketua Program UNIGO, Dr. Zarina Md Noor; barisan pensyarah; Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab; dan staf Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM.

WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.45 PM1 WhatsApp Image 2024 01 19 at 5.49.45 PM  

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 536

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024