USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA SUMBANGAN ZAKAT RM500,000 DARIPADA TABUNG HAJI BANTU GOLONGAN ASNAF

USM PULAU PINANG, 9 Januari 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima sumbangan zakat korporat daripada pihak Tabung Haji (TH) Pulau Pinang bernilai RM500,000 untuk diagihkan kepada asnaf yang berhak dan memerlukan dalam kalangan warga USM.

WhatsApp Image 2024 01 09 at 14.19.06

Oleh itu, Pusat Islam USM telah mengadakan Majis Sumbangan Program Iqra’ Tabung Haji IPTA 2023 melalui penyerahan ‘mock-cheque’ antara Tabung Haji Pulau Pinang dan USM.

Berlangsung di Bilik Persidangan Canselori (CCR) USM, hadir bagi menerima ‘mock-cheque’ tersebut adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Lembaga Tabung Haji, Mohamed Ameen Abdul Wahab.

WhatsApp Image 2024 01 09 at 14.19.05 1

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, sumbangan wakalah zakat Lembaga Tabung Haji pada kali kedua ini berjumlah RM500,000 amat bermakna bagi USM untuk terus membantu golongan asnaf yang layak menerimanya.

Katanya, USM melalui Pusat Islam sentiasa peka kepada permasalahan pelajar, staf dan warga qaryah Masjid USM terutamanya dalam aspek berkaitan kewangan dan ekonomi.

“Dalam menyantuni hasrat Lembaga Tabung Haji, USM amat komited untuk menambah pendeposit Tabung Haji, yang mana pada tahun 2023, Pusat Islam USM dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji telah menambah pendeposit baharu Tabung Haji hampir 1,300 orang, yang terdiri daripada kalangan asnaf pelajar, warga staf dan qaryah,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, beliau yakin dan percaya pasukan Pusat Islam USM dapat menguatkan lagi jaringan kerjasama pintar bersama badan swasta dan korporat dalam mencari medium terbaik sebagai rakan strategik untuk maju ke hadapan.

Sementara itu, Mohamed Ameen dalam ucapan khasnya berkata, melalui program Iqra’ tahun 2023, sumbangan daripada Tabung Haji kepada USM adalah untuk dimanfaatkan oleh pelajar USM menerusi program yang akan diaturkan oleh Pusat Islam USM, yang mana inisiatif utama Tabung Haji adalah untuk meningkatkan pendeposit baharu Tabung Haji dalam kalangan pelajar.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar Operasi Sokongan Lembaga Tabung Haji, Rozimin Ahamed Kamil; Pengarah Wilayah Utara Tabung Haji Malaysia, Dato’ Mohammad Mokhzani Mukhtar; Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Maznizan Mamat dan Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Zayd Zhari.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024