USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PARKINSON: KENALI SIMPTOM DAN CAKNA PERUBAHAN DIRI

a22f4d75 55cc 48cc a8fc 263998b99ba4

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Januari 2024 – Penyakit Parkinson adalah penyakit kronik ‘Neurodegenerative Disorder’ yang boleh menyebabkan gangguan berterusan serta menyukarkan pergerakan tubuh dalam tempoh yang lama.

Penyakit ini timbul secara perlahan-lahan dengan kemerosotan dan kematian ‘neuron’ tertentu di otak terutamanya kawasan yang mengawal gerakan.

Pakar yang juga Pensyarah Neurosurgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ang Song Yee berkata, empat (4) tanda seseorang menghidap penyakit Parkinson ialah sentiasa menggeletar, pergerakan menjadi lambat, badan menjadi keras dan ketidakseimbangan badan.

“Gerakan gementar (tremor) merujuk kepada pesakit yang akan perasan tangan atau kaki mereka menggeletar tanpa kawalan terutama semasa rehat.

“Pergerakan menjadi lambat pula merujuk kepada setiap aktiviti yang dilakukan oleh seseorang individu itu menjadi lambat dan terganggu seperti berjalan, membuat kerja rumah dan aktiviti harian lain.

“Selain itu, tanda-tanda Parkinson juga dikaitkan dengan tangan dan kaki pesakit menjadi keras atau kaku dan sering mengalami ketidakseimbangan badan (mudah jatuh terutama ketika berjalan atau bangun dari duduk),” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM pada 27 Disember 2023.

Menurut Song Yee, Parkinson biasanya berlaku disebabkan ‘Idiopathic’ yang tidak diketahui bergantung kepada faktor genetik yang menyebabkan kemerosotan saraf otak.

“Berdasarkan kajian, pesakit yang menghidap Parkinson pada usia muda iaitu sebelum 50 tahun dipercayai berpunca daripada faktor genetik (parkin gene mutation) dan hanya sebilangan kecil sahaja penghidap penyakit ini yang mempunyai sejarah keluarga penyakit Parkinson.

“Proses penyakit Parkinson pada peringkat permulaan adalah sangat responsif kepada rawatan ubatan, iaitu melalui pengambilan ubat-ubatan yang mengandungi ‘madopar’ dan ‘dopamine agonist’ terutama bagi permulaan penyakit tiga (3) hingga lima (5) tahun,” ujarnya.

Tambah Song Yee, selepas rawatan melalui pengambilan ubat pada peringkat permulaan, penyakit ini akan menjadi tidak responsif atau kurang responsif kepada ubat tersebut akibat daripada kemerosotan kepada saraf.

“Pada peringkat ini, pesakit mula menjadi pelupa, mengalami gangguan emosi dan tidak berupaya menjaga diri sendiri sehingga pada peringkat terakhir, pesakit biasanya akan terlantar di katil.

“Penyakit Parkinson sebenarnya boleh dirawat melalui pembedahan ‘deep brain stimulation’ atau rangsangan otak. Namun, kaedah itu hanya untuk melengah atau memperlambatkan proses kemerosotan saraf,” jelasnya lagi.

Song Yee berkata, pesakit biasanya akan dimasukkan ke wad dan dirujuk kepada pakar perubatan neurologi untuk menjalani ujian bagi melihat kesesuaian kepada pembedahan rangsangan otak.

“Pembedahan ini dapat membantu pesakit mengurangkan tanda-tanda penyakit selain membantu pesakit mendapat kualiti kehidupan yang lebih bagus.

“Pembedahan ‘deep brain stimulation’ juga dipercayai dapat mengurangkan keperluan ubat-ubatan dan secara tidak langsung dos ubat makin berkurangan,” ulasnya lanjut.

Song Yee turut menjelaskan bahawa antara komplikasi pembedahan ‘deep brain stimulation’ ialah jangkitan kuman dan pendarahan otak.

“Antibiotik akan diberi kepada pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman dan kemudahan teknologi canggih 'image-guided surgery' (IGS) akan digunakan bagi mengelak alat yang dimasukkan terkena salur darah untuk mengurangkan risiko pendarahan otak.

“Dengan kemajuan serta perkembangan dalam bidang penjagaan kesihatan dan nutrisi, jangka hayat seseorang individu akan turut meningkat,” katanya.

Teks: Marlina Zahari/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 251

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024